Khamis, 8 April 2010

ANTARA PERKASA DAN UMNO...

1. Mutakhir ini kita sering terbaca di dada-dada akhbar kebangkitan NGO-NGO Melayu dalam memperjuang dan mempertahankan hak Melayu. Kebangkitan NGO Melayu kali ini dilihat sepertimana kebangkitan NGO-NGO Melayu sekitar awal tahun 2000 dahulu atas nama kebangkitan semangat Melayu dan atas sokongan terhadap sesuatu isu yang timbul ketika itu.

2. Di sebalik kebangkitan NGO Melayu yang berlaku secara mendadak dan sokongan yang agak besar terhadap NGO Melayu khususnya sokongan terhadap PERKASA yang didokong oleh Datuk Ibrahim Ali, saya terfikir ke manakah hilangnya peranan parti politik terbesar orang Melayu seperti UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu (tanpa mengabaikan hak kaum lain)? Ke manakah UMNO?

3. Benarkah UMNO sudah tidak dilihat sebagai tempat dan dahan yang kuat bagi mendokong dan menyuarakan hak-hak Melayu? Kalau UMNO sudah tidak mampu bercakap tentang hak-hak saya, hak-hak keluarga saya mahupun bangsa saya di bumi Malaysia ini kenapa harus saya mempertahankan UMNO? Apa yang saya boleh dapat dari menyokong pertubuhan yang suatu ketika dulu telah menyelamatkan bangsa saya? Perlukah sokongan kita terhadap sesuatu pertubuhan itu hanya kerana ia mempunyai sejarah yang baik dengan orang terdahulu?

4. Saya tidak menafikan dan tidak menolak kemungkinan bahawa orang Melayu ketika ini telah mula hilang keyakinan terhadap UMNO. Umno dilihat telah mula hilang arah tuju dan sokongan. UMNO kini telah menjadi sebuah parti yang terlalu liberal dan terbuka pada pandangan sesetengah orang. Benarkah begitu?

5. Kalau sebegini negatif pandangan terhadap UMNO, bagaimana mungkin UMNO akan memenangi PRU ke 13 nanti?

6. Saya secara peribadi nampak Dato Seri Najib dalam kepimpinan beliau cuba menjadi Perdana Menteri bagi semua kaum di negara ini. Itu tidak salah dan sebagai Perdana Menteri sepertimana kita lihat Tun Dr Mahathir pun walaupun beliau seorang yang digelar ultra Malay sebelum menjadi PM tetapi setelah menjadi PM berjaya mengawal semua kaum dengan adil dan baik. Sebagai PM, beliau tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana kaum di negara ini.

7. Namun sebagai ahli dan pendokong perjuangan UMNO, kita tidak perlulah menjadi kerajaan. UMNO harus kekal sebagai wadah untuk bercakap soal hak dan kepentingan Melayu.

8. Pergerakan Pemuda UMNO khususnya tidak perlu menjadi seperti kerajaan. Peranan pemuda UMNO adalah inklusif dan seharusnya menjadi wadah dan suara rakyat dan bukan suara kerajaan kepada rakyat. Konsep dan pemahaman ini seharusnya diperbetulkan. Pemuda harus dilihat membawa suara rakyat dan golongan bawahan terutama golongan muda yang amat dahagakan ketegasan dan ketangkasan pemuda sejajar dengan peranan golongan tersebut.

9. Kesimpulannya, UMNO harus bangkit menjadi wadah orang Melayu untuk menyuarakan hasrat mereka dalam kerangka politik nasional mahupun peringkat parti. Rakyat harus melihat UMNO terus relevan dan terus gah berjuang mempertahankan hak mereka dan seterusnya membangunkan ekonomi mereka secara total.

10. Namu hari ini kita harus mengakui rakyat telah mula melihat UMNO tidak lagi menyuarakan hak dan suara mereka. UMNO dikatakan lebih bersifat neutral dan lebih sederhana dalam apa jua pendekatan plitik walaupun dalam keadaan-keadaan tertentu mereka perlu bangkit sebagai suara Melayu bagi terus membawa agenda bangsa.