Sabtu, 7 Februari 2009

Senario Kalut Politik Perak


Telah agak lama juga saya tidak mengirimkan tulisan saya ke blog ini. Bukannya apa sejak akhir-akhir ini agak terlalu sibuk dengan tugasan harian hingga menyebabkan saya tidak sempat untuk duduk sejenak menganalisa dan akhirnya menulis komen tentang keadaan politik negara mutakhir ini.

1. Kita semua tahu dan membaca apa yang berlaku di Perak akhir-akhir ini. Seluruh negara dikejutkan oleh isu lompat melompat yang berlaku di antara Pakatan Rakyat (PR) dan BN. Episod bermula apabila ADUN Bota mengisytiharkan keluar dari Umno dan masuk PKR. Dengan bangganya DS Anwar Ibrahim mengisytiharkan 'perang' nya ke atas sasaran paling dikehendakinya iaitu DS Najib Tun Razak. Maka bermulalah drama lompat melompat di Perak.

2. Selepas daripada itu, sekali lagi kita dikejutkan dengan kehilangan 2 ADUN PKR. Ada pelbagai khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyatakan 2 ADUN terbabit dilihat berada di daerah kelahiran DS Najib. Ada pendapat menyatakan mereka berada di sana atas sebab terdapatnya unsur-unsur tawar menawar untuk melompat parti dan juga di pihak DS Najib pula ada yang menyatakan menawarkan 'sesuatu' kepada 2 Adun terbabit.

3. Situasi bertambah gawat apabila seorang lagi Adun DAP mengumumkan keluar PR dan mengisytiharkan diri sebagai Adun bebas tetapi menyokong BN. Adun Bota juga turut mengumumkan keluar PKR dan kembali ke pangkuan UMNO. Manakala 2 Adun yang hilang tadi turut membuat penampilan bergaya dengan mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi calon bebas.

4. DS IR Nizar pula mula cemas dan terpaksa turun naik istana bertemu Sultan Perak Raja Azlan Shah. Begitu juga BN yang dikepalai oleh bakal PM iaitu DS Najib mengadakan sidang akhbar dan seterusnya dengan muka senyum (biasanya beliau jarang senyum) mengisytiharkan BN merampas kembali Perak.

5. Dari pengamatan yang saya lihat apa yang berlaku di Perak ini sama dengan apa yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu semasa DS Anwar menjadi TPM ketika itu di mana satu siri pertukaran kerajaan negeri dilakukan secara terancang dan BN berjaya merampas kembali negeri bukan melalui proses pilihanraya. DS Anwar memang antara yang pakar dalam hal menarik wakil rakyat memasuki mana-mana parti yang beliau suka. Kini perkara yang sama juga beliau ingin lakukan bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

6. Saya merasakan apa yang berlaku ini adalah berpunca dari DS Anwar sendiri. Pada bulan September tahun lalu beliau mendakwa ada hampir 32 wakil rakyat BN akan melompat ke PR. Tetapi malangnya perkara tersebut tidak berlaku sebaliknya landskap politik negara sedikit goyah kerana apa yang dilakukan oleh DS Anwar memang dari segi perundangannya tidak salah tetapi dari segi moral dan kesan jangka panjangnya amat teruk kepada negara.

7. Kita cuba bayangkan kalau hari ini kita bertanding atas tiket BN dan menghabiskan berjuta ringgit wang pilihanraya BN, tetapi setelah memenangi pilihanraya, kita melompat parti dan masih menjadi wakil rakyat tetapi atas tiket parti lain. Hal ini besar implikasinya kepada kestabilan politik negara di mana tafsiran atau keinginan rakyat dinafikan. Ini kerana saya berpendapat majoriti pilihan yang dibuat oleh rakyat adalah berdasarkan parti dan bukannya individu. Mungkin ada yang melihat individu tetpi jumlah yng mengundi atas kapasiti individu adalah minoriti. Tak mungkin semua orang kenal hati budi calon wakil rakyat masing-masing kecuali kawan dan keluarga terdekat atau di kalangan ahli politik yang diwakili calon terbabit. Tetapi ramai yang mengetahui agenda parti politik dan tafsiran atau keinginan rakyat pada pandangan saya tidak wajar diketepikan dalam hal ini.

8. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan akta lompat parti agar mana-mana calon yang menjadi wakil rakyat atas tiket parti yang diwakilinya wajib meletakkan jawatan terlebih dahulu sekiranya ingin menukar parti. Beri ruang kepada rakyat untuk memilih calon dan parti pilihan mereka. Oleh itu kuasa rakyat adalah kuasa penentu dan bukannya ahli politik yang menentukan mana-mana calon mereka dan seterusnya hanya menjayakan agenda peribadi mereka semata-mata.

9. Saya merasakan PR mempunyai potensi yang besar untuk merampas Malaysia daripada pemerintahan BN yang panjang ini. Hal ini boleh terjadi sekiranya BN masih lagi tidak mahu berubah, tidak berupaya merubah imejnya dan tidak berjaya mengalih persepsi rakyat serta gagal mengekang masalah rasuah yang saban hari kian menular.

10. Tetapi PR gagal mengambil peluang di mana BN sedang berada dalam situasi paling lemah dalam sejarah perjuangannya ini. Sepatutnya PR yang diketuai oleh DS Anwar Ibrahim lebih menumpukan kepada 5 negeri yang telah berjaya dikuasainya kerana rakyat akan menilai dan membuat pertimbangan. Persepsi rakyat terhadap PR memang diakui agak positif ketika ini tetapi kalau PR terutama sekali DS Anwar terlalu gelojoh dalam politik maka inilah akibat yang perlu ditanggung. UMNO yang dikepalai oleh DS Najib telah melakukan satu siri serangan balas setelah sekian lama berdiam diri dan tidak membalas. Walaupun secara politiknya agak tidak bermoral dengan cara ini tetapi satu hakikat yang perlu diakui UMNO-BN telah menang besar dalam persaingan politik ini. DS Anwar sekali lagi dilihat gagal mengotakan janjinya setelah memberikan satu retorik kosong September lalu.

11. Nasihat saya selaku insan yang tidak berjawatan ini kepada ahli politik PR agar tumpukan kepada kemajuan di 5 negeri yang telah dikuasai oleh mereka daripada dok sibuk kacau YB BN untuk melompat parti kerana biarkan rakyat yang buat penilaian. Buat BN pula, pada waktu ini apa yang lebih diutamakan oleh rakyat adalah hal ekonomi dan rakyat secara majoritinya tidak peduli siapa yang memerintah asalkan kebajikan mereka terjaga! Jadi lakukanlah yang terbaik untuk negara dan selepas daripada ini tumpukanlah kepada bagaimana untuk membela nasib rakyat.

2 ulasan:

.@blogger.com berkata...

Salam dari Pahang,satu posting yang detail dan memang itu hakikatnya yang kita lihat. Baca juga posting2 saya berkenaan perkara sama, yg lalu dan akan dtg.> BERANIKAN HATI http://braveheart-blogger.blogspot.com

JALILMM berkata...

sdr braveheart,

Terima kasih atas sokongan sdr kerana malawati blog saya...saya akan melawat blog sdr...teruskan sokongan...

Jalilmm