Sabtu, 29 Ogos 2009

Cara Kempen BN Perlukan Perubahan!

1. Keputusan pilihanraya kecil Permatang pasir bukanlah sesuatu yang di luar dugaan kita. Ada beberapa sahabat dengan secara bersahaja bertanyakan saya tentang kekalahan BN di Permatang Pasir dan secara tidak langsung meminta komen dari saya berkenaan keputusan PRK berkenaan.

2. Saya sebenarnya kurang berminat sejak awal lagi untuk mengikuti pilihanraya kecil di sini atas beberapa sebab antaranya sejak awal lagi kita semua sudah tahu ini adalah kawasan Parlimen Permatang Pauh dan ia sangat sinonim dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Bermakna peluang sentiasa memihak kepada Pakatan Rakyat. Jadi keputusan PRK ini sama sekali pada saya tidak boleh dijadikan cerminan penolakan rakyat terhadap Barisan nasional. Jadi analisa di kawasan ini tidak boleh dijadikan indikator atau penanda aras kepada reaksi sebenar suara rakyat!

3. Walaupun kekalahan calon BN memang telah diduga, namun saya merasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat2 pembaca sekalian mengenai cara kempen yang biasanya di amalkan oleh BN yang pada hemat saya memerlukan satu modifikasi di sesetengah tempat. Saya bukanlah berlatar belakangkan sains politik jadi huraian saya adalah lebih kepada analisa berdasarkan pengalaman, pemerhatian, perkongsian pendapat dan bacaan.

4. Saya bahagikan kepada 2 jenis kempen yang diamalkan oleh semua parti politik dalam kempen akhir mereka sebelum Pilihanraya. Yang pertama kempen yang melibatkan kawasan setempat dan kedua adalah kempen di peringkat nasional yang menggunakan media massa tidak kiralah arus perdana ataupun media baru seperti blog dan sebagainya.

5. Kempen bermula setelah calon dipilih. Sekiranya calon yang dipilih merupakan orang yang sangat hebat dan sangat bersih maka 'jenama' calon ini boleh dijual tanpa perlu para jentera bekerja terlalu keras kerana jenama calon mengatasi jenama parti. Akan tetapi kalau dilihat di Permatang Pasir, saya tidak begitu pasti mengapakah latarbelakang calon tidak diselidiki terlebih dahulu sebelum perletakan calon dibuat kerana kita semua sedia maklum di kawasan DSAI jenama beliau sendiri sudah begitu kuat dan kukuh. Mungkinkah ini sesuatu yang telah dirancangkan? Entahlah...

6. Cadangan saya agar satu jawatankuasa (mungkin) boleh ditubuhkan oleh BN khas untuk menangani usaha background checking. Bunyi macam mudah tetapi unit khas ini menjalankan tugas ala-ala CIA di mana segenap sudut latarbelakang calon akan diperincikan dan laporan akan diberikan kepada Perdana Menteri ataupun Pengerusi BN bagi membuat keputusan akhir. Hal ini akan menjadikan kita tidak lagi tersalah pilih calon.

7. Selain faktor calon, pada pandangan saya, cara berkempen dengan menggunakan media secara keterlaluan juga membuatkan rakyat menjadi meluat dan sebenarnya rakyat yang mewakili majoriti pengundi adalah yang tidak berparti. Golongan ini hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja. Kempen keterlaluan ini juga kadangkala dengan jelas sekali dilihat sengaja memperbodohkan rakyat dengan kenyataan kenyataan yang tidak mempunya 'nail point' kata orang. Laporan sekadar retorika biasa yang tidak begitu mampu menukar fikiran rakyat dan membuatkan rakyat tersenyum sendiri sambil berkata ala....nak pilihanraya barulah kelam kabut nak buat ini dan itu...yelah asal BN je semua betul...

8. Pernahkah saudara pembaca sekalian melihat menteri menoreh getah? Pada saya ini adalah kempen paling kelakar dalam sejarah pilihanraya Malaysia di mana bila hampir PRK ada seorang menteri menoreh getah dan ia menjadi bahan liputan akhbar dan media elektronik! Memang ini adalah satu perlakuan untuk menunjukkan menteri tersebut prihatin orangnya tetapi menampakkan unsur-unsur menipu rakyat di situ dan ini tidak wajar dilakukan dan hanya akan menjejaskan rasa hormat rakyat terhadap BN.

9. Teknik menyerang dan menangkis isu juga wajar diberikan perhatian. Jika dilihat di dalam PRK kebelakangan ini BN telah terikut2 dengan rentak isu yg dibawa oleh Pakatan Rakyat. Media seolah-olah membantu mengangkat sesuatu isu dengan memberikan publisiti yang jelas isu tersebut lebih memberikan point atau 'mileage' politik kepada Pakatan. Contohnya isu DAP dengan PAS Kedah. Sebagai seorang yang tidak berjawatan tinggi pun kita dapat membaca ini adalah taktik pembangkang untuk memancing pengundi Cina dan BN seolah2 tidak dapat membaca perkara ini. Akhirnya pembangkang menang bergaya!

10. Demontrasi yang menggunakan kain rentang menyokong kepimpinan ataupun membantah isu2 tertentu yang meletakkan nama penganjur lebih besar dari isu (ni kes nak menunjuk2 kepada ketua bahagian atau menteri lah ni!) pada saya adalah satu taktik yang cukup memalukan...Sekiranya BN ingin mengadakan sesuatu demontrasi, tidak perlulah meletakkan nama UMNO Cawangan mana dan sebagainya. Biarlah rakyat merasakan bahawa demontrasi ini datangnya daripada rakyat walaupun mastermindnya adalah UMNO. Kita hendak dapatkan mileage isu bukannya nak berkempen untuk naikkan seseorang ketua cawangan ataupun AJK bahagian.

11. Cadangan saya agar BN lebih menumpukan kepada aspek perang saraf dan perang psikologi. Tidak semestinya dimulakan dekat dengan pilihanraya saja tetapi haruslah dimulakan sepanjang masa. Seluruh jentera media alternatif terutama blog2, forum2 di dalam laman web wajar ditembusi dengan pantas. Isu2 wajar dijawab hatta isu remeh sekalipun di dalam laman web ini mahupun laman blog.

12. Segala teguran di atas adalah atas dasar saya tidak ingin melihat BN yang diterajui oleh UMNO dan orang Melayu ini berkubur di dalam PR ke-13 nanti. Semoga kita bersama2 kembali menggerakkan seluruh jentera kita terutama di peringkat penerangan agar menjadi lebih kreatif dalam melakukan kerja2 penerangan untuk memberikan kemenangan mutlak kepada kita suatu hari nanti.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Ahlan Wa Sahlan Ramadan Al Mubarak

Sabda Rasulullah SAW: ' Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan maka Allah mengharamkan jasadnya masuk dalam semua pintu neraka'

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa buat semua rakan-rakan sahabat yang sudi membaca blog saya serta idea penulisan saya yang tidak seberapa ini.

Semoga di dalam bulan yang mulia ini suasana politik tanahair akan lebih beretika dan berhemah terutama di dalam suasana panas kempen Pilihanraya Kecil yang berlaku sekarang. Harapan kita tidak kiralah dalam apa jua peringkat pimpinan mahupun pengikut agar tidak ada lagi kempen memburukkan sahabat2 kita yang lain dari parti berlawanan dan tidak menggunakan serangan peribadi sebagai senjata untuk menang.

Semoga segala amalan kita sampai kepada Allah SWT hendaknya.

Selamat berjuang....melawan nafsu.

Jalilmm

Ahad, 16 Ogos 2009

Antara 1Malaysia dan Hidup Melayu

1. Ada perkara di dalam hidup kita kadangkala membuatkan kita keliru seketika. Kekeliruan ini timbul apabila kita tidak mempunyai pemahaman yang cukup terhadap perkara itu mahupun tidak difahamkan oleh orang yang sepatutnya memberikan penerangan kepada kita.

2. Sebagai manusia,kita mempunyai pelbagai tahap pemikiran dan tahap pemahaman. Dalam konteks negara kita, ada yang hanya petani di kampung-kampung dan hidup dalam kelompok masyarakat kampung bersama2 penoreh getah, pesawah, peneroka malah ada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai daya keintelektualan sederhana malah ada juga yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan mampu mencerna sesuatu perkara dengan begitu mudah dan baik. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah tahap penerimaan maklumat dan tahap pemahaman kita sangat berbeza-beza. Maka oleh itu cara yang terbaik untuk menyampaikan sesuatu perkara yang ingin dibawa oleh kerajaan juga memerlukan kaedah yang pelbagai untuk membolehkan sebahagian besar rakyat memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

3. Saya pernah bertanyakan soalan kepada seorang rakan yang hebat melaungkan 1Malaysia tentang apakah sebenarnya makna 1Malaysia. Tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewekan kerana katanya beliau sendiri tidak begitu faham apakah itu 1Malaysia. Cuma katanya kita perlu menyokong gagasan ini sekiranya kita mengaku kita orang UMNO dan mengakui kepimpinan baru UMNO iaitu Dato' Seri Najib. Saya hanya tersenyum kepadanya walaupun sebenarnya kurang bersetuju bahawa kita perlu menyokong 100% presiden UMNO tidak kira perkara yang dilakukannya betul ataupun tidak. Menegur dan mempersoalkan tentang sesuatu perkara yang kurang jelas kepada pimpinan UMNO pada saya adalah proses biasa dalam politik dan ia tidak harus dianggap menderhaka atau kurang ajar.

4. Walaupun pengertiannya agak luas merangkumi pelbagai aspek dan perkara, namun asas utama 1Malaysia adalah satu penyatuan bangsa menjadikan identiti Malaysia lebih menonjol berbanding identiti sesuatu bangsa itu sendiri. Selain itu penghapusan beberapa dasar yang banyak menyebelahi Melayu juga dilihat oleh pemerhati termasuk dalam salah satu gagasan 1Malaysia itu sendiri. Ada yang melihat gagasan ini tidak seiring dengan agenda Melayu sebaliknya lebih kepada kesamarataan hak antara semua bangsa tanpa mengira kaum. Benarkah? Mungkin berdasarkan beberapa indikasi yang ditunjukkan dalam dasar negara baru-baru ini membuatkan persepsi kita terhadap konsep 1Malaysia menjurus ke arah itu.

5. Konsep 1Malaysia yang telah dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia walaupun masih di peringkat awal dan majoriti rakyat Malaysia masih kelabu lagi berkenaannya dikelirukan lagi apabila dengan tiba-tiba semangat Melayu ditiupkan kembali oleh orang nombor 2 negaraiaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

6. Episod terbaru ini timbul apabila Tan Sri Muhyiddin dengan terang-terangan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuduh mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat Melayu. Serentak dengan itu UMNO Johor menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin dan menyatakan pendirian jelas bersama-sama Tan Sri Muhyiddin.

7. Iklim politik negara menjadi panas seketika dengan polemik terbaru ini apabila Datuk Seri Anwar pula meminta Tan Sri Muhyiddin menarik balik tuduhan bahawa beliau pengkhianat Melayu atau Timbalan Perdana itu bakal berdepan dengan hukuman saman.

8. Persoalannya kini mengapa di saat kita bercakap tentang 1Malaysia kita juga bercakap tentang perkauman? Apakah yang berlaku sebenarnya? Rakyat biasa seperti saya menjadi keliru dengan dasar ini.

9. Adakah mempertahankan hak Melayu dan aspek kemelayuan itu terdapat dalam konsep 1Malaysia? Atau mungkinkah ini adalah satu strategi kerajaan UMNO-BN sebagai taktik untuk memancing pengundi Melayu di DUN Permatang Pasir bagi berpatah balik kepada UMNO-BN?

10. Ataupun sesuatu sedang berlaku di negara kita yang kita sendiri tidak begitu pasti? Walau apapun yang berlaku atau politik dalaman yang berlaku, diharap ianya hanyalah seperti ribut di cangkir kopi dan tidak menjejaskan UMNO secara keseluruhan. Kestabilan UMNO dan BN banyak mempengaruhi kestabilan negara.

11. Kita tentunya tidak rela sekali lagi menukar Perdana Menteri kerana agenda perubahan tidak mungkin akan dapat dijalankan kalau kita wujudkan puak di dalam parti kita.

Ahad, 2 Ogos 2009

Perlukah ISA di Malaysia?

1. Benarkah menghapuskan ISA adalah baik untuk rakyat? Benarkah ISA mengongkong rakyat dan zalim terhadap rakyat? Benarkah ISA merupakan jentera pemusnah yang dijadikan alat oleh pemerintah untuk menghukum seteru politik mereka di negara ini? Benarkah ISA perlu dihapuskan sama sekali?

2. Membaca kenyataan Tun Abdullah di dalam satu kenyataan beliau tempohari amat mengejutkan kita. Beliau menyokong penghapusan ISA di Malaysia. Benarkah beliau akan menyertai Pakatan Rakyat seperti yang pernah di war-warkan sebelum ini? Penulis tidak pasti tentang ini dan sekiranya ini berlaku maka kita tidak akan mampu berbuat apa2 kerana negara ini merupakan negara demokrasi. Setiap rakyat bebas bersuara dan memilih tetapi sebagai pejuang Melayu sejati saya yakin Tun Abdullah mempunyai pertimbangan beliau sendiri dalam membuat keputusan terbaik untuk negara dan bangsa.

3. Kita lupakan sejenak tentang cerita mantan PM, kita renungi seketika perhimpunan anti ISA dan perhimpunan pro-ISA yang berlangsung semalam. Wajarkan perhimpunan haram ini diadakan?

4. Sejauh manakah kesan perhimpunan ini terhadap perubahan dasar negara tidak dapat pula dipastikan apabila Dato' Seri Najib mengeluarkan satu kenyataan bahawa ISA tidak akan dihapuskan sebaliknya akan dikaji dan diubah pada perkara2 tertentu sahaja. Itu pun masih dalam peringkat kajian dan perbincangan.

5. Jadi apa gunanya kita membuat kecoh di saat negara menghadapi kekangan ekonomi yang dahsyat ketika ini. Saya bukannya tidak sensitif mahupun simpati dengan mangsa ISA yang ditahan tanpa pembelaan selama bertahun-tahun lamanya di Kamunting. Tetapi saya amat yakin penahanan mereka pasti mempunyai sebab2 tertentu. Samada mereka terlibat dalam aktiviti subversif yang menggangu gugat kepentingan negara atau atas sebab2 lain yang mereka sendiri tahu sebenarnya.

6. Sekiranya ISA dihapuskan, pernahkah kita terfikir akan kesan dan akibat buruknya? Pernahkah kita terfikir kesan buruk berikut?:

1. Rakyat akan hidup dalam ketakutan disebabkan oleh kadangkala gerakan demontrasi yang melibatkan golongan berkepentingan ini akan berakhir dengan keganasan. Aktiviti perniagaan terjejas. Aktiviti membeli belah rakyat akan terhad.

2. Pelabur asing akan takut untuk melabur di Malaysia disebabkan oleh merasa keadaan politik negara tidak begitu stabil. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan ekonomi negara.

3. Budaya rundingan akan berakhir sebab sekiranya tuntutan ke atas perkara2 tertentu tidak dipenuhi, rakyat akan memprotes di jalan raya dan bukannya melalui pandangan2 tertentu kepada kerajaan melalui saluran yang betul. Hal ini tidak baik untuk sesebuah kerajaan demokrasi di mana suara majoriti rakyat dalam pilihanraya tidak begitu 'laku'lagi. Suara di jalanan lebih kuat.

4. Rakyat bawahan hanya digunakan oleh golongan tertentu untuk menjayakan agenda politik mereka. Kadangkala mereka sendiri pun tidak begitu faham apa itu ISA dan bagaimana ianya digunapakai dalam konteks negara kita.

5. Kerosakan harta benda awam. Hal ini tidak baik dan kebiasaannya dalam siri demontrasi inilah yang berlaku.

6. Imej negara tercalar dan jatuh di mata negara luar.

7. Golongan2 tertentu yang tidak bertanggungjawab akan sentiasa melakukan sesuka hati mereka untuk mencari publisiti politik dengan cara yang mudah tetapi menyusahkan semua pihak.

8. Keadaan negara sentiasa akan tidak selamat dan tenteram. Rakyat tidak lagi bebas bergerak untuk melakukan aktiviti mereka disebabkan oleh ancaman2 seperti tunjuk perasaan dan sebagainya.

7. Saya berpendapat, ISA WAJAR dikekalkan demi untuk menjaga kepentingan majoriti rakyat negara ini. Mungkin sedikit pindaan diperlukan bagi memastikan tidak wujud sebarang unsur kezaliman dalam melaksanakan akta tersebut. Jadi, buat masa ini saya masih dengan pendirian bersetuju dengan ISA.