DEFINASI belia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah mereka yang terdiri dari golongan yang berumur di antara 12 hingga 25 tahun, namun, menurut definisi oleh kerajaan Malaysia, belia ditafsirkan sebagai mereka yang berumur di antara 12 hingga 40 tahun dan definisi ini diguna pakai dalam sebarang bentuk organisasi yang melibatkan belia di Malaysia.
Tidak kira apa sekalipun definasi yang diberikan untuk menggambarkan golongan belia, namun hakikatnya belia ialah satu kelompok anak muda yang mempunyai fizikal yang bertenaga , sihat dan agresif dari segi tindak tanduk dan pemikirannya. Belia dikatakan sebagai golongan yang mempunyai visi dan pandangan yang jauh kerana secara adatnya mereka dikatakan golongan yang bakal mewarisi sesuatu yang akan ditinggalkan oleh golongan tua tidak kira mewarisi negara atau dalam konteks yang lebih besar mewarisi umat.
Persoalannya mampukah belia hari ini terutamanya belia Melayu menjadi pewaris yang berkesan untuk mewarisi sesuatu yang boleh disifatkan sebagai besar seperti mewarisi pentadbiran negara? Melihat kepada keadaan pada hari ini, belia seringkali dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu ‘problematic group’ atau satu kumpulan anak muda yang dikaitkan dengan unsur-unsur ataupun perlakuan negatif di dalam tindak tanduk mereka. Golongan ini seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak bermoral atau tidak baik seperti yang sering dihebahkan ketika ini seperti gejala dadah, rempit dan lain-lain lagi. Tanggapan negatif terhadap belia mempengaruhi aspek pendekatan terhadap golongan tersebut yang menjurus ke arah unsur-unsur tindakan untuk mengajar, membimbing malah mendisiplin, menguasai dan mengawal belia. Namun bagi sesetengah pihak yang menganggap belia sebagai aset kepada negara pula pendekatan yang diaplikasikan mengandungi unsur yang menjurus ke arah mendidik belia, di samping menggalakkan penglibatan serta memberi peluang kepada belia untuk mengambil inisiatif dan menggunakan kebolehan, imaginasi dan daya cipta mereka sendiri.
Dari segi statistik, golongan belia mewakili hampir 45% masyarakat Malaysia dan angka ini menunjukkan bahawa golongan belia merupakan penyumbang tenaga yang utama untuk pembangunan negara. Belia juga disifatkan sebagai aset negara yang mempunyai potensi diri yang amat tinggi untuk membangunkan negara ke satu tahap yang lebih baik. Namun persoalan timbul apabila pandangan pertama terhadap belia dilihat kini lebih dominan di mana gambaran yang diberikan oleh umum memberikan fakta bahawa belia yang menceburkan diri dengan perkara-perkara negatif seolah-olah lebih ramai dari golongan kedua. Jika hal ini benar-benar berlaku, maka hanya kira-kira 22.5% sahaja golongan belia yang boleh dikatakan sebagai aset negara dan selebihnya merupakan golongan yang memerlukan bimbingan secara berterusan. Sekiranya statistik ini benar, maka situasi masa depan yang boleh dikatakan sebagai kronik sedang dihadapi oleh negara kita di masa akan datang. Kenapakah hal seperti ini boleh berlaku?
Walaupun terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi permasalahan belia ketika ini, namun saya ingin menyentuh aspek keterlibatan belia terutama belia Melayu di dalam organisasi. Saya berpandangan masalah yang ditimbulkan oleh belia ketika ini masih mempunyai jalan keluar lain yang mampu untuk dilakukan oleh semua pihak. Pendek kata, penulis beranggapan gejala sosial yang timbul ketika ini adalah disebabkan oleh belia tidak mempunyai alternatif lain untuk mencari keseronokan atau beraktiviti. Oleh itu, walaupun bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah belia, namun saya beranggapan bahawa berorganisasi merupakan salah satu dari jalan keluar terbaik untuk belia melakukan aktiviti yang disukai oleh mereka.
Secara amnya golongan belia boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu:
1. Belia di dalam organisasi
2. Belia di luar organisasi
Kedua-dua kumpulan ini boleh dibahagikan kepada sektor-sektor tertentu seperti kelompok pertama, organisasi-organisasi berkenaan seperti pertubuhan-pertubuhan belia, kesatuan sekerja, parti politik khususnya sayap pemuda, badan agama, badan kebudayaan, badan professional, persatuan pelajar, persatuan pengguna, persatuan penulis mahupun persatuan-persatuan lain. Bagi kelompok kedua pula, terdiri daripada pekerja muda, petani muda, pelajar, penganggur, kakitangan kerajaan atau swasta dan sebagainya.
Berbicara tentang kelompok pertama, penglibatan golongan belia terutama golongan belia Melayu terhadap organisasi ketika ini dilihat agak hambar dan dingin. Kalaupun ada, penglibatan golongan belia Melayu hanyalah sekadar mengisi nama atau sekadar mencukupkan korum untuk sesebuah organisasi sahaja. Penghayatan terhadap aspirasi atau roh perjuangan sesebuah organisasi tersebut tidak dapat dijiwai sepenuhnya oleh mereka dan seterusnya keadaan ini menjadikan mereka tidak begitu berminat untuk terus mengikuti perjalanan organisasi yang disertai dan seterusnya gagal meraih manfaat dari organisasi tersebut. Saya beranggapan golongan belia Melayu kini berhadapan dengan beberapa dilemma yang mempengaruhi dan menyumbang kepada kegagalan fungsi sesebuah organisasi belia antaranya:
Dilema 1: Kegagalan dan Ketidakupayaan untuk Memimpin.
Ketidakupayaan pimpinan tertinggi organisasi untuk membawa gerakan belia ke arah yang sepatutnya merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak. Sesetengah pemimpin sesuatu organisasi atau pertubuhan belia walaupun mempunyai pekerjaan dan pelajaran yang tinggi tetapi masih gagal untuk memimpin organisasi ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Hal ini disebabkan oleh kurangnya penjiwaan roh atau intipati asas perjuangan sesebuah organisasi, ketiadaan rasa ‘ownership’ terhadap organisasi masing-masing, selain kelemahan kuasa untuk mengawal organisasi di samping personaliti diri yang tidak begitu dihormati menjadikan sesebuah organisasi itu menjadi ibarat hidup segan mati tidak mahu.
Dilema 2: Kepentingan Organisasi vs Kepentingan Diri
Kurangnya sokongan dari ahli jawatan kuasa yang dipimpin disebabkan oleh mereka tidak begitu merasakan peranan mereka diperlukan ataupun merasakan organisasi tersebut tidak relevan dengan kehendak mereka. Penglibatan ahli-ahli jawatankuasa selain ketua atau ahli majlis tertinggi memerlukan satu penerangan yang jitu dari aspek bagaimana gerakan belia tersebut relevan kepada mereka. Hal ini kerana, di zaman yang dikatakan moden ini, kebanyakan (tidak semua) golongan terutama belia Melayu meletakkan duit sebagai sesuatu yang sangat relevan dengan mereka. Pendek kata, penglibatan mereka di luar dari waktu kerja haruslah diberi ganjaran samada berbentuk kewangan atau kebendaan dan sekiranya gerakan sesuatu pertubuhan belia itu tidak menjuruskan kepada penambahan kepada pendapatan mereka yang berbentuk kewangan atau ganjaran-ganjaran lain, maka mereka menjadi ‘demotivated’ atau menjadi lesu kerana merasakan penglibatan tersebut adalah sia-sia. Walaupun tidak semua belia bersikap sebegini, tetapi faktor ini tidak dapat ditolak oleh kita memandangkan kebanyakan golongan belia terutama golongan professional merasakan masa di luar waktu kerja mereka adalah merupakan ‘masa emas’ dan wajar digantikan dengan ganjaran sekiranya masa tersebut digunakan.
Tidak dapat dinafikan, tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang melakukan sesuatu yang sia-sia atau tanpa arah tujuan. Pendek kata setiap perkara yang dilakukan haruslah mendatangkan manfaat kepada diri sendiri walaupun sedikit. Namun, belia harus mengamalkan sikap menyumbang terlebih dahulu sebelum menantikan ganjarannya. Tanpa sumbangan, maka tiadalah ganjaran. Sebagai orang Islam, belia harus percaya bahawa tanggungjawab fardhu kifayah ini perlulah diberikan juga perhatian untuk mengelakkan bala dari tuhan. Sifat bersabar dan ikhlas di dalam melakukan sesuatu didapati amat kurang kini dan budaya bekerja sambil menunggu hasil juga kian terhakis, malah belia kini (tidak semua) menjadi satu golongan yang mementingkan diri sendiri dan sentiasa mahukan hasil tanpa berusaha. Sungguh menyedihkan!
Dilema 3: Ketiadaan atau kekurangan sumber kewangan
Kewangan merupakan nadi atau tulang belakang kepada mana-mana organisasi tidak kira samada di peringkat belia hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Kekurangan atau ketiadaan sumber kewangan merupakan satu dilema dan boleh melumpuhkan gerakan sesebuah pertubuhan belia. Walaupun terdapat peruntukan dari segi kewangan diberikan oleh pihak kerajaan terutama pihak Kementerian Belia dan Sukan terhadap belia untuk melakukan aktiviti, tetapi hakikatnya kebanyakan belia di dalam organisasi tidak mengetahui saluran-saluran yang sesuai untuk mendapatkan peruntukan tersebut. Selain itu, terdapat beberapa perkara lain yang mungkin menjadi penghalang kepada golongan belia untuk mendapatkan peruntukan tersebut seperti kurangnya maklumat ataupun justifikasi terhadap program yang lemah yang mengakibatkan kertas kerja mereka ditolak oleh pihak-pihak yang sepatutnya memberikan peruntukan. Faktor kurangnya kreativiti oleh pihak kepimpinan organisasi untuk mencari penaja atau untuk mendapatkan peruntukan
Dilema 4: Penglibatan atau sambutan yang amat kurang terhadap penyertaan untuk menggerakkan sesebuah organisasi belia.
Hal ini terjadi kerana faktor masa di luar waktu bekerja dianggap sebagai masa emas oleh sesetengah golongan belia terutama sekali golongan professional. Ini kerana, orientasi sistem pendidikan kita sejak dari sekolah ataupun universiti telah mendidik kita bahawa penyertaan di dalam aktiviti berpersatuan hanya boleh dilakukan sekiranya mempunyai masa lapang yang cukup. Sistem tersebut menganggap sekiranya berlaku pertembungan antara pelajaran dengan aktiviti, maka aktiviti harus dijauhi seolah-olah pelajaran adalah segala-galanya bagi kita dan aktiviti berpersatuan itu secara tidak langsung menjadi kelas kedua. Hal ini tidak benar kerana kedua-dua perkara ini amat penting dan sistem pendidikan harus mengajar pelajar untuk membahagikan masa antara kedua-dua perkara ini dan bukanlah menolak!. Fenomena yang bertukar menjadi satu mentaliti songsang ini berlarutan sehingga di peringkat universiti di mana pimpinan mahasiswa di pelbagai peringkat semakin lama semakin sukar untuk mendapatkan penyertaan dari golongan pelajar untuk menyertai persatuan-persatuan yang terdapat di universiti. Kesan yang sama turut dirasai apabila pertubuhan-pertubuhan belia di luar kampus apabila hendak mengembangkan keahlian terutama di kawasan bandar. Di kawasan bandar, warga metropolitan terdidik oleh satu sikap yang cukup bahaya iaitu sikap mementingkan diri sendiri disebabkan oleh keselesaan dan kesenangan yang dinikmati. Oleh itu mereka merasakan tidak perlu menyertai pertubuhan-pertubuhan belia kerana tidak nampak signifikasinya pergerakan tersebut dengan kehidupan mereka. Atau dalam erti kata lain, penyertaan ke dalam organisasi dianggap sebagai membuang masa, menyusahkan, tidak mendatangkan apa-apa faedah dan mengurangkan masa yang sepatutnya diluangkan untuk anak-anak ataupun dengan keluarga. Golongan yang langsung tidak nampak sebarang faedah dengan penyertaan mereka ke dalam aktiviti atau organisasi tidak boleh disalahkan seratus peratus, sebaliknya langkah-langkah perlu harus difikirkan dan harus diambil untuk menarik kembali perhatian golongan-golongan ini dengan harapan mereka akan nampak signifikasinya penyertaan mereka ke dalam pertubuhan atau organisasi dengan kehidupan mereka. Oleh itu, di pihak yang sedar akan kepentingan berorganisasi, saya merasakan adalah perlu kita menjalankan program-program yang memberikan manfaat kepada semua golongan agar satu penglibatan yang lebih menyeluruh dapat dicapai. Di samping, kepimpinan organisasi haruslah mengamalkan sikap sentiasa ikhlas di dalam perjuangan mereka dan haruslah sentiasa meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan individu agar semua pihak mendapat manfaat daripada penyertaan mereka di dalam pertubuhan-pertubuhan belia.
Secara kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa belia harus percaya bahawa penglibatan belia di dalam organisasi amat berfaedah dan kreativiti perlu ditunjukkan oleh seluruh kepimpinan belia untuk menunjukkan penglibatan golongan tersebut di dalam aktiviti atau di dalam organisasi belia adalah tidak sia-sia dan mendatangkan manfaat secara langsung kepada mereka. Galakan dari ibu bapa juga amat perlu di dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang peri perlunya di dalam hidup kita untuk berorganisasi tidak kiralah organisasi berbentuk sukan, kebudayaan, kemasyarakatan, ataupun badan-badan beruniform.
Bagi kepimpinan belia pula, mereka perlulah meyakinkan golongan-golongan belia yang menjadi sasaran mereka tentang kebaikan ataupun faedah yang akan didapati apabila menyertai organisasi mereka dan perlulah mengajak golongan terbabit bersama-sama di dalam usaha menggerakkan organisasi-organisasi belia tersebut secara bersama-sama agar persatuan-persatuan belia tidak lesu. Walaupun dilihat masa depan organisasi-organisasi belia agak kabur, namun saya masih percaya kepada beberapa inisiatif yang boleh diambil untuk menaikkan kembali tahap penyertaan golongan belia terutama belia Melayu. Saya mungkin agak optimis di dalam memberikan pandangan di ruangan ini tetapi saya percaya kepada pepatah yang menyatakan orang yang berjaya selalu nampak jawapan kepada setiap masalah manakala orang yang gagal selalu nampak masalah pada setiap jawapan!.
1 ulasan:
Salam ...boleh tak saya dapatkan email atau no contact tuan Jalil?? sebab saya student belia dari UPM...saya perlu jalankan kajian ttg belia dan persatuan belia..sekurang2nya maklumat dari tuan ttg belia kawasan serdang membantu saya jlnkan kajian...saya dari putrajaya. email saya
kamrun81@gmail.com or
kamrun81@yahoo.com. TQ
Catat Ulasan