Rabu, 6 Ogos 2008

HAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO!!

Salam semua para pembaca sahabat2 saya sekalian,

Agak lama juga saya tidak mengemaskini blog saya memandangkan agak sibuk dengan rutin seharian disamping mesyuarat agung cawangan pula berlangsung yang memerlukan saya keluar dan menemui rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO hampir saban malam.

Tahun ini saya boleh dikatakan terlibat hampir sepenuhnya di dalam mesyuarat agung cawangan di samping turut dicalonkan untuk merebut jawatan AJK bahagian bagi tempoh 2008-2012. Syukur Alhamdullillah berkat doa dan sokongan ahli UMNO seluruh Bahagian Serdang mesyuarat telah hampir 40% berlangsung dengan jayanya tanpa kes-kes yang tidak enak didengar. Jadi saya kira UMNO masih kuat dan masih relevan untuk memperjuangkan bangsa Melayu walaupun mungkin auranya tidaklah sehebat zaman datuk nenek kita dahulu.

Kita tinggalkan seketika Bahagian Serdang dan kita kaji UMNO secara keseluruhannya ataupun kita berbicara dalam konteks Malaysia secara amnya. Secara positif saya amati sebenarnya ramai rakyat Malaysia masih sayangkan UMNO dan sebab itulah ramai yang bukan ahli UMNO pun bercerita dan bercakap berkenaan dengan pemilihan UMNO waima di peringkat cawangan sekalipun.

Cakap2 di kedai kopi dan di lobi2 hotel atau kafe ternama walaupun secara oratornya berbeza tapi isinya tetap sama iaitu bercakap tentang kelemahan ataupun soal calon mana yang akan menang dan ada yang bercerita berkenaan strategi bagaimana untuk menang pemilihan kali ini. Satu perkara yang menjadi isu yang amat menakutkan kini adalah isu politik wang di mana menjadi isu nasional pada waktu ini hatta di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO juga disabitkan dengan isu berkenaan.

Politik wang dalam apa keadaan sekalipun dan dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu yang amat perlu dihapuskan segera oleh kepimpinan UMNO kerna ia merupakan satu barah yang bisa meruntuhkan sebuah institusi orang Melayu terulung tika ini iaitu UMNO. Satu badan khas perlu diwujudkan bagi membendung masalah ini dan pada pandangan saya ia undang2 mengenai politik wang wajar diwartakan segera. Ini kerana permulaan kepada rasuah adalah politik wang. Setiap calon yang ingin bertanding terutama di peringkat bahagian terpaksa mengeluarkan wang yang banyak di mana ada kalanya mencecah ratusan ribu ringgit.

Mereka ini terpaksa mendapatkan 'lembu' atau penaja dari luar untuk membiayai kos wang yang akan diberikan kepada ahli bagi membeli undi. Biasanya penaja tak rasmi ini akan menagih kembali projek daripada si pemimpin ini tadi apabila memegang tampuk kuasa. Ini yang banyak berlaku dalam UMNO sekarang dan sebagai pendokong wadah perjuangan Melayu saya amat mengharapkan satu mekanisme diwujudkan segera oleh MT UMNO bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana kesannya ialah pemimpin yang berkaliber tetapi tidak kaya tidak akan dapat menjadi pemimpin manakala pemimpin yang jelas mengamalkan rasuah akan memimpin dan kita khuatir ummat ini akan menerima pembalasan dari tuhan suatu hari nanti. Nauzubillah....

Wassalam