Selasa, 22 Disember 2009

Antara Mahathir, Melayu dan BTN

1. Sewaktu berusia 5 tahun, sekitar tahun 1982, saya pernah mengikut bapa saya menyaksikan ucapan atau rapat umum oleh PM Malaysia yang baru ketika itu di pekan kelahiran saya iaitu di Guar Chempedak. Saya masih ingat lagi ketika itu bapa saya mendokong saya dan meletakkan di atas tengkoknya sebab saya ingin tahu siapa yang berucap dengan gaya bersahaja tetapi penuh bersemangat ketika itu.

2. Walaupun tidak begitu memahami apakah intipati ucapan beliau,tetapi apa yang cukup pasti, nama Dr Mahathir (panggilan pada ketika itu) sangat sinonim dengan masyarakat tempat kelahiran saya dan mereka turut berbangga kerana buat kali keduanya orang Kedah menjadi Perdana Menteri. Tambahan pula seorang yang sering dilabelkan Ultra Malay pada ketika itu diangkat menerajui kepimpinan negara. Sungguh menakjubkan!

3. Walaupun pada awal perjuangannya beliau seringkali dilabelkan sebagai ultra Melayu, namun keupayaan Dr Mahathir menyatukan pelbagai kaum di negara ini dan membahagikan hak serta keadilan yang sama rata sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri memang tidak dapat dinafikan lagi.

4. Seluruh negara tidak dapat menafikan bahawa selain memacu kerancakan ekonomi negara serta pesona kepimpinan beliau hingga ke hari ini dikatakan antara yang terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara kita memang tidak dapat dinafikan kawan mahupun lawan. Label Ultra Melayu tersebut ternyata tidak dibawanya ketika menerajui kerajaan dan Barisan Nasional. Semua kaum berpuas hati walaupun tidak 100% tetapi sekurang-kurangnya selama 22 tahun kita jarang mendengar isu-isu perkauman ditimbulkan apatah lagi dibahaskan secara terbuka seperti hari ini.

5. Saya bukanlah seorang fanatik kepada Tun Dr Mahathir tetapi saya mendokong prinsip kebenaran dalam perjuangan yang cukup sinonim dengan beliau. Saya rasa satu ketidakadilan berlaku apabila Datuk Seri Nazri Aziz melabelkan Tun Dr Mahathir sebagai bapa rasis negara. Label tersebut agak keterlaluan dan melukakan hati bukan sahaja Tun malah seluruh orang Melayu. Hal ini kerana kenapakah apabila orang Melayu bercakap tentang Melayu dituduh rasis sedangkan jika kaum bukan Melayu bercakap tentang bangsa masing-masing akan dikatakan mempertahan atau membela hak mereka?

6. Baru-baru ini sekali lagi sistem negara diserang selepas institusi kehakiman, SPRM, polis mahupun SPR sebelum ini. Serangan kali ini disasarkan kepada Biro Tatanegara.

7. Sebagai seorang bekas peserta kem Biro Tatanegara (BTN), saya berpandangan BTN telah menjalankan fungsi kenegaraan dengan begitu baik dan berkesan. Memang terdapat unsur-unsur kemelayuan diserapkan ke dalam diri peserta (mengikut tahap atau kelompok), namun ianya adalah perlu sebab Melayu adalah kaum asal negara ini. Untuk mencintai negara, kita perlu mencintai dan mengenali bangsa terlebih dahulu. Jadi, penerapan jati diri Melayu ke dalam diri peserta pada hanyalah salah satu proses di dalam modul BTN dan tiada apa yang salah tentangnya. Kenapa perlu dipersoalkan?

8. Kejayaan bangsa-bangsa yang besar di dunia seperti bangsa Jepun, Korea, Jerman mahupun Yahudi sekalipun adalah disebabkan mereka mempunyai jatidiri yang kuat terhadap bangsa mereka sendiri. Perasaan bangga dengan bangsa sendiri (dengan syarat tidak menindas bangsa lain) adalah perlu jika kita mahu melahirkan satu negara yang berjaya dan disegani. Jadi, BTN telah mencorakkan modul ke arah itu. Kenapa kita masih menentang? Namun sekiranya modul BTN ada menyelitkan unsur-unsur memburukkan pemimpin tertentu, maka saya agak kurang bersetuju. Sekiranya ini berlaku maka besar kemungkinan modul asal BTN telah diubahsuai!

8. Saya tidak berniat untuk menyinggung rakan2 dari bangsa lain dalam tulisan saya kali ini. Kerana saya percaya, kegagalan bangsa saya dalam persaingan ekonomi mahupun bidang lain bukanlah disebabkan oleh dihalang oleh bangsa lain tetapi disebabkan oleh sikap bangsa saya sendiri.

9. Bangsa Melayu pada hari ini cukup sinonim dengan semangat dan modul BTN. Memang tidak dapat dinafikan adalah perlu sesuatu bangsa itu mempunyai semangat dan keyakinan terhadap bangsanya terlebih dahulu sebelum kecintaan terhadap sesebuah negara itu timbul. Hanya dengan mempunyai semangat bangsa yang tinggi sahajalah maka barulah timbul perasaan untuk mempertahankan negara. Mungkin ada dikalangan sahabat-sahabat tidak bersetuju dengan saya, tepuk dada tanya selera...