Rabu, 31 Disember 2008

Selamat Tinggal 2008

Salam kepada sahabat2 yang sudi melawat blog saya dari segenap lapisan. Walaupun tidak begitu menghebahkan blog saya kepada umum sepanjang tahun 2008, namun bilangan yang melawat mencapai ratusan orang jugak....saya sangat menghargai sokongan sahabat2sekalian...

Selagi terdaya saya akan terus berjuang dengan cara tersendiri melalui tulisan di samping penglibatan dalam aktiviti politik dan kemasyarakatan...sekiranya sahabat2 sekalian mempunyai sebarang cadangan untuk meningkatkan kualiti tulisan saya, saya alu-alukan. Marilah kita sama-sama membantu dalam perjuangan untuk bangsa kita dengan apa cara sekalipun asalkan baik...

2008 tinggalkan kisah suka duka pahit dan manis terutama dalam politik negara. Tahun ini juga menyaksikan pertandingan atau pemilihan UMNO peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara disamping pilihanraya umum ke 12 yang membawa kepada sedikit kegoyangan politik tanahair akibat kegagalan BN mengekalkan kuasa 2/3 di parlimen di samping faktor Anwarista juga mewarnai politik negara.

2008 dalam perspektif ekonomi juga menyaksikan kadar inflasi negara yang agak tinggi di samping kenaikan beberapa harga barangan keperluan asas. Kadar pengangguran meningkat di samping isu pemberhentian kerja oleh para majikan berleluasa...namun semuaperkara ini telah menjadi sejarah kini. Kita tinggalkan kisah duka di dalam almari rumah dan buka buku baru 2009....

Harapan kita semoga dunia kembali menghargai kemanusiaan, politikus kembali ke landasan perjuangan untuk membantu rakyat kembali di samping kita sebagai rakyat teruskan menjadi hakim dan juri untuk kerajaan pilihan rakyat ini. Kalau tak bagus ramai2 kita tukar lagi 3 tahun....

selamat menyambut tahun 2009 buat semua sahabat2 pembaca....

Jalilmm

Ahad, 21 Disember 2008

Penswastaan IJN: Telitikah Kerajaan?

1. Pengumuman pihak SIME DARBY iaitu sebuah GLC untuk membeli 51% kepentingan di dalam Intitut Jantung Negara (IJN) amat mengejutkan kita semua. Ada terlalu banyak suara suara yang mempertikaikan keputusan tersebut berbanding dengan yang menerima keputusan tersebut.

2. Seperti biasa Dato' Seri Najib Tun Razak memepertahankan keputusan kerajaan dengan menyatakan syarat syarat yang keras kepada pihak SIME agar mematuhi CSR mereka iaitu untuk tidak melupakan orang miskin setelah pengambilalihan di buat nanti.

3. Tetapi beberapa hari yang lalu kerajaan telah membuat satu keputusan iaitu untuk menangguhkan pengambilalihan tersebut sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Saya kira ini adalah satu keputusan berunsurkan politik memandngkan pilihanraya kecil di Kuala Trengganu bakal berlangsung pada 17 Januari 2009 nanti.

4. Sebagai penyokong kerajaan Barisan Nasional (tetapi tidak totok), saya sangat kecewa dengan konsistensi dasar yang dilakukan oleh kerajaan di atas sesuatu perkara yang dilakukan. Sepatutnya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, beberapa pertimbangan, perbincangan dan pandangan serta kajian impak terhadap dasar tersebut dari pelbagai segi baik dari aspek politik, sosial mahupun ekonomi diambil kira. Buat sedikit 'decision tree' kata orang untuk mengelakkan terpaksa menangguh mahupun menarik balik sesuatu keputusan yang akhirnya akan menonjolkan kelemahan di dalam sesuatu keputusan tersebut.

5. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan pandangan mahupun teguran terhadap pihak kerajaan tetapi saya merasakan sebagai rakyat, saya berhak bersuara demi untuk bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

6. IJN merupakan pusat rawatan jantung yang terbaik di rantau ini dan khidmatnya terhadap rakyat khususnya yang berpendapatan rendah tidak boleh dinafikan. Kerajaan seharusnya memandang aspek sosial sedikit melebihi ekonomi dalam menjalankan dasar ini. Satu kajian khusus perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum penguman berkenaan perlaksanaannya dilakukan.

7. Kalau di zaman Tun Dr Mahathir saya tidak pernah melihat hal ini berlaku kerana semua keputusan kerajaan dalah (dengan izin) 'firm' dan 'valid'. Walaupun ada sebahagiannya menyakitkan hati tetapi dasar tersebut dijalankan setelah melalui kajian yang sangat terperinci dan sangat sukar untuk (dengan izin) di'argue'kan.

8. Waima apa sekalipun keputusan kerajaan, saya tetap tidak bersetuju dengan pengambilalihan IJN atas sebab pada saya, aspek sosial perlu mengatasi keuntungan ekonomi dalam mengndalikan urusan berkaitan isu ini. semoga harapnya rakyat tidak sekali lagi menolak BN hanya kerana kerajaan membuat keputusan yang sangat silap pada masa yang juga sila iaitu masa ketika hampir PR Kecil Kuala Trengganu.

Isnin, 17 November 2008

Wajarkah Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?

1. Pelik pun ada bingung pun ada heran pun ada. Ketiga-tiga rasa tadi berkecamuk dalam fikiran saya tatkala melihat cara kerajaan ataupun 'cerdik pandai' kita menangani isu di atas. Ramai yang bercakap tentang isu di atas namun sampai ke hari ini belum ada fakta konkrit perdebatan yang boleh merubah keputusan kerajaan.

2. Saya berpandangan, kerajaan perlu lebih pasang telinga, meneliti dan memperhalusi da;am segenap aspek bagi menangani hal ini dan tidak terlalu ego mempertahankan keputusan yang dibuat tanpa ada asas yang kukuh sebab ini akan merosakkan masa depan generasi anak-anak kita.

3. Dalam bidang teknikal seperti ini, kita tidak perlu terlalu risau dengan bahasa apa yang digunakan untuk mengajar murid2 kerana ia bermain dengan konsep terutama sains. Matlamat kita ialah untuk kita memberikan kefahaman terhadap konsep dan bagaimana sesuatu itu berlaku, metodologi dan sebagainya bukanlah nak jadi shakespeare yang hanya tahu berbahasa tetapi tiada pengisian.

4. Matlamat negara ialah untuk melahirkan para saintis bagi mengisi segera kekosongan jurutera, saintis, arkitek mahupun doktor bukanlah nak terbitkan para novelis, puitis atau artis terkemuka yang hanya pandai memainkan ayat-ayat puitis tetapi teknikalnya kosong semata-mata. Ini tidak akan membantu dari segi perkembangan ekonomi mahupun sosio negara.

5. Dalam melakukan sesuatu perkara saya berpendapat kita haruslah meletakkan matlamat sebagai keutamaan. Agak sukar untuk kita mendapat kedua-duanya serentak. Dalam hal ini, keutamaan dalam membentuk generasi yang mahir teknikal harus dibentuk segera dan hal-hal lain yang juga utama tetapi tidak segera dibelakangkan terlebih dahulu demi mencapai matlamat secara total.

6. Pelbagai masalah seperti guru2 yang tidak begitu mahir berbahasa Inggeris, masalah pelajar luar bandar yang sememangnya telah lemah di dalam Bahasa Inggeris sukar menguasai bahasa itu hingga menyebabkannya tercicir harus dikaji semula untuk mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku.

7. Kita juga mungkin akan kerugian pelajar yang sememangnya mahir dari aspek teknikal tetapi tidak begitu pandai berbahasa Inggeris dan akibatnya pelajar tersebut tersingkir dari arus persekolahan dan gagal memasuki Universiti sedangkan sekiranya diajar dalam Bahasa Melayu pelajar tersebut akan cemerlang. Siapa tahu?

8. Saya tetap dengan pendirian saya iaitu pada saya bahasa apa yang digunakan sekalipun tidak penting yang pentingnya adalah konsep serta kefahaman sains dan matematik pelajar-pelajar tersebut dapat diasuh agar lebih ramai jurutera, geologis, doktor, akauntan tempatan akan lahir.

9. Janganlah kerana kesilapan kita hari ini menyebabkan anak-anak kita menderita. Rasa bersalahlah kepada nenek moyang kita yang telah bersusah payah mewariskan negara dalam keadaan terjaga kepada generasi kita tetapi tangan-tangan rakus kita telah menghancurkan warisan tersebut hingga tidak dapat mewariskan negara bangsa yang cemerlang dan terbaik untuk generasi selepas kita...

Pemimpin: Perlukah Akhlak Yang Baik?

1. Kita semua tahu sejak sekolah lagi kita telah diajar supaya menjaga adab dan tatasusila atau dalam ayat mudahnya kita perlulah sentiasa jaga akhlak dan perangai kita supaya tidak menjatuhkan nama baik sekolah, diri sendiri mahupun ibubapa kita.

2. Begitu juga untuk menjadi pemimpin mesti ada akhlak yang baik yang merupakan salah satu aspek kualiti kepimpinan agar segala arahan kita dihormati dan seterusnya kita dapat melaksanakan kehendak dan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin. Sekiranya akhlak dan perangai kita kurang baik, maka kita akan gagal untuk menjadi jurubicara masyarakat yg diwakili apatah lagi menjaga amanah kepimpinan yang juga adalah amanah Allah dengan sebaik mungkin.

3. Dalam konteks kepimpinan negara hari ini terutama untuk parti keramat orang Melayu (UMNO) kita lihat faktor akhlak telah diketepikan ataupun disisihkan secara sistematik (walaupun tidak semuanya). Hal ini berlaku tidak kira untuk peringkat cawangan, bahagian atau pusat.

4. Saya berminat untuk menyentuh kepimpinan UMNO diperingkat pusat sebab kepimpinan diperingkat cawangan ataupun bahagian juga mengalami masalah yang sama namun kepimpinan diperingkat pusat lebih menjadi tumpuan kerana kesannya terus kepada diri kita dan generasi selepas kita.

5. Beberapa nama yang dikaitkan dengan rasuah politik di dalam UMNO dilihat mendapat pencalonan sekali lagi untuk jawatan yang agak tinggi di peringkat pusat. Selain itu, calon Ketua Pemuda juga beberapa nama yang disebutkan mempunyai masalah dari segi imej dan akhlak. Figura2 yang kelihatan akhir2 ini juga sebelum ini ada yang dikaitkan dengan pemabuk dan kaki raba juga turut bersuara untuk perubahan UMNO.

6. Bila kita berbicara tentang perubahan, maka kita akan sentiasa bercakap untuk merubah sesuatu dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Orang yang bercakap tentang perubahan juga haruslah orang yang bersih imejnya dan baik akhlaknya. sebagai orang Islam, secara peribadi saya menolak 100% orang yang minum arak sebagai pemimpin ataupun sebagai pengikut!

7. Orang yang pemabuk haruslah bertaubat nasuha terlebih dahulu dan harus berhenti dari menjadi pemimpin kerana kualiti pimpinan yang paling utama adalah mempunyai akhlak yang baik.

8. Kita bukanlah mahukan pemimpin sebaik Nabi Muhamad SAW kerana tiada pemimpin sebaik itu kini , tetapi sekurang-kurangnya pilihan yang kita buat haruslah tidak lari dari apa yang disarankan oleh Nabi SAW. Kalau kita gagal untuk memilih maka kita sebenarnya memilih untuk gagal. Gagal bukan sahaja di dunia malah juga diakhirat.

9. Dalam bidang politik saya tetap dengan pendirian untuk menentang kepimpinan fasik sebegini dan saya juga mengharapkan sahabat2 yang sudi melawati blog saya ini agar menolak kepimpinan yang tidak berakhlak ini dari terus menguasai UMNO kita pada apa peringkat sekalipun.

10. Semoga perjuangan kita diberkati ALLAH hendaknya. Jadi setiap perlakuan kita harus tidak melanggar batas susila keIslaman barulah agama kita disanjung tinggi dan terus menguasai dunia. InsyaAllah.....Amin

Isnin, 3 November 2008

Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Serdang

1. Tanggal 19 Oktober 2008 yang lalu telah berlangsung persidangan UMNO Bahagian saya iaitu Bahagian Serdang. Tempat berlangsungnya persidangan ialah di Residence Hotel, Uniten.

2. Menyaksikan pertandingan 2 kumpulan iaitu kumpulan penyandang yang diketuai oleh YM Ungku Salleh dan kumpulan Perubahan yang diketuai oleh Sdr Faizal Ross. Saya berada di pihak perubahan di mana sesuai dengan kehendak dan aspirasi saya yang mahukan perubahan di dalam gerakan pemuda di bahagian Serdang khususnya.

3. Kumpulan perubahan berkumpul di hadapan tempat letak kereta hotel seawal jam 7 pagi dengan memakai baju Melayu berwarna selain putih. Kami berarak sambil berselawat mengiringi calon2 yang akan bertanding iaitu Sdr Faizal dan Hj Kamal Fakhri selaku calon naib ketua Pemuda. Calon2 AJK termasuk saya juga berarak mengiringi Sdr Faizal

4. Persidangan bermula dengan ucapan oleh Ketua Pemuda Umno Serdang YM Ungku Salleh. Ucapan beliau menjawab kesemua perkara berbangkit sepanjang kempen termasuk beberapa pertuduhan peribadi terhadap beliau. Memang inilah antara kelebihan penyandang iaitu mempunyai ruang untuk berucap. Ucapan tersebut banyak memberikan kesan kepada perwakilan yang hadir terutama yang atas pagar.

5. Saya menjadi wakil calon untuk Naib Ketua kumpulan Perubahan. Keputusan tidak menyebelahi kumpulan saya apabila Sdr Faizal hanya tewas 2 undi kepada YM Ungku Salleh (penyandang). Kesemua barisan perubahan tewas termasuk AJK dan G2.

6. Post mortem menunjukkan kekalahan adalah disebabkan oleh beberapa faktor teknikal sepert pembahagian 'chai' AJK di samping faktor undi yang 'swing' saat akhir. Selain itu dikatakan juga faktor 'main 2 kolam' adalah faktor utama mengapa kumpulan ini tewas.

7. Walaupun menang tetapi mandat yang diperolehi oleh penyandang amat rendah di mana separuh dari kekuatan disebelah pihak Sdr Faizal. Saya bersama Faizal dan rakan2 think tank lain (11 orang kesemuanya) akan teruskan perjuangan demi memastikan agenda perubahan terus bergema di Bahagian Serdang.

8. Kekalahan diterima dengan rasional namun kekuatan dan mandat yang diterima dari perwakilan tidak akan dipersiakan. Dengan usia yang masih muda, Insya Allah saya bersama rakan2 tidak akan mensiakan perjuangan yang telah dimulakan ini.

9. Kepada yang menang, diharap tidak akan membiarkan dendam bersarang di dalam hati sebaliknya kembali rapatkan barisan dan beri ruang untuk kerjasama bersama2 kumpulan Faizal agar UMNO kembali utuh dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Ahad, 28 September 2008

Ekonomi Muslim- Zakat

Menonton rancangan realiti tv kegemaran rakyat Malaysia iaitu rancangan Bersamamu benar-benar membuatkan saya tersentuh dan terfikir seketika.Masih ramai lagi orang miskin tegar di Malaysia. Yang paling menyedihkan 90% yg dipaparkan adalah orang Islam dan berbangsa Melayu. Di bulan ramadan yg mulia ini elok rasanya kita renung sejenak rakan2 Islam kita yang menderita di bawah sana.

2. Saban tahun kerajaan mengumumkan bantuan untuk memerangi kemiskinan berbilion ringgit. Adakah pengumuman tersebut sekadar retorika politik semata mata ataupun terdapat kelemahan dalam aspek pelaksanaan? Sebagai rakyat biasa, saya masih belum nampak peranan serius pihak2 berwajib yg dipertanggungjawabkan bg memerangi kemiskinan baik di peringkat nasional mahupun di peringkat pelaksana.

3. Baru2 ini lembaga zakat Selangor mengumumkan pendapatan zakat yang bernilai hampir 300 juta ringgit tidak disalurkan. Persoalannya disini tidak adakah satu mekanisme khusus bagi pihak LZS bg penyaluran bantuan tersebut. Susah sangat kah mereka untuk bekerjasama dengan ketua2 kampung atau pemimpin masyarakat bg mengenalpasti asnaf yg layak menerima zakat beejuta2 itu? Biar apapun alasan yg diberikan oleh pihak tertentu, saya tetap tidak boleh menerima alasan yg wang zakat kita berlebihan berjuta2 ringgit sedangkan realitinya masih ramai orang islam yang merempat! Wujudkan satu badan khas utk salurkan zakat kalau susah sangat nak turun padang bg melaksanakan tugas yg pada saya bukanlah satu roket sains pun.

4. Berbekalkan modal berjuta yang telah kita ada, sepatutnya satu program bantuan dari segi modal perlu diwujudkan untuk diberikan kepada orang melayu Islam bg memulakan perniagaan. orang kata kita tak perlu bagi ikan tp kita bg pancing agar ekonomi orang Islam tidak ketinggalan.

5. Kita melenting apabila ada dikalangan pemimpin bukan Islam meminta supaya 30% wang zakat disalurkan kpd org bukan Islam (walaupun saya marah jugak dengan permintaan beliau..betul ke dari statement dia? Tak kisah tp pokoknya ada pandangan dikeluarkan) , kita perlu nampak dari satu sudut bahawa org bukan Islam pun nampak kepentingan wang zakat terhadap pembangunan ekonomi. Alangkah sedihnya kalau kita tak tahu hargai perkara ni...

6. Berbuatlah sesuatu untuk pembangunan ekonomi muslim. Fokuskan kepada bantuan orang miskin. Semoga bangsa kita menjadi satu bangsa yg dihormati tidak kira dlm apa aspek sekalipun....hapuskan kemiskinan!!!

Rabu, 6 Ogos 2008

HAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO!!

Salam semua para pembaca sahabat2 saya sekalian,

Agak lama juga saya tidak mengemaskini blog saya memandangkan agak sibuk dengan rutin seharian disamping mesyuarat agung cawangan pula berlangsung yang memerlukan saya keluar dan menemui rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO hampir saban malam.

Tahun ini saya boleh dikatakan terlibat hampir sepenuhnya di dalam mesyuarat agung cawangan di samping turut dicalonkan untuk merebut jawatan AJK bahagian bagi tempoh 2008-2012. Syukur Alhamdullillah berkat doa dan sokongan ahli UMNO seluruh Bahagian Serdang mesyuarat telah hampir 40% berlangsung dengan jayanya tanpa kes-kes yang tidak enak didengar. Jadi saya kira UMNO masih kuat dan masih relevan untuk memperjuangkan bangsa Melayu walaupun mungkin auranya tidaklah sehebat zaman datuk nenek kita dahulu.

Kita tinggalkan seketika Bahagian Serdang dan kita kaji UMNO secara keseluruhannya ataupun kita berbicara dalam konteks Malaysia secara amnya. Secara positif saya amati sebenarnya ramai rakyat Malaysia masih sayangkan UMNO dan sebab itulah ramai yang bukan ahli UMNO pun bercerita dan bercakap berkenaan dengan pemilihan UMNO waima di peringkat cawangan sekalipun.

Cakap2 di kedai kopi dan di lobi2 hotel atau kafe ternama walaupun secara oratornya berbeza tapi isinya tetap sama iaitu bercakap tentang kelemahan ataupun soal calon mana yang akan menang dan ada yang bercerita berkenaan strategi bagaimana untuk menang pemilihan kali ini. Satu perkara yang menjadi isu yang amat menakutkan kini adalah isu politik wang di mana menjadi isu nasional pada waktu ini hatta di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO juga disabitkan dengan isu berkenaan.

Politik wang dalam apa keadaan sekalipun dan dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu yang amat perlu dihapuskan segera oleh kepimpinan UMNO kerna ia merupakan satu barah yang bisa meruntuhkan sebuah institusi orang Melayu terulung tika ini iaitu UMNO. Satu badan khas perlu diwujudkan bagi membendung masalah ini dan pada pandangan saya ia undang2 mengenai politik wang wajar diwartakan segera. Ini kerana permulaan kepada rasuah adalah politik wang. Setiap calon yang ingin bertanding terutama di peringkat bahagian terpaksa mengeluarkan wang yang banyak di mana ada kalanya mencecah ratusan ribu ringgit.

Mereka ini terpaksa mendapatkan 'lembu' atau penaja dari luar untuk membiayai kos wang yang akan diberikan kepada ahli bagi membeli undi. Biasanya penaja tak rasmi ini akan menagih kembali projek daripada si pemimpin ini tadi apabila memegang tampuk kuasa. Ini yang banyak berlaku dalam UMNO sekarang dan sebagai pendokong wadah perjuangan Melayu saya amat mengharapkan satu mekanisme diwujudkan segera oleh MT UMNO bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana kesannya ialah pemimpin yang berkaliber tetapi tidak kaya tidak akan dapat menjadi pemimpin manakala pemimpin yang jelas mengamalkan rasuah akan memimpin dan kita khuatir ummat ini akan menerima pembalasan dari tuhan suatu hari nanti. Nauzubillah....

Wassalam

Rabu, 28 Mei 2008

WAJARKAH TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO?

Terkejut dan tersentak bercampur baur sewaktu saya menerima berita dari seorang rakan pada 19 Mei 2008 yang lalu menyatakan Tun Dr Mahathir mengumumkan untuk keluar dari UMNO. Ketika itu saya baru sahaja pulang dari Kursus anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Serdang yang diadakan di Port Dickson selama 3 hari.

Kebetulan sehari sebelum pengumuman mengejutkan tersebut, anak Tun Dr Mahathir iaitu YB Dato’ Mukhriz bersama-sama saya dan peserta program lain untuk sesi ceramah dan dialog bersama YB Dato’ Mukhriz di PD. Program kursus tersebut berlangsung kira-kira hampir 3 jam dan YB Dato’ Mukhriz juga memberikan ‘hint’ bahawa beliau berminat untuk merebut jawatan tertinggi pemuda tersebut pada pemilihan akan datang dan merayu sokongan dari Pemuda UMNO Bahagian Serdang.

Ketika pengumuman Tun Dr M, saya rasa YB Dato’ Mukhriz juga mungkin tidak tahu yang bapanya akan mengambil tindakan drastik sebegitu walaupun ‘bunga-bunganya’ telah ada sejak beberapa minggu lalu. Namun saya rasa beliau tidak terkejut dengan pengumuman tersebut sebab semua orang kenal dan tahu cara bertindak Dr M. Beliau cukup komited mahu memaksa Pak Lah letak jawatan hingga sanggup melakukan apa saja walaupun kadang-kadang khalayak merasakan tindakan tersebut lebih banyak meruntuhkan UMNO dari membina.

Walau apa sekalipun justifikasi yang diberikan oleh Tun Dr M di atas tindakannya itu, saya tetap merasa sedikit kecewa dan saya rasa mungkin ahli UMNO yang lain juga turut sama merasakan demikian kerana hasrat untuk memperkasakan kembali perjuangan UMNO dan membetulkan UMNO dari dalam terkubur dengan tindakan tersebut. Saya amat menghormati Tun Dr M di atas jasa-jasa beliau sebagai seorang negarawan ulung dan saya sendiri membesar dalam era pemerintahan beliau namun akal saya tidak dapat membaca atau menafsir rasionalnya tindakan Tun tersebut dan impaknya terhadap pengukuhan UMNO itu sendiri. Kalaupun tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan, saya rasa adalah lebih baik sekiranya desakan tersebut dilakukan dari dalam UMNO itu sendiri dan bukan suara dari luar UMNO. Selain itu saya nampak impaknya kepada Dato’ Mukhriz sendiri yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketu Pemuda nanti. Mungkinkah sokongan terhadap Dato’ Mukhriz akan berkurangan dengan tindakan tersebut?

Saya berpendapat Tun Dr M adalah seorang negarawan ulung dan seorang arkitek pembangunan Negara terhebat yang pernah dilahirkan di alam Tamadun Melayu. Beliau disegani dan dihormati oleh rakan dan musuh. Pendiriannya terhadap dasar luar US yang bersikap terlalu menekan Negara Islam adalah jelas dan kadangkala keras. Mesejnya terhadap Bush juga jelas dan kita semua tentu tidak akan dapat melupakan bagaimana beliau telah mengemudi Negara untuk menghasilkan formula tersendiri ketika berhadapan dengan krisis kewangan hingga formula kita diakui baik oleh IMF sendiri.

Tetapi dalam bidang politik, saya merasakan Tun Dr Mahathir BUKAN seorang ahli politik yang bijak. Banyak keputusan-keputusan politik yang dilakukan oleh beliau terbukti kurang berjaya Antaranya ialah kita dapat melihat beliau selalu sahaja salah di dalam memilih pimpinan di dalam kerajaan yang akhirnya membawa akibat pilihan beliau sendiri bertindak melawan beliau (Tun Musa Hitam), melakukan satu tindakan drastic memecat Dato’ Seri Anwar hingga menyebabkan satu Negara kucar-kacir dan Melayu berpecah, menjadi antara sebab UMNO diharamkan dan diganti dengan UMNO baru (walaupun bukan beliau punca utama tetapi hal ini berlaku di era pemerintahan beliau), memulakan system kuota pencalonan di dalam UMNO hingga parti UMNO dikatakan kurang demokratik, menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan hingga menyebabkan berlaku masalah seperti yang berlaku pada hari ini dan lain-lain tindakan beliau di dalam politik yang saya rasa tidak begitu bijak.

Jadi, saya rasa wajar kiranya saya untuk kurang bersetuju dengan tindakan beliau yang terbaru ini berdasarkan track record terdahulu beliau. Walaubagaimanapun, saya tetap menghormati Tun Dr M sebagai negarawan ulung dan menjadi antara idola saya selamanya. Namun seperti kata falsafah yang biasa kita dengar iaitu pemimpin datang dan pergi namun UMNO harus teguh berdiri.

Pada saya, kita perlu akur kepada peralihan kuasa yang akan dilakukan oleh PM kepada TPM dan proses demokratik parti akan menentukan yang lainnya. Sebagai individu yang menyokong perjuangan UMNO, kita mesti teruskan perjuangan dan kalau kita berhenti berjuang kita akan kalah. UMNO perlukan satu reformasi dari dalam dan bukan dari luar. Saya mahu melihat UMNO yang benar-benar baru dan bersih wujud di Malaysia yang tercinta ini.


Selasa, 27 Mei 2008

APA AGENDA EZAM DAN ANWAR IBRAHIM DI DALAM UMNO?

Saya selalu termenung dan berfikir. Tidak kira di mana dan dalam apa keadaan saya selalu berfikir tentang kewajaran tindakan seseorang apatah lagi dalam dunia politik. Saya sangat berminat untuk mengikuti, mengkaji serta meramal perkembangan politik dan menulis menyatakan pandangan tentang peristiwa tersebut.

Tapi kes yang satu ni saya merasakan ada sesuatu yang ‘ganjil’ telah berlaku terutamanya yang melibatkan UMNO dan bekas tokoh terkenal pembangkang suatu ketika dahulu. Siapa lagi kalau bukan Ezam Mohd Nor.

Saya mempunyai satu ramalan yang saya rasa mungkin tepat atau mungkin tidak tetapi saya ada asas untuk berpendapat begini. Ramalan saya ialah :

"Kemasukan Ezam ke dalam UMNO adalah merupakan perintis kepada usaha membawa kembali Anwar ke dalam UMNO. Ezam akan sekali lagi menjadi askar yang akan bersilat mempertahankan bosnya itu tetapi dalam gelanggang yang berbeza dan gelanggang tersebut adalah UMNO! "

Kenapa? Tak percaya? Teori ini mungkin ada benarnya dengan keadaan kemelut politik UMNO yang berlaku sekarang ini. Mungkinkah kemelut politik yang berlaku sekarang ini adalah satu ciptaan politik pihak-pihak tertentu untuk beri justifikasi bagi membawa kembali Anwar ke dalam UMNO?

Mungkinkah Tun Dr Mahathir telah dapat menghidu perkara ini lebih awal lantas beliau mengumumkan untuk keluar dari UMNO? Saya percaya Tun bukan seorang yang bodoh dan tak mungkin seorang negarawan akan melakukan tindakan yang sebodoh ini iaitu meninggalkan parti yang menjadi tunjang kepada orang Melayu. Tun mesti mempunyai sebab yang utama untuk berbuat begitu walaupun secara peribadi saya agak kurang setuju dengan keputusan beliau tersebut.

Ayuh kita sorot kembali sejarah perjuangan Ezam di luar UMNO suatu ketika dahulu. Umum mengetahui suatu ketika dahulu Ezam Mohd Nor adalah seorang yang sanggup bermati-matian berjuang dan merupakan tokoh yang sanggup keluar masuk penjara dan turun naik mahkamah demi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bosnya yang ketika itu dihumban oleh Dato’ Seri Dr Mahathir (sekarang Tun) ke dalam penjara Sungai Buloh selama enam tahun atas tuduhan rasuah dan liwat.

Kemudian, setelah perjuangan beliau boleh dikatakan berjaya dan Dato’ Seri Anwar dibebaskan, berlaku krisis peribadi antara beliau dengan Sdr Azmin Ali (kini YB) hingga menyebabkan beliau bertindak keluar dari PKR dan seterusnya menubuhkan sebuah badan bebas yang dikenali sebagai GERAK (Gerakan Anti Korupsi Rakyat). GERAK terus bergerak sebagai sebuah badan pengkritik bebas dengan meneruskan agenda mendesak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah memerangi rasuah. Kes demi kes dibongkarkan oleh GERAK, walaubagaimanapun, entah di mana silapnya nama Saudara Ezam pula semakin lama semakin suam dan dingin.

Namun, namanya menjadi panas kembali apabila beliau secara lantang mengkritik bekas bosnya sendiri sebagai tidak memperjuangkan hak-hak Melayu dan tindakan beliau itu membuatkan pemerhati politik termasuk saya sebagai pemerhati awam dapat menghidu ‘perfume’ UMNO yang dipakainya. Seingat saya, saya pernah bersuara dalam cakap-cakap lobi dalam satu majlis di ibu Negara menyatakan bahawa Ezam akan masuk ke dalam UMNO dalam tempoh terdekat. Rakan-rakan terdekat saya juga berpendapat sedemikian namun masih dalam keadaan ragu-ragu ketika itu hinggalah selepas pilihan raya ke-12. Tetapi beberapa hari yang lepas saya terkejut apabila mengikuti berita di TV dan nama Ezam diumumkan akan memasuki UMNO dalam tempoh terdekat.

Walaupun kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak akan dapat untuk mengatasi kemelut yang berlaku di dalam UMNO ketika ini, namun saya percaya kemasukan orang muda seperti Ezam akan dapat mengisi ruang-ruang kosong di mana pemuda UMNO kini amat kurang seorang ahli yang mempunyai ‘jiwa pejuang’ dan mempunyai integriti yang tinggi. Saya sependapat dengan Ezam dalam agenda memerangi rasuah dan korupsi termasuk rasuah politik. Selain itu, saya berpendapat Ezam akan dapat mengisi ruang-ruang di mana kurangnya unsur keagamaan di dalam diri ahli UMNO ketika ini. Tidak dapat dinafikan, era kebangkitan Islam di Malaysia tidak dapat disangkal lagi. Untuk memenuhi tuntutan kebangkitan tersebut, UMNO harus keluar dari sekularisme dan pengasingan antara agama dan pentadbiran seperti yang berlaku sekarang. Agama bukan hanya perlu dibicara di masjid-masjid ataupun hanya terhad dalam majlis agama saja tetapi agama harus menyelinap masuk ke dalam seluruh aspek kehidupan kita. Jadi, untuk membawa agenda Islam, perlukan seorang pemimpin yang ada karisma Islam. Saya rasa walaupun masih belum begitu pasti, Ezam saya rasa (tak semestinya betul) ada sedikit sebanyak karisma tersebut dan beliau telah memilih wadah yang betul untuk mengisi perjuangan beliau. Ini kerana, PKR tidak akan mampu untuk merubah apa-apa terutama yang berkaitan dengan ehwal Islam memandangkan PKR parti sosialis. Konsep perjuangan sosialis selalunya akan mengasingkan antara agama dan pentadbiran. Lebih parah lagi sosialis tidak pernah berjuang untuk satu kaum sahaja. Sosialis berpendapat kesamarataan adalah asas kepada kehidupan dan tiada hak keistimewaan kaum.


"Kesimpulan dari teori tersebut ialah saya dapat merasakan terdapat satu usaha secara konsisten dari pihak-pihak tertentu untuk membawa kembali Anwar ke dalam UMNO"

Sekarang ini, seorang ‘peninjau’ dihantar dahulu untuk memerhatikan keadaan dalaman UMNO sebelum ‘panglima’ masuk ke dalam UMNO. Mungkin teori ini salah. Tetapi saya ada asasnya. Fikirkanlah…..

Rabu, 21 Mei 2008

BUDAYAKAN PERNIAGAAN

SABAN tahun pihak berwajib samada yang terbabit secara langsung atau tidak dalam usaha menggalakkan golongan bumiputera supaya melibatkan diri di dalam bidang perniagaan dihantui rasa bimbang dengan pembabitan golongan berkenaan dalam bidang tersebut tidak sehebat usaha untuk menggalakkannya. Tidak dapat dinafikan, cabaran utama adalah untuk mengalakkan lebih ramai Bumiputra, khususnya orang Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan terus menjadi satu cabaran utama kepada pembagunan ekonomi negara.

Langkah pihak kerajaan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan menekankan aspek penglibatan bumiputera di dalam bidang peniagaan merupakan satu perancangan yang bijak dan bolehlah disifatkan sebagai satu langkah yang besar (giant step) ke arah melahirkan lebih ramai peniaga Melayu. Sebelum pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), memang sukar berjumpa peniaga Melayu menjalankan perniagaan mereka di kawasan Bandar. Malah ketika itu amat sukar untuk melihat orang Melayu berniaga walaupun secara kecil-kecilan di bahu-bahu jalan. Hampir keseluruhan aspek perniagaan pada ketika itu didominasi oleh masyarakat Cina. Dominasi perniagaan ini bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar di mana penduduk majoriti adalah orang Melayu. Masyarakat Cina mendominasi hampir kesemua jenis perniagaan ketika itu baik di bidang peruncitan, bidang pemakanan mahupun bidang perkhidmatan seperti kedai membaiki motosikal atau basikal.

Secara amnya, rantaian (network) untuk menyediakan bekalan dalam peniagaan boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama. Peringkat pertama adalah peringkat sumber asli seperti penghasilan tanaman, sumber galian, hasil laut dan sebagainya. Secara tradisi orang Melayu memang ramai tarbabit pada peringkat ini. Peringkat kedua dalam rantaian bekalan ialah bidang pembuatan yang mana sumber asli diberi nilai tambah bagi menghasilkan produk tertentu. Sebelum DEB, jika ada pun pembabitan orang Melayu di bidang pembuatan hayalah secara kecil-kecilan dalam perusahaan tidak strategik. Peringkat seterusnya ialah bidang pengedaran dan pemborongan yang asalnya dikuasai syarikat penjajah Inggeris. Pada masa itu ramai usahawan Cina pada peringkat peruncitan dapat melihat peluang bidang pengedaran dan pemborongan. Mereka berjaya menebusi bidang ini dan menguasainya hingga sekarang. Terakhir adalah rantaian bekalan di peringkat peruncitan. Pembabitan masyarakat Melayu pada peringkat peruncitan sebelum DEB memang ada tetapi penglibatannya amat terhad.

Usia DEB yang kini telah menjangkaui melebihi 3 dekad ternyata masih belum mencukupi untuk meningkatkan kualiti perniagaan orang Melayu. Antara punca paling utama kegagalan orang Melayu adalah disebabkan oleh masalah pandangan dari perspektif yang salah terhadap perniagaan itu sendiri di samping masalah sikap. Pandangan dan sikap tipikal masyarakat Melayu yang sering memberi hujah masyarakat Cina lebih berjaya dalam peniagaan kerana ‘mewarisi’ budaya berniaga sejak sekian lama adalah merupakan satu paradigma songsang yang kian bersarang difikiran majoriti masyarakat Melayu, kononnya masyarakat Melayu masih dalam proses membina budaya perniagaan dan ini memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya. Masyarakat Cina sebenarnya bukan hanya menjadi pewaris atau sekadar penyambung kepada budaya perniagaan yang diwarisi mereka, sebaliknya mereka mempunyai kualiti sebagai seorang pengurus perniagaan yang berjaya. Sekali lagi ini berkaitan dengan sikap dan attitud diri orang Melayu secara majoritinya. Perubahan kepada sikap memerlukan perubahan kepada paradigma pemikiran atau dalam bahasa Inggerisnya dikatakan ‘Mindset Changes’. Kegagalan untuk merubah cara ataupun budaya fikir akan menyebabkan kegagalan untuk merubah bentuk tindakan kita!.

Jika dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh, tidak semua orang Cina berjaya di dalam bidang perniagaan. Namun secara perbandingan dengan masyarakat Melayu, maka boleh dikatakan nisbah kejayaan Masyarakat Cina di dalam bidang perniagaan melebihi masyarakat Melayu. Majoriti usahawan Cina didapati berjaya kerana mempunyai pandangan yang betul terhadap bidang perniagaan dan amalan tertentu dalam beberapa perkara penting apabila mengurus perniagaan. Pandangan dan amalan mereka ini telah melahirkan sikap yang betul untuk berjaya.

Apabila berbicara soal perniagaan, kita tidak dapat lari daripada berbicara aspek modal. Kesemua perniagaan tidak kira sebesar atau sekecil mana sekalipun memerlukan modal sebagai permulaan. Dalam kebanyakan kes, peniaga berketurunan Cina memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan terlebih dahulu dengan modal yang sedikit dan terhad. Kadangkala mereka hanya memulakan perniagaan di rumah tanpa perlu sebarang prasarana eksklusif seperti kedai, pejabat atau kilang. Hal sebaliknya pula menjadi amalan masyarakat Melayu di mana memulakan perniagaan dengan modal yang lebih besar dari diperlukan. Mereka memulakan perniagaan dengan pejabat serba lengkap dan menelan perbelanjaan modal yang begitu besar. Kadangkala, mereka tidak dapat membuat pusingan modal yang cukup dan seterusnya gagal di dalam perniagaan mereka di peringkat awal lagi. Memang tidak dapat dinafikan, imej memainkan peranan yang amat penting untuk memberi keyakinan kepada pelanggan. Namun sebenarnya keyakinan pelanggan akan terbentuk jika usahawan mampu menawarkan produk ataupun perkhidmatan yang berkualiti dengan harga kompetitif serta khidmat yang memuaskan. Ini mampu memberi imej yan baik di mata

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah usahawan Melayu tidak perlu menunggu suasana yang eksklusif untuk memulakan langkah mereka untuk memulakan perniagaan sebaliknya perlu mempunyai persepsi dan sikap yang betul untuk membentuk budaya niaga dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menerusi DEB untuk melahirkan lebih ramai usahawan Melayu atau bumiputera yang berjaya.

DILEMA BELIA

DEFINASI belia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah mereka yang terdiri dari golongan yang berumur di antara 12 hingga 25 tahun, namun, menurut definisi oleh kerajaan Malaysia, belia ditafsirkan sebagai mereka yang berumur di antara 12 hingga 40 tahun dan definisi ini diguna pakai dalam sebarang bentuk organisasi yang melibatkan belia di Malaysia.

Tidak kira apa sekalipun definasi yang diberikan untuk menggambarkan golongan belia, namun hakikatnya belia ialah satu kelompok anak muda yang mempunyai fizikal yang bertenaga , sihat dan agresif dari segi tindak tanduk dan pemikirannya. Belia dikatakan sebagai golongan yang mempunyai visi dan pandangan yang jauh kerana secara adatnya mereka dikatakan golongan yang bakal mewarisi sesuatu yang akan ditinggalkan oleh golongan tua tidak kira mewarisi negara atau dalam konteks yang lebih besar mewarisi umat.

Persoalannya mampukah belia hari ini terutamanya belia Melayu menjadi pewaris yang berkesan untuk mewarisi sesuatu yang boleh disifatkan sebagai besar seperti mewarisi pentadbiran negara? Melihat kepada keadaan pada hari ini, belia seringkali dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu ‘problematic group’ atau satu kumpulan anak muda yang dikaitkan dengan unsur-unsur ataupun perlakuan negatif di dalam tindak tanduk mereka. Golongan ini seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak bermoral atau tidak baik seperti yang sering dihebahkan ketika ini seperti gejala dadah, rempit dan lain-lain lagi. Tanggapan negatif terhadap belia mempengaruhi aspek pendekatan terhadap golongan tersebut yang menjurus ke arah unsur-unsur tindakan untuk mengajar, membimbing malah mendisiplin, menguasai dan mengawal belia. Namun bagi sesetengah pihak yang menganggap belia sebagai aset kepada negara pula pendekatan yang diaplikasikan mengandungi unsur yang menjurus ke arah mendidik belia, di samping menggalakkan penglibatan serta memberi peluang kepada belia untuk mengambil inisiatif dan menggunakan kebolehan, imaginasi dan daya cipta mereka sendiri.

Dari segi statistik, golongan belia mewakili hampir 45% masyarakat Malaysia dan angka ini menunjukkan bahawa golongan belia merupakan penyumbang tenaga yang utama untuk pembangunan negara. Belia juga disifatkan sebagai aset negara yang mempunyai potensi diri yang amat tinggi untuk membangunkan negara ke satu tahap yang lebih baik. Namun persoalan timbul apabila pandangan pertama terhadap belia dilihat kini lebih dominan di mana gambaran yang diberikan oleh umum memberikan fakta bahawa belia yang menceburkan diri dengan perkara-perkara negatif seolah-olah lebih ramai dari golongan kedua. Jika hal ini benar-benar berlaku, maka hanya kira-kira 22.5% sahaja golongan belia yang boleh dikatakan sebagai aset negara dan selebihnya merupakan golongan yang memerlukan bimbingan secara berterusan. Sekiranya statistik ini benar, maka situasi masa depan yang boleh dikatakan sebagai kronik sedang dihadapi oleh negara kita di masa akan datang. Kenapakah hal seperti ini boleh berlaku?

Walaupun terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi permasalahan belia ketika ini, namun saya ingin menyentuh aspek keterlibatan belia terutama belia Melayu di dalam organisasi. Saya berpandangan masalah yang ditimbulkan oleh belia ketika ini masih mempunyai jalan keluar lain yang mampu untuk dilakukan oleh semua pihak. Pendek kata, penulis beranggapan gejala sosial yang timbul ketika ini adalah disebabkan oleh belia tidak mempunyai alternatif lain untuk mencari keseronokan atau beraktiviti. Oleh itu, walaupun bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah belia, namun saya beranggapan bahawa berorganisasi merupakan salah satu dari jalan keluar terbaik untuk belia melakukan aktiviti yang disukai oleh mereka.

Secara amnya golongan belia boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu:
1. Belia di dalam organisasi
2. Belia di luar organisasi

Kedua-dua kumpulan ini boleh dibahagikan kepada sektor-sektor tertentu seperti kelompok pertama, organisasi-organisasi berkenaan seperti pertubuhan-pertubuhan belia, kesatuan sekerja, parti politik khususnya sayap pemuda, badan agama, badan kebudayaan, badan professional, persatuan pelajar, persatuan pengguna, persatuan penulis mahupun persatuan-persatuan lain. Bagi kelompok kedua pula, terdiri daripada pekerja muda, petani muda, pelajar, penganggur, kakitangan kerajaan atau swasta dan sebagainya.

Berbicara tentang kelompok pertama, penglibatan golongan belia terutama golongan belia Melayu terhadap organisasi ketika ini dilihat agak hambar dan dingin. Kalaupun ada, penglibatan golongan belia Melayu hanyalah sekadar mengisi nama atau sekadar mencukupkan korum untuk sesebuah organisasi sahaja. Penghayatan terhadap aspirasi atau roh perjuangan sesebuah organisasi tersebut tidak dapat dijiwai sepenuhnya oleh mereka dan seterusnya keadaan ini menjadikan mereka tidak begitu berminat untuk terus mengikuti perjalanan organisasi yang disertai dan seterusnya gagal meraih manfaat dari organisasi tersebut. Saya beranggapan golongan belia Melayu kini berhadapan dengan beberapa dilemma yang mempengaruhi dan menyumbang kepada kegagalan fungsi sesebuah organisasi belia antaranya:

Dilema 1: Kegagalan dan Ketidakupayaan untuk Memimpin.

Ketidakupayaan pimpinan tertinggi organisasi untuk membawa gerakan belia ke arah yang sepatutnya merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak. Sesetengah pemimpin sesuatu organisasi atau pertubuhan belia walaupun mempunyai pekerjaan dan pelajaran yang tinggi tetapi masih gagal untuk memimpin organisasi ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Hal ini disebabkan oleh kurangnya penjiwaan roh atau intipati asas perjuangan sesebuah organisasi, ketiadaan rasa ‘ownership’ terhadap organisasi masing-masing, selain kelemahan kuasa untuk mengawal organisasi di samping personaliti diri yang tidak begitu dihormati menjadikan sesebuah organisasi itu menjadi ibarat hidup segan mati tidak mahu.

Dilema 2: Kepentingan Organisasi vs Kepentingan Diri

Kurangnya sokongan dari ahli jawatan kuasa yang dipimpin disebabkan oleh mereka tidak begitu merasakan peranan mereka diperlukan ataupun merasakan organisasi tersebut tidak relevan dengan kehendak mereka. Penglibatan ahli-ahli jawatankuasa selain ketua atau ahli majlis tertinggi memerlukan satu penerangan yang jitu dari aspek bagaimana gerakan belia tersebut relevan kepada mereka. Hal ini kerana, di zaman yang dikatakan moden ini, kebanyakan (tidak semua) golongan terutama belia Melayu meletakkan duit sebagai sesuatu yang sangat relevan dengan mereka. Pendek kata, penglibatan mereka di luar dari waktu kerja haruslah diberi ganjaran samada berbentuk kewangan atau kebendaan dan sekiranya gerakan sesuatu pertubuhan belia itu tidak menjuruskan kepada penambahan kepada pendapatan mereka yang berbentuk kewangan atau ganjaran-ganjaran lain, maka mereka menjadi ‘demotivated’ atau menjadi lesu kerana merasakan penglibatan tersebut adalah sia-sia. Walaupun tidak semua belia bersikap sebegini, tetapi faktor ini tidak dapat ditolak oleh kita memandangkan kebanyakan golongan belia terutama golongan professional merasakan masa di luar waktu kerja mereka adalah merupakan ‘masa emas’ dan wajar digantikan dengan ganjaran sekiranya masa tersebut digunakan.

Tidak dapat dinafikan, tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang melakukan sesuatu yang sia-sia atau tanpa arah tujuan. Pendek kata setiap perkara yang dilakukan haruslah mendatangkan manfaat kepada diri sendiri walaupun sedikit. Namun, belia harus mengamalkan sikap menyumbang terlebih dahulu sebelum menantikan ganjarannya. Tanpa sumbangan, maka tiadalah ganjaran. Sebagai orang Islam, belia harus percaya bahawa tanggungjawab fardhu kifayah ini perlulah diberikan juga perhatian untuk mengelakkan bala dari tuhan. Sifat bersabar dan ikhlas di dalam melakukan sesuatu didapati amat kurang kini dan budaya bekerja sambil menunggu hasil juga kian terhakis, malah belia kini (tidak semua) menjadi satu golongan yang mementingkan diri sendiri dan sentiasa mahukan hasil tanpa berusaha. Sungguh menyedihkan!

Dilema 3: Ketiadaan atau kekurangan sumber kewangan

Kewangan merupakan nadi atau tulang belakang kepada mana-mana organisasi tidak kira samada di peringkat belia hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Kekurangan atau ketiadaan sumber kewangan merupakan satu dilema dan boleh melumpuhkan gerakan sesebuah pertubuhan belia. Walaupun terdapat peruntukan dari segi kewangan diberikan oleh pihak kerajaan terutama pihak Kementerian Belia dan Sukan terhadap belia untuk melakukan aktiviti, tetapi hakikatnya kebanyakan belia di dalam organisasi tidak mengetahui saluran-saluran yang sesuai untuk mendapatkan peruntukan tersebut. Selain itu, terdapat beberapa perkara lain yang mungkin menjadi penghalang kepada golongan belia untuk mendapatkan peruntukan tersebut seperti kurangnya maklumat ataupun justifikasi terhadap program yang lemah yang mengakibatkan kertas kerja mereka ditolak oleh pihak-pihak yang sepatutnya memberikan peruntukan. Faktor kurangnya kreativiti oleh pihak kepimpinan organisasi untuk mencari penaja atau untuk mendapatkan peruntukan

Dilema 4: Penglibatan atau sambutan yang amat kurang terhadap penyertaan untuk menggerakkan sesebuah organisasi belia.

Hal ini terjadi kerana faktor masa di luar waktu bekerja dianggap sebagai masa emas oleh sesetengah golongan belia terutama sekali golongan professional. Ini kerana, orientasi sistem pendidikan kita sejak dari sekolah ataupun universiti telah mendidik kita bahawa penyertaan di dalam aktiviti berpersatuan hanya boleh dilakukan sekiranya mempunyai masa lapang yang cukup. Sistem tersebut menganggap sekiranya berlaku pertembungan antara pelajaran dengan aktiviti, maka aktiviti harus dijauhi seolah-olah pelajaran adalah segala-galanya bagi kita dan aktiviti berpersatuan itu secara tidak langsung menjadi kelas kedua. Hal ini tidak benar kerana kedua-dua perkara ini amat penting dan sistem pendidikan harus mengajar pelajar untuk membahagikan masa antara kedua-dua perkara ini dan bukanlah menolak!. Fenomena yang bertukar menjadi satu mentaliti songsang ini berlarutan sehingga di peringkat universiti di mana pimpinan mahasiswa di pelbagai peringkat semakin lama semakin sukar untuk mendapatkan penyertaan dari golongan pelajar untuk menyertai persatuan-persatuan yang terdapat di universiti. Kesan yang sama turut dirasai apabila pertubuhan-pertubuhan belia di luar kampus apabila hendak mengembangkan keahlian terutama di kawasan bandar. Di kawasan bandar, warga metropolitan terdidik oleh satu sikap yang cukup bahaya iaitu sikap mementingkan diri sendiri disebabkan oleh keselesaan dan kesenangan yang dinikmati. Oleh itu mereka merasakan tidak perlu menyertai pertubuhan-pertubuhan belia kerana tidak nampak signifikasinya pergerakan tersebut dengan kehidupan mereka. Atau dalam erti kata lain, penyertaan ke dalam organisasi dianggap sebagai membuang masa, menyusahkan, tidak mendatangkan apa-apa faedah dan mengurangkan masa yang sepatutnya diluangkan untuk anak-anak ataupun dengan keluarga. Golongan yang langsung tidak nampak sebarang faedah dengan penyertaan mereka ke dalam aktiviti atau organisasi tidak boleh disalahkan seratus peratus, sebaliknya langkah-langkah perlu harus difikirkan dan harus diambil untuk menarik kembali perhatian golongan-golongan ini dengan harapan mereka akan nampak signifikasinya penyertaan mereka ke dalam pertubuhan atau organisasi dengan kehidupan mereka. Oleh itu, di pihak yang sedar akan kepentingan berorganisasi, saya merasakan adalah perlu kita menjalankan program-program yang memberikan manfaat kepada semua golongan agar satu penglibatan yang lebih menyeluruh dapat dicapai. Di samping, kepimpinan organisasi haruslah mengamalkan sikap sentiasa ikhlas di dalam perjuangan mereka dan haruslah sentiasa meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan individu agar semua pihak mendapat manfaat daripada penyertaan mereka di dalam pertubuhan-pertubuhan belia.

Secara kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa belia harus percaya bahawa penglibatan belia di dalam organisasi amat berfaedah dan kreativiti perlu ditunjukkan oleh seluruh kepimpinan belia untuk menunjukkan penglibatan golongan tersebut di dalam aktiviti atau di dalam organisasi belia adalah tidak sia-sia dan mendatangkan manfaat secara langsung kepada mereka. Galakan dari ibu bapa juga amat perlu di dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang peri perlunya di dalam hidup kita untuk berorganisasi tidak kiralah organisasi berbentuk sukan, kebudayaan, kemasyarakatan, ataupun badan-badan beruniform.

Bagi kepimpinan belia pula, mereka perlulah meyakinkan golongan-golongan belia yang menjadi sasaran mereka tentang kebaikan ataupun faedah yang akan didapati apabila menyertai organisasi mereka dan perlulah mengajak golongan terbabit bersama-sama di dalam usaha menggerakkan organisasi-organisasi belia tersebut secara bersama-sama agar persatuan-persatuan belia tidak lesu. Walaupun dilihat masa depan organisasi-organisasi belia agak kabur, namun saya masih percaya kepada beberapa inisiatif yang boleh diambil untuk menaikkan kembali tahap penyertaan golongan belia terutama belia Melayu. Saya mungkin agak optimis di dalam memberikan pandangan di ruangan ini tetapi saya percaya kepada pepatah yang menyatakan orang yang berjaya selalu nampak jawapan kepada setiap masalah manakala orang yang gagal selalu nampak masalah pada setiap jawapan!.

MELAYU DI ZON SELESA

Suatu ketika dahulu, orang Melayu merupakan suatu bangsa yang amat masyhur. Orang Melayu pernah menjadi pelayar yang hebat, malah juga merupakan pedagang yang berjaya. Sejarah kejayaan bangsa Melayu bermula di kota Melaka yang ketika itu merupakan pusat perdagangan utama di rantau ini dan seterusnya menjadi pelabuhan entrepot yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk para pedagang. Ketika itu, kedudukan bangsa Melayu amat kuat dan memiliki kekayaan dan perniagaan yang hebat. Selain perdagangan, penyebaran agama Islam juga berlaku dengan begitu efisien sekali ditambah pula dengan sokongan dan dokongan para Sultan Melayu ketika itu dan kestabilan politik, Islam tersebar luas di Melaka dan seterusnya Melaka menjadi pusat penyebaran Islam yang utama di rantau ini. Pendek kata Melaka yang dipimpin oleh orang Melayu ketika itu amat dikenali bukan sahaja di seluruh nusantara malah terkenal di seluruh dunia.

Berdasarkan catatan sejarah tersebut dapatlah dirumuskan bahawa orang Melayu mempunyai potensi diri yang amat tinggi untuk berjaya dan seterusnya membina empayar yang amat hebat di zaman kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Namun begitu, ketika di era penjajahan British dan seterusnya Jepun serta kemasukan imigran berbangsa Cina dan India ke Malaya ketika itu, orang Melayu mulai ‘kehilangan semangat’ buat sementara oleh kerana penjajah yang bersikap tamak ketika itu telah melemahkan orang Melayu dari segi ekonomi dan politik. Namun, walaupun berada di dalam cengkaman penjajah (British), telah lahir beberapa pahlawan Melayu dari kalangan orang Melayu itu sendiri dan mereka telah bangkit menentang penjajah. Walaupun penentangan tersebut tidak berjaya mengusir penjajah British, tetapi kesedaran yang ada di dalam diri beberapa pahlawan Melayu ketika itu haruslah dipuji dan wajar dicontohi. Sekitar tahun 1940 an ke tahun 1950an, orang Melayu sekali lagi bangkit dari ‘zon tidak selesa’ (ketika di era British dan Jepun) dan bersatu padu di dalam UMNO ketika itu untuk menentang Malayan Union dan seterusnya berupaya untuk menuntut kemerdekaan tanpa sebarang pertumpahan darah daripada British.

Beberapa siri kejayaan bangsa Melayu pada ketika dahulu adalah kerana mereka mampu bersatu padu dan seterusnya sama-sama berusaha untuk keluarkan diri dari belenggu penjajah. Atau dalam bahasa ringkasnya orang Melayu pada ketika tersebut berada dalam keadaan di mana mereka merasakan mereka terdesak untuk bersatu padu dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, berusaha dan bekerja secara bersama untuk mencapai sesuatu matlamat. Ketika itu mereka berada di dalam zon yang tidak begitu selesa dan orang Melayu telah membuktikan mereka mampu untuk bangkit dan bersatu secara total bagi mengejar sesuatu yang diimpikan.

Hal ini amat berbeza sekali apabila kita melangkah ke era moden. Orang Melayu lebih cenderung untuk berusaha bagi pihak diri sendiri sahaja secara berasingan tanpa bantuan atau tanpa mengambil kira masyarakat di sekeliling. Walaupun tidak semua orang Melayu bersikap begitu tetapi boleh dikatakan ramai orang Melayu yang mengambil sikap tak endah akan peri perlunya mempertahankan hak mereka yang sebenarnya tidak kekal itu. Mereka merasakan akan sentiasa akan ada orang yang memperjuangkan hak-hak melayu dan kemelayuan untuk mereka walaupun secara individunya mereka tidak bersama-sama berusaha dengan pihak tertentu untuk mempertahankan hak-hak tersebut. Anggapan orang Melayu terhadap isu ketuanan Melayu, dominasi politik oleh orang Melayu dan penguasaan ekonomi adalah ianya akan kekal milik orang Melayu selama-lamanya. Orang Melayu harus sedar bahawa setiap dari mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan hak-hak melayu dan sikap acuh tak acuh atau endah tak endah akan akhirnya menghakis hak-hak keistimewaan tersebut tanpa disedari. Sikap berpecah belah akibat fahaman politik yang berbeza tidak seharusnya dijadikan sempadan atau tembok penghalang untuk sama-sama duduk berbincang isu –isu yang membawa manfaat kepada orang Melayu.

Oleh itu orang Melayu perlu keluar dari suatu keadaan yang membuatkan mereka berada di dalam zon selesa yang merupakan suatu ancaman baru orang Melayu dewasa ini. Penglibatan orang Melayu di dalam kempen kesedaran tersebut terutama di kalangan profesional Melayu dan juga ahli politik Melayu adalah perlu untuk mengembalikan kesedaran tersebut untuk sama –sama bersatu bagi mempertahankan hak Melayu. Di kalangan masyarakat Melayu amnya perlu berfikir secara serius untuk membentuk suatu pola pemikiran Melayu Baru yang berteraskan semangat Melayu yang tulen. Tanggungjawab mempertahankan hak Melayu adalah tanggungjawab semua dan bukan hanya terletak di bahu UMNO atau di bahu pihak-pihak tertentu semata-mata.