Jumaat, 18 Februari 2011

Pilihanraya Kampus 2011: HARAPAN Alumni

Salam semua..dah lama saya tak menulis dalam blog saya disebabkan oleh masalah yang tak dapat dan tak mampu dielakkan.

Semalam merupakan hari penamaan calon bagi kampus Universiti Malaya sempena Pilihanraya Kampus sesi ini. Saya kurang berminat untuk menulis tentang universiti lain memandangkan saya tiada pengalaman dengan sistem universiti lain.

Di kesempatan ini saya ingin nyatakan apa sebenarnya yang saya inginkan jauh di dalam dasar hati saya semasa bersama2 rakan lain mengasaskan gerakan pelajar sekitar 1999 hingga 2001 dahulu. Dulunya dikenali sebagai MGMUM atau Majlis Gabungan Mahasiswa UM. Tujuan saya menubuhkan gerakan pelajar adalah:

1) Bukan untk menjadi pak turut kepada mana-mana parti politik tak kiralah UMNO atau PAS sekalipun parti utama lain di Malaysia

2) Berdiri atas pendirian kuat sebagai mahasiswa dan mengutarakan idea2 bebas mahasiswa dalam pelbagai aspek bermula dari aspek fasiliti kampus hinggalah ke persada politik negara mahupun dunia. Dalam ertikata lain, mahasiswa bukan sekadar menjadi jentera pilihanraya malah membawa dasar dan mengutarakan dasar utama universiti mahupun memberikan idea kepada pemerintah idea2 dan saranan kepada pemerintah.

3) Mahasiswa menentukan arah tuju kampus bersama2 pentadbiran untuk mencorakkan autonomi kampus dalam konteks sebenarnya.

4) Mahasiswa bebas melakukan aktiviti dan tidak dikonkong dengan pelbagai peraturan ala asrama seperti yang terjadi di semua kampus hari ini. Maka lahirlah robot2 yang hanya menjalankan sesuatu berdasarkan arahan semata2 dan tidak berpendirian.

5) Kepimpinan kampus mampu untuk berhujah dengan baik dalam soal dasar negara dan kampus serta mampu menguasai kemahiran berucap dengan kemas di mana2 sahaja arena.

6) Mahasiswa harus menjadi agen atau jurubicara ummah dalam konteks yang sebenar.

Itu antara harapan kami pada waktu itu dan kami sentiasa berharap mahasiswa terus menjadi ikon masyarakat dan pandangan mereka terus dihormati.

Jalil
Mantan Pengerusi MGMUM

Selasa, 22 Jun 2010

PEMANSUHAN PMR dan UPSR...

1. Saya agak terkejut apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemungkinan untuk memansuhkan 2 peperiksaan utama negara iaitu UPSR dan PMR sebaliknya mengekalkan SPM.

2. Secara peribadinya saya agak kurang setuju dengan tindakan terbaru kerajaan ini. Adakah selama ini semua graduan atau bukan graduan yang berjaya di dalam dan di luar negara yang lahir di Malaysia melalui sistem pendidikan yang dah berpuluh tahun ini tidak efisien? Adakah keputusan ini menggambarkan kurangnya kualiti kita semua yang selama ini berorientasikan peperiksaan ini adalah hasilan dari satu sistem yang dianggap gagal? Saya rasa tidak...

3. Sesuatu sistem itu diubah atau dinaiktarafkan apabila terbukti sistem tersebut tidak berkesan. Tetapi dalam hal ini, saya tidak nampak kegagalan kepada sistem 3 peperiksaan utama ini.

4. Antara sebab saya mengatakan begitu:

1) UPSR- Peperiksaan ini adalah perlu untuk menempatkan dan mengasingkan pelajar cemerlang, sederhana dan kurang cemerlang. Hal ini perlu untuk menyusunatur tahap penyampaian guru di sekolah.

Selain itu, melalui peperiksaan awal ini juga, pelajar akan didedahkan dengan ketahanan mental di peringkat awal lagi untuk menempuhi cabaran dan cabaran mental ini hanya boleh diperolehi salah satunya adalah melalui peperiksaan.

Para ibu bapa pula akan memastikan anak-anak mereka berusaha belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai sesuatu kemahiran dalam semua mata pelajaran yang diambil oleh anak mereka. Hal ini akan meningkatkan mutu pengetahuan murid-murid kerana mereka akan berada pada tahap optimum sebelum menghadapi peperiksaan. Samada mereka akan lupa selepas peperiksaan itu adalah hal lain kerana tahap ingatan otak manusia lumrahnya memang begitu. Tetapi apa yang penting, mereka sudah menguasai pengetahuan atau konsep tersebut bukannya menghafal sahaja sesuatu konsep tersebut.

2- PMR- Peperiksaan ini perlu untuk menempatkan pelajar mengikut aliran yang mereka layak atau kehendaki. Kelayakan yang tertinggi untuk aliran utama adalah aliran sains. Untuk masuk ke aliran sains, maka penguasaan dalam subjek berkenaan di peringkat awal adalah sangat perlu. Hal ini kerana pemahaman konsep sains tulen adalah agak sukar dan memerlukan daya fikir yang optimum serta kemahiran matematik yang selayaknya.

Sekiranya peperiksaan ini dihapuskan, bagaimana kita dapat memastikan atau menentukan aliran aliran yang akan dipilih oleh pelajar ini? Kalaupun berdasarkan minat, kemungkinan akan berlaku masalah ketidakmampuan untuk membawa subjek-subjek berat berkenaan atau mengambil separuh jalan akan berlaku.

5. Secara dasarnya, saya merasakan penghapusan peperiksaan utama negara tersebut adalah tidak wajar. Jika ini berlaku maka akan timbullah masalah kurangnya minat untuk belajar di kalangan anak-anak serta dorongan dari ibu bapa juga akan kurang.

Sekurang-kurangnya peperiksaan akan menjadi sebab utama ibu bapa untuk memaksa anak-anak untuk belajar dan seterusnya guru-guru juga bersemangat untuk berlumba-lumba bagi mencapai keputusan terbaik berdasarkan pencapaian ranking sekolah mereka.

6. Harapan saya semoga pihak kerajaan akan mengkaji semula tindakan penghapusan peperiksaan ini demi kebaikan semua pihak. Sebab kita tidak mahu pihak kerajaan sekali lagi terpaksa menarik balik keputusan sama seperti yang berlaku ke atas PPSMI suatu ketika dahulu yang bukan sahaja menyusahkan semua pihak malah mencetuskan polemik nasional.

Khamis, 8 April 2010

ANTARA PERKASA DAN UMNO...

1. Mutakhir ini kita sering terbaca di dada-dada akhbar kebangkitan NGO-NGO Melayu dalam memperjuang dan mempertahankan hak Melayu. Kebangkitan NGO Melayu kali ini dilihat sepertimana kebangkitan NGO-NGO Melayu sekitar awal tahun 2000 dahulu atas nama kebangkitan semangat Melayu dan atas sokongan terhadap sesuatu isu yang timbul ketika itu.

2. Di sebalik kebangkitan NGO Melayu yang berlaku secara mendadak dan sokongan yang agak besar terhadap NGO Melayu khususnya sokongan terhadap PERKASA yang didokong oleh Datuk Ibrahim Ali, saya terfikir ke manakah hilangnya peranan parti politik terbesar orang Melayu seperti UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu (tanpa mengabaikan hak kaum lain)? Ke manakah UMNO?

3. Benarkah UMNO sudah tidak dilihat sebagai tempat dan dahan yang kuat bagi mendokong dan menyuarakan hak-hak Melayu? Kalau UMNO sudah tidak mampu bercakap tentang hak-hak saya, hak-hak keluarga saya mahupun bangsa saya di bumi Malaysia ini kenapa harus saya mempertahankan UMNO? Apa yang saya boleh dapat dari menyokong pertubuhan yang suatu ketika dulu telah menyelamatkan bangsa saya? Perlukah sokongan kita terhadap sesuatu pertubuhan itu hanya kerana ia mempunyai sejarah yang baik dengan orang terdahulu?

4. Saya tidak menafikan dan tidak menolak kemungkinan bahawa orang Melayu ketika ini telah mula hilang keyakinan terhadap UMNO. Umno dilihat telah mula hilang arah tuju dan sokongan. UMNO kini telah menjadi sebuah parti yang terlalu liberal dan terbuka pada pandangan sesetengah orang. Benarkah begitu?

5. Kalau sebegini negatif pandangan terhadap UMNO, bagaimana mungkin UMNO akan memenangi PRU ke 13 nanti?

6. Saya secara peribadi nampak Dato Seri Najib dalam kepimpinan beliau cuba menjadi Perdana Menteri bagi semua kaum di negara ini. Itu tidak salah dan sebagai Perdana Menteri sepertimana kita lihat Tun Dr Mahathir pun walaupun beliau seorang yang digelar ultra Malay sebelum menjadi PM tetapi setelah menjadi PM berjaya mengawal semua kaum dengan adil dan baik. Sebagai PM, beliau tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana kaum di negara ini.

7. Namun sebagai ahli dan pendokong perjuangan UMNO, kita tidak perlulah menjadi kerajaan. UMNO harus kekal sebagai wadah untuk bercakap soal hak dan kepentingan Melayu.

8. Pergerakan Pemuda UMNO khususnya tidak perlu menjadi seperti kerajaan. Peranan pemuda UMNO adalah inklusif dan seharusnya menjadi wadah dan suara rakyat dan bukan suara kerajaan kepada rakyat. Konsep dan pemahaman ini seharusnya diperbetulkan. Pemuda harus dilihat membawa suara rakyat dan golongan bawahan terutama golongan muda yang amat dahagakan ketegasan dan ketangkasan pemuda sejajar dengan peranan golongan tersebut.

9. Kesimpulannya, UMNO harus bangkit menjadi wadah orang Melayu untuk menyuarakan hasrat mereka dalam kerangka politik nasional mahupun peringkat parti. Rakyat harus melihat UMNO terus relevan dan terus gah berjuang mempertahankan hak mereka dan seterusnya membangunkan ekonomi mereka secara total.

10. Namu hari ini kita harus mengakui rakyat telah mula melihat UMNO tidak lagi menyuarakan hak dan suara mereka. UMNO dikatakan lebih bersifat neutral dan lebih sederhana dalam apa jua pendekatan plitik walaupun dalam keadaan-keadaan tertentu mereka perlu bangkit sebagai suara Melayu bagi terus membawa agenda bangsa.

Jumaat, 26 Februari 2010

Salam Maulidur Rasul

1. Di kesempatan dan hari yang penuh berkat ini saya ingin mengucapkan salam maulidurrasul buat semua sahabat2 pengikut yang beragama Islam.

2. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik ikutan kita sebagai umat Islam. Sikap baik yang ditunjukkan sebagai pemimpin umat dan negara telah membawa Islam ke satu tahap yang boleh dibanggakan dan Rasulullah SAW juga diiktiraf hatta oleh bukan Islam sekalipun sebagai pemimpin paling berjaya dan berpengaruh sepanjang zaman.

3. Walaupun baginda SAW telah 1400 tahun lebih meninggalkan kita, namun sirah dan sunnah yang ditinggalkan kepada kita sebagai panduan sepanjang zaman tidak harus dilupakan. Pengamalan sunnah baginda akan membawa kita ke jalan sebenar yang lurus dan insya ALLAH akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak.

4. Salam maulidurrasul dan semoga kita dapat menghayati dengan sebenar-benarnya sunnah baginda dalam segenap aspek kehidupan kita. Amin...