Selasa, 27 Mei 2008

APA AGENDA EZAM DAN ANWAR IBRAHIM DI DALAM UMNO?

Saya selalu termenung dan berfikir. Tidak kira di mana dan dalam apa keadaan saya selalu berfikir tentang kewajaran tindakan seseorang apatah lagi dalam dunia politik. Saya sangat berminat untuk mengikuti, mengkaji serta meramal perkembangan politik dan menulis menyatakan pandangan tentang peristiwa tersebut.

Tapi kes yang satu ni saya merasakan ada sesuatu yang ‘ganjil’ telah berlaku terutamanya yang melibatkan UMNO dan bekas tokoh terkenal pembangkang suatu ketika dahulu. Siapa lagi kalau bukan Ezam Mohd Nor.

Saya mempunyai satu ramalan yang saya rasa mungkin tepat atau mungkin tidak tetapi saya ada asas untuk berpendapat begini. Ramalan saya ialah :

"Kemasukan Ezam ke dalam UMNO adalah merupakan perintis kepada usaha membawa kembali Anwar ke dalam UMNO. Ezam akan sekali lagi menjadi askar yang akan bersilat mempertahankan bosnya itu tetapi dalam gelanggang yang berbeza dan gelanggang tersebut adalah UMNO! "

Kenapa? Tak percaya? Teori ini mungkin ada benarnya dengan keadaan kemelut politik UMNO yang berlaku sekarang ini. Mungkinkah kemelut politik yang berlaku sekarang ini adalah satu ciptaan politik pihak-pihak tertentu untuk beri justifikasi bagi membawa kembali Anwar ke dalam UMNO?

Mungkinkah Tun Dr Mahathir telah dapat menghidu perkara ini lebih awal lantas beliau mengumumkan untuk keluar dari UMNO? Saya percaya Tun bukan seorang yang bodoh dan tak mungkin seorang negarawan akan melakukan tindakan yang sebodoh ini iaitu meninggalkan parti yang menjadi tunjang kepada orang Melayu. Tun mesti mempunyai sebab yang utama untuk berbuat begitu walaupun secara peribadi saya agak kurang setuju dengan keputusan beliau tersebut.

Ayuh kita sorot kembali sejarah perjuangan Ezam di luar UMNO suatu ketika dahulu. Umum mengetahui suatu ketika dahulu Ezam Mohd Nor adalah seorang yang sanggup bermati-matian berjuang dan merupakan tokoh yang sanggup keluar masuk penjara dan turun naik mahkamah demi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bosnya yang ketika itu dihumban oleh Dato’ Seri Dr Mahathir (sekarang Tun) ke dalam penjara Sungai Buloh selama enam tahun atas tuduhan rasuah dan liwat.

Kemudian, setelah perjuangan beliau boleh dikatakan berjaya dan Dato’ Seri Anwar dibebaskan, berlaku krisis peribadi antara beliau dengan Sdr Azmin Ali (kini YB) hingga menyebabkan beliau bertindak keluar dari PKR dan seterusnya menubuhkan sebuah badan bebas yang dikenali sebagai GERAK (Gerakan Anti Korupsi Rakyat). GERAK terus bergerak sebagai sebuah badan pengkritik bebas dengan meneruskan agenda mendesak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah memerangi rasuah. Kes demi kes dibongkarkan oleh GERAK, walaubagaimanapun, entah di mana silapnya nama Saudara Ezam pula semakin lama semakin suam dan dingin.

Namun, namanya menjadi panas kembali apabila beliau secara lantang mengkritik bekas bosnya sendiri sebagai tidak memperjuangkan hak-hak Melayu dan tindakan beliau itu membuatkan pemerhati politik termasuk saya sebagai pemerhati awam dapat menghidu ‘perfume’ UMNO yang dipakainya. Seingat saya, saya pernah bersuara dalam cakap-cakap lobi dalam satu majlis di ibu Negara menyatakan bahawa Ezam akan masuk ke dalam UMNO dalam tempoh terdekat. Rakan-rakan terdekat saya juga berpendapat sedemikian namun masih dalam keadaan ragu-ragu ketika itu hinggalah selepas pilihan raya ke-12. Tetapi beberapa hari yang lepas saya terkejut apabila mengikuti berita di TV dan nama Ezam diumumkan akan memasuki UMNO dalam tempoh terdekat.

Walaupun kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak akan dapat untuk mengatasi kemelut yang berlaku di dalam UMNO ketika ini, namun saya percaya kemasukan orang muda seperti Ezam akan dapat mengisi ruang-ruang kosong di mana pemuda UMNO kini amat kurang seorang ahli yang mempunyai ‘jiwa pejuang’ dan mempunyai integriti yang tinggi. Saya sependapat dengan Ezam dalam agenda memerangi rasuah dan korupsi termasuk rasuah politik. Selain itu, saya berpendapat Ezam akan dapat mengisi ruang-ruang di mana kurangnya unsur keagamaan di dalam diri ahli UMNO ketika ini. Tidak dapat dinafikan, era kebangkitan Islam di Malaysia tidak dapat disangkal lagi. Untuk memenuhi tuntutan kebangkitan tersebut, UMNO harus keluar dari sekularisme dan pengasingan antara agama dan pentadbiran seperti yang berlaku sekarang. Agama bukan hanya perlu dibicara di masjid-masjid ataupun hanya terhad dalam majlis agama saja tetapi agama harus menyelinap masuk ke dalam seluruh aspek kehidupan kita. Jadi, untuk membawa agenda Islam, perlukan seorang pemimpin yang ada karisma Islam. Saya rasa walaupun masih belum begitu pasti, Ezam saya rasa (tak semestinya betul) ada sedikit sebanyak karisma tersebut dan beliau telah memilih wadah yang betul untuk mengisi perjuangan beliau. Ini kerana, PKR tidak akan mampu untuk merubah apa-apa terutama yang berkaitan dengan ehwal Islam memandangkan PKR parti sosialis. Konsep perjuangan sosialis selalunya akan mengasingkan antara agama dan pentadbiran. Lebih parah lagi sosialis tidak pernah berjuang untuk satu kaum sahaja. Sosialis berpendapat kesamarataan adalah asas kepada kehidupan dan tiada hak keistimewaan kaum.


"Kesimpulan dari teori tersebut ialah saya dapat merasakan terdapat satu usaha secara konsisten dari pihak-pihak tertentu untuk membawa kembali Anwar ke dalam UMNO"

Sekarang ini, seorang ‘peninjau’ dihantar dahulu untuk memerhatikan keadaan dalaman UMNO sebelum ‘panglima’ masuk ke dalam UMNO. Mungkin teori ini salah. Tetapi saya ada asasnya. Fikirkanlah…..

4 ulasan:

mazwanali berkata...

Anwar masuk UMNO?
kalau betul rumours yg kata Anwar ada YB Sabah yg boleh cross dari BN ke BA buat apa dia nak masuk UMNO lagi? UMNO skrg ni dah macam tak relevan dah.. sbb org Melayu dah makin pandai atau orang UMNO yg tak pandai2...

thereds berkata...

Ini lebih bersifat rumors yg kencang..walaupun tidak sehebat rumors tentang kenaikan gaji 600 ringgit..

IMHO..
Possibility;
Ezam masuk UMNO = 75%
Anwar masuk UMNO = 10%
Pak Lah resign = 0%

Latzrkht berkata...

Dua-dua pun aku tak suka...hak tuih..

Unknown berkata...

Walaupun apa pun agenda Ezam utk masuk UMNO (samada beliau ada hidden agenda atau betul2 ikhlas), yang pastinya memberi Pak Lah bernafas sikit setelah berbagai2 konflik dalam UMNO akhir2 ini terutamanya setelah PRU12 dan Mahathir keluar UMNO..