Rabu, 28 Mei 2008

WAJARKAH TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO?

Terkejut dan tersentak bercampur baur sewaktu saya menerima berita dari seorang rakan pada 19 Mei 2008 yang lalu menyatakan Tun Dr Mahathir mengumumkan untuk keluar dari UMNO. Ketika itu saya baru sahaja pulang dari Kursus anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Serdang yang diadakan di Port Dickson selama 3 hari.

Kebetulan sehari sebelum pengumuman mengejutkan tersebut, anak Tun Dr Mahathir iaitu YB Dato’ Mukhriz bersama-sama saya dan peserta program lain untuk sesi ceramah dan dialog bersama YB Dato’ Mukhriz di PD. Program kursus tersebut berlangsung kira-kira hampir 3 jam dan YB Dato’ Mukhriz juga memberikan ‘hint’ bahawa beliau berminat untuk merebut jawatan tertinggi pemuda tersebut pada pemilihan akan datang dan merayu sokongan dari Pemuda UMNO Bahagian Serdang.

Ketika pengumuman Tun Dr M, saya rasa YB Dato’ Mukhriz juga mungkin tidak tahu yang bapanya akan mengambil tindakan drastik sebegitu walaupun ‘bunga-bunganya’ telah ada sejak beberapa minggu lalu. Namun saya rasa beliau tidak terkejut dengan pengumuman tersebut sebab semua orang kenal dan tahu cara bertindak Dr M. Beliau cukup komited mahu memaksa Pak Lah letak jawatan hingga sanggup melakukan apa saja walaupun kadang-kadang khalayak merasakan tindakan tersebut lebih banyak meruntuhkan UMNO dari membina.

Walau apa sekalipun justifikasi yang diberikan oleh Tun Dr M di atas tindakannya itu, saya tetap merasa sedikit kecewa dan saya rasa mungkin ahli UMNO yang lain juga turut sama merasakan demikian kerana hasrat untuk memperkasakan kembali perjuangan UMNO dan membetulkan UMNO dari dalam terkubur dengan tindakan tersebut. Saya amat menghormati Tun Dr M di atas jasa-jasa beliau sebagai seorang negarawan ulung dan saya sendiri membesar dalam era pemerintahan beliau namun akal saya tidak dapat membaca atau menafsir rasionalnya tindakan Tun tersebut dan impaknya terhadap pengukuhan UMNO itu sendiri. Kalaupun tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan, saya rasa adalah lebih baik sekiranya desakan tersebut dilakukan dari dalam UMNO itu sendiri dan bukan suara dari luar UMNO. Selain itu saya nampak impaknya kepada Dato’ Mukhriz sendiri yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketu Pemuda nanti. Mungkinkah sokongan terhadap Dato’ Mukhriz akan berkurangan dengan tindakan tersebut?

Saya berpendapat Tun Dr M adalah seorang negarawan ulung dan seorang arkitek pembangunan Negara terhebat yang pernah dilahirkan di alam Tamadun Melayu. Beliau disegani dan dihormati oleh rakan dan musuh. Pendiriannya terhadap dasar luar US yang bersikap terlalu menekan Negara Islam adalah jelas dan kadangkala keras. Mesejnya terhadap Bush juga jelas dan kita semua tentu tidak akan dapat melupakan bagaimana beliau telah mengemudi Negara untuk menghasilkan formula tersendiri ketika berhadapan dengan krisis kewangan hingga formula kita diakui baik oleh IMF sendiri.

Tetapi dalam bidang politik, saya merasakan Tun Dr Mahathir BUKAN seorang ahli politik yang bijak. Banyak keputusan-keputusan politik yang dilakukan oleh beliau terbukti kurang berjaya Antaranya ialah kita dapat melihat beliau selalu sahaja salah di dalam memilih pimpinan di dalam kerajaan yang akhirnya membawa akibat pilihan beliau sendiri bertindak melawan beliau (Tun Musa Hitam), melakukan satu tindakan drastic memecat Dato’ Seri Anwar hingga menyebabkan satu Negara kucar-kacir dan Melayu berpecah, menjadi antara sebab UMNO diharamkan dan diganti dengan UMNO baru (walaupun bukan beliau punca utama tetapi hal ini berlaku di era pemerintahan beliau), memulakan system kuota pencalonan di dalam UMNO hingga parti UMNO dikatakan kurang demokratik, menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan hingga menyebabkan berlaku masalah seperti yang berlaku pada hari ini dan lain-lain tindakan beliau di dalam politik yang saya rasa tidak begitu bijak.

Jadi, saya rasa wajar kiranya saya untuk kurang bersetuju dengan tindakan beliau yang terbaru ini berdasarkan track record terdahulu beliau. Walaubagaimanapun, saya tetap menghormati Tun Dr M sebagai negarawan ulung dan menjadi antara idola saya selamanya. Namun seperti kata falsafah yang biasa kita dengar iaitu pemimpin datang dan pergi namun UMNO harus teguh berdiri.

Pada saya, kita perlu akur kepada peralihan kuasa yang akan dilakukan oleh PM kepada TPM dan proses demokratik parti akan menentukan yang lainnya. Sebagai individu yang menyokong perjuangan UMNO, kita mesti teruskan perjuangan dan kalau kita berhenti berjuang kita akan kalah. UMNO perlukan satu reformasi dari dalam dan bukan dari luar. Saya mahu melihat UMNO yang benar-benar baru dan bersih wujud di Malaysia yang tercinta ini.


2 ulasan:

malaysiarugby.blogspot.com berkata...

hang kena expose blog hang oooiii..
hang masuk keris pusaka melayu kat situ banyak blog2 lain

malaysiarugby.blogspot.com berkata...

hang masuk le blog aku
http://leoxa.com/tomtombak77/