Ahad, 26 Julai 2009

Selamat Jalan Allahyarhamah Yasmin Ahmad

Yasmin Ahmad merupakan satu nama besar dalam industri perfileman negara. Karyanya mengangkat martabat filem kita dan membuka dimensi baru perfileman negara. Arwah boleh dianggap mempunyai kelas tersendiri dalam penghasilan karya yang mampu merubah persepsi masyarakat walaupun kadangkala menimbulkan kontroversi.

Selain filem, sumbangan dan impak yang telah beliau tinggalkan dalam penghasilan iklan komersil seperti iklan2 Petronas memberikan satu legasi kepada beliau. Kita pasti akan merindui sentuhan beliau terutama di musim2 perayaan yang bakal kita raikan nanti.

Arwah Yasmin Ahmad sukar dicari ganti...legasi beliau diharap akan mampu melahirkan satu lagi kualiti seakan2 kualiti yang telah ditunjukkan kalaupun tidak setanding tetapi setidak-tidaknya seakan2 beliau...Alfatihah...Selamat Tinggal...semoga rohmu ditempatkan bersama orang2 yang beriman.

JALILMM

Jumaat, 24 Julai 2009

Mahasiswa Dan Suara Perubahan

1. Walaupun telah hampir 7 tahun meninggalkan kampus dan aktivitisme mahasiswa, namun keinginan untuk mengambil tahu dan sesekali menjengah isu mahasiswa agak menarik untuk disentuh dan dikupas dalam posting ini.

2. Mahasisa dikatakan sebagai suara ummah ataupun juga seringkali dilabelkan sebagai agen perubahan. Ramai dikalangan kita yang sering meremehkan perjuangan mahasiswa tetapi secara peribadi saya berpandangan suara mahasiswa dan perjuangan mereka adalah satu perjuangan yang 'valid' dan memperjuangkan idealisme serta apa yang mereka percaya walaupun kadangkala agak dangkal tetapi suara yang diperjuangkan ini wajar diambil kisah sama seperti bagaimana kerajaan mengambil berat suara NGO2 mahupun suara Pemuda UMNO mahupun parti politik lain.

3. Baru2 ini kita lihat apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM). Isu contengan 'bini puaka' yang ditujukan kepada wanita pertama negara cukup mengejutkan negara. Benarkah ini yang mereka percaya? Beginikah tahap ataupun kualiti mahasiswa sekarang? Saya melihat aspek penguasaan emosi melebihi daya intelek mahasiswa dan keadaan ini amat merbahaya. Sesuatu yang tidak kena dengan produk universiti masa kini!

4. Saya berpandangan mahasiswa kini telah dikongkong pemikiran mereka hingga mereka akhirnya tidak mampu menghasilkan hujah sendiri yang mempunyai nilai intelektual yang tinggi yang mampu memberikan impak kepada massa. Kongkongan tersebut termasuklah mereka terlalu dibebankan dengan hafalan atau pencarian fakta yang melebihi keperluan pasaran pekerjaan hingga mengurangkan masa mereka untuk membaca atau mengkaji bahan - bahan ilmiah lain di luar 'circle' mereka yang mampu bentuk daya fikir yang lebih baik.

5. Selain itu pihak berwajib terhadap pendidikan serta sistem pendidikan negara kita juga banyak melatih mahasiswa menjadi seolah-olah seperti terpaksa menerima saja apa yang diberi tanpa soal. Sedangkan sistem pendidikan sepatutnya melatih kita untuk membentuk satu teori atau pandangan baru yang bersifat lebih kreatif dan innovatif demi meningkatkan produktiviti negara.

5. Oleh itu, dalam konteks di atas, sebagai mahasiswa yang cerdik, mereka tidak boleh melakukan tindakan atau perilaku yang menduplikasi pembangkang secara membuta tuli tanpa memikirkan dulu kualiti hujah mereka atau kualiti demontrasi yang ingin dibuat. Satu fakta atau counter attack yang bernilai ilmiah amat diperlukan bagi menaikkan kualiti pandangan masyarakat terhadap mahasiswa.

6. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, satu kajian menyeluruh terhadap kaedah pembelajaran terutama di Universiti harus dilakukan segera untuk mengelakkan turunnya kualiti mahasiswa dari segi gaya fikir terhadap sesuatu perkara. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka martabat mahasiswa akan jatuh dan menjadi rendah.

Rabu, 15 Julai 2009

Manek Urai- Berakhirnya Era Emas PAS


1. 'Kemenangan' tipis PAS dalam pilihanraya Manek Urai semalam menyaksikan petanda buruk telah mula melanda PAS dan Pakatan Rakyat. Kubu kuat di Manek Urai menyaksikan langkah yang dicanangkan oleh PAS langkah ke Putrajaya seolah-olah tersekat sedikit dengan keputusan tersebut.

2. Fakta menunjukkan PAS tewas di 5 peti undi daripada 9 di mana menyaksikan golongan muda mengalihkan sokongan mereka terhadap BN. Sesuatu yang sukar diterima terutama oleh kepimpinan PAS sendiri.

3. Saya berpandangan beberapa faktor mungkin menyebabkan keadaan yang luar biasa ini terjadi.

4. Pertama: Rakyat sudah mula menampakkan PAS semakin mula angkuh dan riak dengan sokongan rakyat terhadap mereka terutama selepas Mac 2008 yang lepas. Tetapi mereka lupa pada ketika itu, faktor penolakan terhadap kepimpinan Tun Abdullah memainkan peranan di samping faktor kurang popular lain seperti kenaikan harga minyak dan harga barang pada ketika itu. Ketika ini dengan kepimpinan baru yang lebih terbuka dan kemas, rakyat sudah mula menampakkan bahawa UMNO-BN masih relevan untuk memimpin mereka.

5. Kedua: Orang Melayu terutama golongan yang di atas pagar dan golongan muda mahukan perubahan terutama di Manek Urai sendiri yang begitu ketinggalan dari arus pembangunan. Mereka percaya kerajaan pusat dapat membantu mereka untuk keluar dari permasalahan mereka dan seterusnya mampu memberikan yang terbaik untuk kehidupan mereka.

6. Ketiga: Kenyataan - kenyataan Tuan Guru Nik Aziz agak keterlaluan dalam menghukum UMNO- BN mengundang rasa simpati orang Melayu terhadap BN. Selain itu, ketiadaan poster Hadi Awang pada peringkat awal kempen juga memberikan kesan terutama kepada penyokong PAS aliran pro muzakarah dengan UMNO.

7. Keempat: Kekurangan makumat seperti dari media alternatif seperti internet juga mungkin menyebabkan pengundi di Manek Urai lebih bersandarkan kepada maklumat dari berita mahupun akhbar aliran utama berbanding maklumat dari pembangkang yang lebih berkesan untuk kawasan bandar.

8. Kelima: Kemelut yang berlaku di dalam PAS selepas pemilihan PAS juga mungkin memberikan kesan terhadap jentera PAS untuk pilihanraya kecil ini.

9. Keenam: Bagi golongan muda, UMNO di era Dato seri Najib dilihat lebih remaja dan segar berbanding PAS yang akhir-akhir ini lebih banyak didominasi oleh Nik Aziz dan golongan lama. Dari segi perletakan calon juga PAS dilihat lebih ortodoks dan agak tua berbanding UMNO yang meletakkan calon yang muda dengan idea baru dan lebih segar.

10. Ketujuh: Faktor Khairy Jamaluddin yang memimpin pemuda dengan gaya politik baru juga diakui banyak membantu di dalam memberikan undi kepada BN. KJ dilihat lebih dekat dengan pemuda dan lebih bertenaga dalam memimpin pemuda hingga menenggelam pimpinan pemuda PAS yang dilihat tidak mewakili aspirasi golongan muda di negeri itu.

11. Mungkinkah era emas PAS bakal berakhir? Atau keputusan ini sekadar untuk mengingatkan PAS agar tidak terlalu angkuh dalam tindakan dan perkataan mereka tidak kira kepada kawan mahupun lawan?

Sabtu, 11 Julai 2009

Pemansuhan PPSMI- Dasar Yang Tidak Konsisten


1. Dalam posting yang lalu, saya banyak kali menekankan bahawa pengajaran subjek teknikal dalam Bahasa Inggeris adalah sememangnya tidak perlu kerana aspek teknikal memerlukan satu pemahaman konsep. Walaupun medium penyampaian untuk memberikan kefahaman amat penting namun kaedah mahupun konsep lebih penting dari aspek bahasa itu sendiri.

2. Bahasa yang digunakan tidak kira apa bahasa sekalipun menjadi soal kedua asalkan para pelajar dapat memahami konsep sesuatu perkara dengan baik. Dalam konteks Malaysia, Bahasa Melayu adalah medium terbaik untuk memberikan kefahaman kepada para pelajar kerana ia adalah bahasa ibunda, maka Bahasa Melayu harus menjadi medium tebaik untuk menyampaikan sesuatu konsep Sains dan Matematik.

3. Ahli politik mahupun mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir harus melihat keputusan kerajaan ini bukan dari sudut politik semata-mata mahupun melihat penghapusan dasar ini adalah satu petanda kemusnahan pembinaan keupayaan bangsa dalam menguasai Bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai bahasa ilmu dunia sebaliknya harus melihat dari sudut teknikal dalam konteks negara kita seperti para guru yang tidak begitu cukup dan lain-lain sebagai justifikasi terbaik bgi keputusan ini.

4. Cuma kita harus memikirkan juga nasib anak-anak kampung yang selama 6 tahun sepanjang perlaksanaan dasar ini dan ada juga di antaranya yang gagal ke Universiti hanya disebabkan oleh kelemahan penguasaan Bahasa inggeris sedangkan jika subjek tersebut diajar dalam Bahasa Melayu keadaannya mungkin berbeza. Mungkinkah mereka ini harus diberikan peluang sekali lagi melalui peperiksaan khas atau apa jua mekanisme yang difikirkan sesuai?

5. Kita semua tertanya-tanya, apa sebenarnya keputusan peperiksaan para pelajar ini samada di peringkat UPSR, PMR mahupun SPM sepanjang dasar ini dilaksanakan kerana selama ini gambaran yang diberikan oleh pihak kerajaan terutama ketika keputusan peperiksaan diumumkan adalah baik belaka. Kita selalu terbaca di dada akhbar bahawa peratus keputusan untuk Bahasa inggeris dan Sains meningkat dan sebagainya yang indah-indah. Kalau keputusan meningkat dan baik, kenapa dasar ini harus dihapuskan?

6. Sebagai rakyat bawahan, kita semua merayu pihak kerajaan agar jangan terlalu memperlekehkan daya intelek rakyat dengan cara sebegini di masa hadapan. Tindakan pihak kerajaan yang mempolitikkan pendidikan amat tidak wajar. Pendidikan dan pembinaan upaya bangsa melalui medium ilmu adalah asas paling penting dalam pembinaan sesebuah negara. Sekiranya tidak ada kajian yang baik dilakukan oleh pihak kerajaan di mana pakar-pakar harus dipanggil terlebih dahulu sebelum perlaksanaan dasar maka keadaan yang sungguh mengecewakan ini tidak mungkin akan berlaku.

7. Dasar flip flop di dalam membuat keputusan strategik dan penting untuk negara pada masa hadapan haruslah dihentikan serta merta kerana implikasinya amat buruk terutama untuk jangka panjang.

8. Generasi muda adalah pewaris penting yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara di masa hadapan manakala ilmu pula adalah bekalan bagi mempersiapkan diri mereka ke arah itu. Kerajaan sedar perkara ini tetapi kita tidak mempraktikkan dalam urusan pentadbiran negara.

9. Diharap pada masa hadapan, kerajaan akan mengambil kira pandangan ahli akademik mahupun mereka yang ahli dalam bidang tertentu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan terutama yang melibatkan pendidikan. Namun begitu, ucapan tahniah patut diberikan juga kepada pihak kerajaan walaupun setelah 6 tahun!