Rabu, 21 Mei 2008

BUDAYAKAN PERNIAGAAN

SABAN tahun pihak berwajib samada yang terbabit secara langsung atau tidak dalam usaha menggalakkan golongan bumiputera supaya melibatkan diri di dalam bidang perniagaan dihantui rasa bimbang dengan pembabitan golongan berkenaan dalam bidang tersebut tidak sehebat usaha untuk menggalakkannya. Tidak dapat dinafikan, cabaran utama adalah untuk mengalakkan lebih ramai Bumiputra, khususnya orang Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan terus menjadi satu cabaran utama kepada pembagunan ekonomi negara.

Langkah pihak kerajaan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan menekankan aspek penglibatan bumiputera di dalam bidang peniagaan merupakan satu perancangan yang bijak dan bolehlah disifatkan sebagai satu langkah yang besar (giant step) ke arah melahirkan lebih ramai peniaga Melayu. Sebelum pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), memang sukar berjumpa peniaga Melayu menjalankan perniagaan mereka di kawasan Bandar. Malah ketika itu amat sukar untuk melihat orang Melayu berniaga walaupun secara kecil-kecilan di bahu-bahu jalan. Hampir keseluruhan aspek perniagaan pada ketika itu didominasi oleh masyarakat Cina. Dominasi perniagaan ini bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar di mana penduduk majoriti adalah orang Melayu. Masyarakat Cina mendominasi hampir kesemua jenis perniagaan ketika itu baik di bidang peruncitan, bidang pemakanan mahupun bidang perkhidmatan seperti kedai membaiki motosikal atau basikal.

Secara amnya, rantaian (network) untuk menyediakan bekalan dalam peniagaan boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama. Peringkat pertama adalah peringkat sumber asli seperti penghasilan tanaman, sumber galian, hasil laut dan sebagainya. Secara tradisi orang Melayu memang ramai tarbabit pada peringkat ini. Peringkat kedua dalam rantaian bekalan ialah bidang pembuatan yang mana sumber asli diberi nilai tambah bagi menghasilkan produk tertentu. Sebelum DEB, jika ada pun pembabitan orang Melayu di bidang pembuatan hayalah secara kecil-kecilan dalam perusahaan tidak strategik. Peringkat seterusnya ialah bidang pengedaran dan pemborongan yang asalnya dikuasai syarikat penjajah Inggeris. Pada masa itu ramai usahawan Cina pada peringkat peruncitan dapat melihat peluang bidang pengedaran dan pemborongan. Mereka berjaya menebusi bidang ini dan menguasainya hingga sekarang. Terakhir adalah rantaian bekalan di peringkat peruncitan. Pembabitan masyarakat Melayu pada peringkat peruncitan sebelum DEB memang ada tetapi penglibatannya amat terhad.

Usia DEB yang kini telah menjangkaui melebihi 3 dekad ternyata masih belum mencukupi untuk meningkatkan kualiti perniagaan orang Melayu. Antara punca paling utama kegagalan orang Melayu adalah disebabkan oleh masalah pandangan dari perspektif yang salah terhadap perniagaan itu sendiri di samping masalah sikap. Pandangan dan sikap tipikal masyarakat Melayu yang sering memberi hujah masyarakat Cina lebih berjaya dalam peniagaan kerana ‘mewarisi’ budaya berniaga sejak sekian lama adalah merupakan satu paradigma songsang yang kian bersarang difikiran majoriti masyarakat Melayu, kononnya masyarakat Melayu masih dalam proses membina budaya perniagaan dan ini memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya. Masyarakat Cina sebenarnya bukan hanya menjadi pewaris atau sekadar penyambung kepada budaya perniagaan yang diwarisi mereka, sebaliknya mereka mempunyai kualiti sebagai seorang pengurus perniagaan yang berjaya. Sekali lagi ini berkaitan dengan sikap dan attitud diri orang Melayu secara majoritinya. Perubahan kepada sikap memerlukan perubahan kepada paradigma pemikiran atau dalam bahasa Inggerisnya dikatakan ‘Mindset Changes’. Kegagalan untuk merubah cara ataupun budaya fikir akan menyebabkan kegagalan untuk merubah bentuk tindakan kita!.

Jika dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh, tidak semua orang Cina berjaya di dalam bidang perniagaan. Namun secara perbandingan dengan masyarakat Melayu, maka boleh dikatakan nisbah kejayaan Masyarakat Cina di dalam bidang perniagaan melebihi masyarakat Melayu. Majoriti usahawan Cina didapati berjaya kerana mempunyai pandangan yang betul terhadap bidang perniagaan dan amalan tertentu dalam beberapa perkara penting apabila mengurus perniagaan. Pandangan dan amalan mereka ini telah melahirkan sikap yang betul untuk berjaya.

Apabila berbicara soal perniagaan, kita tidak dapat lari daripada berbicara aspek modal. Kesemua perniagaan tidak kira sebesar atau sekecil mana sekalipun memerlukan modal sebagai permulaan. Dalam kebanyakan kes, peniaga berketurunan Cina memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan terlebih dahulu dengan modal yang sedikit dan terhad. Kadangkala mereka hanya memulakan perniagaan di rumah tanpa perlu sebarang prasarana eksklusif seperti kedai, pejabat atau kilang. Hal sebaliknya pula menjadi amalan masyarakat Melayu di mana memulakan perniagaan dengan modal yang lebih besar dari diperlukan. Mereka memulakan perniagaan dengan pejabat serba lengkap dan menelan perbelanjaan modal yang begitu besar. Kadangkala, mereka tidak dapat membuat pusingan modal yang cukup dan seterusnya gagal di dalam perniagaan mereka di peringkat awal lagi. Memang tidak dapat dinafikan, imej memainkan peranan yang amat penting untuk memberi keyakinan kepada pelanggan. Namun sebenarnya keyakinan pelanggan akan terbentuk jika usahawan mampu menawarkan produk ataupun perkhidmatan yang berkualiti dengan harga kompetitif serta khidmat yang memuaskan. Ini mampu memberi imej yan baik di mata

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah usahawan Melayu tidak perlu menunggu suasana yang eksklusif untuk memulakan langkah mereka untuk memulakan perniagaan sebaliknya perlu mempunyai persepsi dan sikap yang betul untuk membentuk budaya niaga dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menerusi DEB untuk melahirkan lebih ramai usahawan Melayu atau bumiputera yang berjaya.

Tiada ulasan: