Selasa, 22 Jun 2010

PEMANSUHAN PMR dan UPSR...

1. Saya agak terkejut apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemungkinan untuk memansuhkan 2 peperiksaan utama negara iaitu UPSR dan PMR sebaliknya mengekalkan SPM.

2. Secara peribadinya saya agak kurang setuju dengan tindakan terbaru kerajaan ini. Adakah selama ini semua graduan atau bukan graduan yang berjaya di dalam dan di luar negara yang lahir di Malaysia melalui sistem pendidikan yang dah berpuluh tahun ini tidak efisien? Adakah keputusan ini menggambarkan kurangnya kualiti kita semua yang selama ini berorientasikan peperiksaan ini adalah hasilan dari satu sistem yang dianggap gagal? Saya rasa tidak...

3. Sesuatu sistem itu diubah atau dinaiktarafkan apabila terbukti sistem tersebut tidak berkesan. Tetapi dalam hal ini, saya tidak nampak kegagalan kepada sistem 3 peperiksaan utama ini.

4. Antara sebab saya mengatakan begitu:

1) UPSR- Peperiksaan ini adalah perlu untuk menempatkan dan mengasingkan pelajar cemerlang, sederhana dan kurang cemerlang. Hal ini perlu untuk menyusunatur tahap penyampaian guru di sekolah.

Selain itu, melalui peperiksaan awal ini juga, pelajar akan didedahkan dengan ketahanan mental di peringkat awal lagi untuk menempuhi cabaran dan cabaran mental ini hanya boleh diperolehi salah satunya adalah melalui peperiksaan.

Para ibu bapa pula akan memastikan anak-anak mereka berusaha belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai sesuatu kemahiran dalam semua mata pelajaran yang diambil oleh anak mereka. Hal ini akan meningkatkan mutu pengetahuan murid-murid kerana mereka akan berada pada tahap optimum sebelum menghadapi peperiksaan. Samada mereka akan lupa selepas peperiksaan itu adalah hal lain kerana tahap ingatan otak manusia lumrahnya memang begitu. Tetapi apa yang penting, mereka sudah menguasai pengetahuan atau konsep tersebut bukannya menghafal sahaja sesuatu konsep tersebut.

2- PMR- Peperiksaan ini perlu untuk menempatkan pelajar mengikut aliran yang mereka layak atau kehendaki. Kelayakan yang tertinggi untuk aliran utama adalah aliran sains. Untuk masuk ke aliran sains, maka penguasaan dalam subjek berkenaan di peringkat awal adalah sangat perlu. Hal ini kerana pemahaman konsep sains tulen adalah agak sukar dan memerlukan daya fikir yang optimum serta kemahiran matematik yang selayaknya.

Sekiranya peperiksaan ini dihapuskan, bagaimana kita dapat memastikan atau menentukan aliran aliran yang akan dipilih oleh pelajar ini? Kalaupun berdasarkan minat, kemungkinan akan berlaku masalah ketidakmampuan untuk membawa subjek-subjek berat berkenaan atau mengambil separuh jalan akan berlaku.

5. Secara dasarnya, saya merasakan penghapusan peperiksaan utama negara tersebut adalah tidak wajar. Jika ini berlaku maka akan timbullah masalah kurangnya minat untuk belajar di kalangan anak-anak serta dorongan dari ibu bapa juga akan kurang.

Sekurang-kurangnya peperiksaan akan menjadi sebab utama ibu bapa untuk memaksa anak-anak untuk belajar dan seterusnya guru-guru juga bersemangat untuk berlumba-lumba bagi mencapai keputusan terbaik berdasarkan pencapaian ranking sekolah mereka.

6. Harapan saya semoga pihak kerajaan akan mengkaji semula tindakan penghapusan peperiksaan ini demi kebaikan semua pihak. Sebab kita tidak mahu pihak kerajaan sekali lagi terpaksa menarik balik keputusan sama seperti yang berlaku ke atas PPSMI suatu ketika dahulu yang bukan sahaja menyusahkan semua pihak malah mencetuskan polemik nasional.