Jumaat, 26 Februari 2010

Salam Maulidur Rasul

1. Di kesempatan dan hari yang penuh berkat ini saya ingin mengucapkan salam maulidurrasul buat semua sahabat2 pengikut yang beragama Islam.

2. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik ikutan kita sebagai umat Islam. Sikap baik yang ditunjukkan sebagai pemimpin umat dan negara telah membawa Islam ke satu tahap yang boleh dibanggakan dan Rasulullah SAW juga diiktiraf hatta oleh bukan Islam sekalipun sebagai pemimpin paling berjaya dan berpengaruh sepanjang zaman.

3. Walaupun baginda SAW telah 1400 tahun lebih meninggalkan kita, namun sirah dan sunnah yang ditinggalkan kepada kita sebagai panduan sepanjang zaman tidak harus dilupakan. Pengamalan sunnah baginda akan membawa kita ke jalan sebenar yang lurus dan insya ALLAH akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak.

4. Salam maulidurrasul dan semoga kita dapat menghayati dengan sebenar-benarnya sunnah baginda dalam segenap aspek kehidupan kita. Amin...

Isnin, 1 Februari 2010

Pilihanraya Kampus: Satu Harapan

1. Saya berpeluang beberapa kali menjengah pilihanraya kampus (PRK) yang berlangsung terutama di Universiti Malaya baru-baru ini. Walaupun rakan-rakan sebaya mempersendakan saya dengan menyatakan sudah-sudahla Jalil, kau kan dah lama meninggalkan zaman itu tetapi semangat saya terhadap politik kampus tetap terus membara. Pedulikan orang lain!

2. Politik kampus mempunyai nilai sentimental tersendiri pada saya. Suatu ketika dahulu saya pernah bersama-sama rakan-rakan pada ketika itu (sekitar 1999-2001) mengasaskan gerakan pelajar dan penubuhan Majlis Gabungan Mahasiswa (MGMUM) yang menjadi asas kepada pembentukan Aspirasi dan seterusnya Penggerak Mahasiswa (di Universiti Malaya) ketika ini, dan saya tidak mungkin akan melupakan kenangan itu...

3. Ketika memimpin MGMUM sekitar 2001, keadaannya cukup berbeza berbanding sekarang di mana ketika itu , iklim politik negara memihak 90% kepada parti yang menggelarkan diri mereka sebagai NADI yang dikepalai oleh PMIUM.

4. Mahasiswa ketika itu cukup bersimpati dengan Dato Seri Anwar yang popular dengan kes liwatnya. Amat sukar untuk parti yang dilabelkan pro kerajaan seperti MGMUM untuk menawan kampus ketika itu. Biarpun mengadakan sesi penerangan dan kempen menyeluruh di kampus mahupun di kolej-kolej, namun pengaruh politik nasional ketika itu cukup kuat mencengkam minda mahasiswa. Hasilnya, gerakan kami waktu itu amat sukar dan penuh berliku. Hatta untuk mendapatkan calon juga merupakan satu perkara yang amat sukar buat kami.

5. Masih saya ingat ketika sesi penamaan calon di mana saya bersama sahabat yang berkempen berucap menggunakan healer di hadapan fakulti Sains ketika itu sebelum berarak sambil menyanyikan lagu Barisan Kita beramai-ramai. Sungguh bersemangat dan perjuangan kami ketika itu berasaskan semangat dan idealisme tersendiri. Tema ketika itu ialah 'Memugar Idealisme Mahasiswa'.

6. Semasa hari pengundian pula, kami menguruskan jentera pilihanraya seperti pilihanraya di luar. Telefon bimbit saya dihujani pelbagai panggilan denganpelbagai masalah dan memerlukan saya selaku pengerusi parti membuat keputusan dengan pantas. Alangkah kalutnya namun kepuasan dirasai kerana pengendalian diuruskan oleh mahasiswa secara total. Bermula sekecil-kecil perkara termasuklah melatih pidato, flyers, gerak saraf, pengendalian operasi bilik gerakan, pengurusan poster, jadual kempen, manifesto, kempen dan semua perkara berkaitan pilihanraya. Jadi saya tidak pernah menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang merugikan, malah mengajar saya membina kualiti diri untuk mengharungi kehidupan di luar kampus selepas habis belajar kelak. Ternyata saya tidak silap!

7. Itu kenangan lalu yang masih segar dalam ingatan saya dan rakan-rakan seperjuangan sedekad yang lalu. Sebab itu apabila kembali bertemu di malam pengumuman keputusan PRK di Universiti Malaya baru-baru ini, cerita banyak berlegar kepada perbandingan antara zaman dahulu dan zaman sekarang.

8. Perbezaan yang paling ketara dapat diperhatikan di malam pengiraan undi (pengumuman undi sebenarnya setelah sistem e-voting)di mana bilangan penyokong pro aspirasi melebihi bilangan pro mahasiswa. Ini amat mengagumkan saya. Indikasi ini jelas menunjukkan sokongan generasi muda telah beralih kepada kerajaan.

9. Jika sokongan ini dapat diterjemahkan kepada undi pada tahun 2013 nanti alangkah bertuahnya. Jadi saya mencadangkan agar pihak tertentu supaya dapat menjaga dan memastikan kelompok ini agar dapat meneruskan idealisme mereka walaupun setelah tamat belajar kelak. Saya mendapati kebanyakan rakan-rakan terus menyepikan diri dari arus perjuangan setelah meninggalkan kampus dengan alasan memberikan tumpuan kepada karier masing-masing. Hal ini amat merugikan UMNO/ BN.

10. Kini di bumi Universiti Malaya barisan MPP bakal dibentuk. Bakal YDP akan dilantik sedikit masa lagi. Walaupun ketandusan calon yang berkaliber, namun pemilihan mesti dibuat.

11. Saya ingin mencadangkan pihak KPT dan pihak Universiti agar mempertimbangkan perkara berikut dalam hal ehwal pemilihan pemimpin mahasiswa:

a) Menurunkan mata gred keputusan peperiksaan yang pada ketika ini amat tinggi terutama di UM. Untuk mendapatkan calon dengan mata gred 3.0 bukannlah satu perkara mudah dan kadangkala terpaksa mengambil calon yang kurang berkaliber bagi menerajui pimpinan hanya disebabkan oleh 'pointer'. (Saya tidak pernah percaya orang yang pandai akademik saja berjaya dalam hidup mahupun aspek lain kehidupan). Jika sistem ini dapat dikaji, maka saya rasa kualiti kepimpinan mahasiswa akan dapat dipertingkatkan. Saya merasakan, mahasiswa yang mendapat mata gred tinggi kebiasaannya hanya berminat aspek teknikal bidang mereka sahaja dan biasanya kurang berkemampuan dalam aspek lain seperti pengurusan dan kepimpinan. Setuju?

b) Bakal calon yang akan bertanding tidak kira mana parti sekalipun harus diuji dengan keupayaan untuk berikan pandangan terhadap isu nasional juga dan tidak semestinya berlegar dengan isu kampus. Kaedah pengujian boleh saja dilakukan dengan temuduga atau ujian lain yang difikirkan sesuai.

c) Masa kempen selama 3 hari tidak membantu dalam perkembangan intelektual pelajar. Berikan ruang kebebasan yang lebih kepada mahasiswa untuk mempamerkan keupayaan kempen mereka.

d) Kaedah kempen melalui media sosial mahupun media maya dapat digunakan. Saya tidak nampak rasionalnya sekatan penggunaan kempen melalui Facebook. Pihak universiti mahupun KPT perlu lebih matang dalam menilai pelajar. Dedahkan pelajar kepad aspek kebebasan bersuara agar mereka tidak menjadi robot yang sepanjang masa memerlukan kawalan apabila keluar kelak.

12. Kesimpulannya di sini, mahasiswa yang baru memenangi pilihanraya baru-baru ini tidak kiralah daripada parti mana sekalipun haruslah menjadi agen kepada masyarakat. Ini bermakna segala idealisme yang disalurkan kepada massa haruslah idealisme yang kualitinya tinggi serta tidak terikut-ikut rentak mana-mana pihak samada kerajaan atau pembangkang. Mahasiswa adalah mahasiswa....selamat berjuang dan berkhidmat atas nama kebebasan dan keintelektualan..