Rabu, 29 April 2009

Penghapusan Ekuiti Bumiputra: Pro atau Kontra?

Salam. Kita perhatikan, baca dan nilai pro dan kontra dasar yang baru diperkenalkan ini. SUMBER:http://kuda-kepang.blogspot.com

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009
Posted by kudakepang at 6:04 PM

Ahad, 12 April 2009

KABINET BARU: KENAPA KETEPIKAN KJ?


Saya bukanlah peminat setia Sdr YB Khairy Jamaluddin (KJ), Ketua Pemuda UMNO Malaysia yg baru kerana saya adalah pendokong setia kumpulan Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu. Malah saya terlibat mencadangkan Mukhriz untuk bahagian saya walaupun bila pengundian secara angkat tangan dibuat, Mukhriz tewas kepada Dr Khir Toyo untuk Bahagian Serdang.

Walaupun umum mengetahui bahawa KJ dikatakan terlibat dalam politik wang sebelum pemilihan dahulu, namun semua ahli UMNO akur bahawa politik wang dalam pemilihan UMNO bukanlah perkara baru malah boleh dikatakan hampir kebanyakan calon yang bertanding terpaksa mengamalkan perkara ini atas sebab2 'demand' daripada para perwakilan. Bak kata Dato' Seri Najib dalam ucapannya 'beri salah, tak beri kalah'. Bukan bermakna saya menghalalkan politik wang dalam hal ini, tetapi sistem pemilihan UMNO itu sendiri yang menjurus ke arah pengamalan politik wang. Akibatnya ia menjadi satu budaya dalam UMNO.

Dalam hal ini saya merasakan KJ dan rakan2nya yang lain yang dikatakan mengamalkan poitik wang telah dimangsakan dan dihukum walaupun pelbagai spekulasi dibuat, namun beliau tetap dibenarkan bertanding. Alasannya adalah agen KJ tidak begitu kuat untuk dikaitkan dengan beliau. Entahla sebab kita pun tidak tahu tentang hal ini kerana sesiapa sahaja boleh mengaku yang dia menjadi agen kepada polan dan si polan sebab ini kan politik ala UMNO. Cantas mencantas adalah pelajaran politik yang terdapat dalam silibus pelajaran politik ala UMNO yang pada saya cukup memualkan terutama bagi golongan muda UMNO seperti saya.

Satu Malaysia tahu atau di setkan perspektif mereka terhadap KJ namun tiada satupun bukti yang dikemukakan untuk mengaitkan beliau dengan tuduhan2 tersebut. Saya tidak begitu pasti adakah apa yang dituliskan oleh si Raja Petra adalah benar atau tidak memandangkan tulisan2 dan personaliti beliau sendiripun membuatkan saya tidak begitu pasti status kebenarannya. Sukar untuk kita mempercayai tulisan2 orang yang selalu bermain2 dengan agama terutama tulisan RPK berkenaan agama yang menimbulkan kontroversi suatu ketika dahulu. Pada saya persepsi dan pembunuhan karakter di dalam politik adalah perkara biasa dan termasuk dalam silibus politik juga. Mungkin saudara yang lebih lama aktif dalam politik lebih arif tentang hal ini. Jadi pada saya adalah tidak adil menghukum KJ hanya berdasarkan pandangan masyarakat terhadapnya. Seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan kesalahan mereka.

Rakyat Malaysia terutama orang2 Melayu samada di dalam ataupun di luar UMNO saya begitu pasti tercari2 ikon muda yang boleh membawa negara ke arah yang lebih baik suatu hari nanti. Untuk memimpin pada abad ini, kepintaran adalah satu kemestian. UMNO mahupun komponen BN yang lain wajar menukar 'order' politik dan cara pendekatan perlukan perubahan 360 darjah. Pada saya ini tidak akan dapat dilakukan oleh pimpinan lama sebaliknya perlukan orang baru dengan barisan idea yang lebih segar. Cara kempen ala memperbodoh2kan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN dalam pilihanraya kecil baru2 ini sudah tidak relevan lagi.

Kehadiran KJ seolah2 ditenggelamkan oleh media arus perdana baru2 ini jelas berniat untuk memalukan pemimpin muda yang sebaya dengan saya ini. Tambahan pula apabila PM kita yang baru tidak menyenaraikan KJ di dalam kabinet dengan alasan beliau diminta untuk menumpukan perhatian kepada pemuda semata2 dan bagi memperkuatkan barisan muda. Memang orang bodoh pun tahu bahawa alasan ini adalah alasan berlapik ala Melayu walhal Ketua Pemuda yang memenangi pemilihan UMNO ini sememangnya amat malu dengan tindakan ini walaupun tidak dizahirkan secara lahiriah. Timbalan beliau seperti Dato Razali dan Dato Mukhriz (idola saya) dipilih untuk menyertai kabinet.

Pada saya kita perlu akur kepada pemilihan baru2 ini. KJ telah memenangi pemilihan tersebut dan suka atau tidak beliau akan memimpin gerakan Pemuda selepas ini dan sebaiknya diberikan peranan aktif dalam kabinet. Tumpuan untuk memperkuatkan parti tidak seharusnya diletakkan di bahu KJj sahaja sebaliknya tanggungjawab semua untuk memastikan UMNO kembali kuat. Pemuda bukan hanya pemuda UMNO sahaja sebaliknya sayap lain juga wajar berperanan aktif untuk kembalikan sokongan rakyat. Kalau alasan yang diberikan oleh PM diambil kira seolah2 menunjukkan hanya pemuda saja yang lemah dan menidakkan kebolehan anak muda seperti KJ dan lain2 yang berusia 30an yang telah bersiap sedia ini untuk mengambilalih pentadbiran parti dan negara suatu hari nanti.

UMNO perlu transform untuk menarik kembali sokongan rakyat. Pada saya ramai di kalangan anggota kabinet yang wajar diberikan pertimbangan semula untuk dipilih. Tanggungjawab penerangan contohnya seharusnya diberikan kepada orang baru dan lebih muda yang lebih energetik untuk memastikan penyampaian maklumat bukan hanya melalui akhbar, TV sahaja sebaliknya melalui blog2 dan internet juga di perkemaskan. TV1 contohnya pada saya sudah terlalu tua untuk menarik golongan muda seperti saya menonton. Lihat saja iklannyapun sudah agak ketinggalan ditambah pula dengan pembaca berita yang telah 30 tahun membaca berita dengan nada sama yang agak membosankan dan berstaus quo kata orang. Ini semua perlu dirubah dengan gaya baru yang lebih segar.

Kesimpulan yang dapat saya berikan adalah PM baru kita wajar menimbangkan semula kabinet yang telah diusun di masa hadapan (mungkin) agar lebih remaja dan dinamik. Barisan idea2 baru wajar dipersembahkan kepada rakyat dalam bentuk yang lebih ringkas dan muda agar dapat dicerna oleh golongan muda dan seterusnya dapat kembalikan sokongan golongan muda kepada UMNO atau BN. Pemilihan Ketua Pemuda UMNO ke dalam kabinet juga wajar memandangkan keadaan sokongan orang muda terhadap UMNO kini dilihat begitu suam. Kita tidak tahu kekuatan sebenar KJ terhadap UMNO sebab kita masih belum memberikan peluang sebaiknya kepada beliau. Saya optimis beliau mampu melakukannya kerana rakyat yang sebaya dengan KJ berasa amat dekat dengan beliau.