Selasa, 23 Jun 2009

Kenapa Sukar Berdamai?

1. Beberapa hari kebelakangan ini kita semua maklum bahawa impian kita untuk melihat perpaduan Melayu tercapai berkubur. Impian untuk melihat UMNO dan PAS duduk semeja membicarakan aspek Melayu dan isu Melayu berkecai dan berderai ibarat kaca terhempas.

2. Amaran keras yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS iaitu Datuk Nik Aziz terhadap Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS termasuk meminta Nasharuddin meninggalkan PAS sekiranya inginkan kerajaan perpaduan amat mengejutkan semua bukan hanya sekadar ahli PAS malah yang di luar PAS juga.

3. Inilah bezanya antara orang kita dengan bangsa lain di Malaysia. Bagi kita politik adalah segala-galanya dan kita mengambil kira faktor menjaga hati, makan hati termasuk nostalgia buruk lama yang dicetuskan oleh datuk nenek kita dahulu dan terus dengan nostalgia itu hingga saat ini.

4. Kalau hendak dikirakan, DAP juga banyak melakukan 'dosa' dengan PAS termasuk beberapa kenyataan liar Karpal Singh, Lim Kit Siang mahupun beberapa pimpinan DAP sekarang bukan hanya sekadar terhadap PAS malah terhadap dasar utama PAS iaitu menegakkan negara Islam pun seringkali dikritik oleh pimpinan DAP. Lupakan Tuan Guru bahawa mereka ini tidak pernah sekalipun meminta maaf kepada PAS tetapi syarat yang sama diletakkan oleh PAS terhadap UMNO yang nampak seolah-olah ikhlas kali ini untuk bekerjasama dengan PAS atas nama perpaduan Melayu.

5. Walaupun berteraskan Islam, PAS tidak seharusnya membelakangkan Melayu dalam agenda perjuangannya. Ini kerana DAP mahupun Gerakan tidak pernah mengenepikan agenda bangsanya dalam perjuangan mereka dalam politik. Bagi ahli PAS sendiri yang ditemui ada yang berpendapat tidak salah kiranya PAS membawa agenda Melayu. Cuma pucuk pimpinan yang terpengaruh dengan rentak politik yang didominasi DAP sahaja yang menolak agenda Melayu.

6. Kalau sekiranya DAP mahupun gerakan ikhlas mahu menghapuskan tembok perkauman, mereka seharusnya membuka lebih ruang kepada bangsa lain pada kadar yang sama banyak samada dari segi keahlian mahupun peringkat kepimpinan tertinggi. Seharusnya juga isu2 yang cuba dimainkan dan dibangkitkan tidak menjurus ke arah kepentingan sesuatu kaum sahaja.

7. Tuan Guru Nik Aziz mungkin sudah lupa kenyataan Karpal Singh bahawa jika ingin melaksanakan negara Islam langkah mayatnya terlebih dahulu. Karpal Singh mahupun jurucakap DAP tidak pernah menarik balik kenyataan ini mahupun memohon maaf bukan sahaja kepada PAS malah kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

8. PAS seharusnya mengambil sikap lebih terbuka dalam dasar luarnya dan meletakkan agenda negara dan bangsa melangkaui ego politik dan dendam kesumat mereka dengan UMNO yang tidak berkesudahan itu demi kelangsungan bangsa kita.

9. Mereka harus sedar bahawa DAP tidak pernah selari dengan PAS dalam dasar Islamisasi seperti yang PAS kehendaki dan soal dasar ini tidak akan dapat diubah. Jadi, pertimbangan emosi PAS tidak mencerminkan kematangan mereka dalam membuat keputusan walaupun ianya melibatkan kepentingan bangsa.

10. Walaupun rundingan atau muqabalah ini tidak akan berlaku, namun saya dan rakyat Malaysia secara amnya amat mengharpkan semoga ianya akan berlaku juga suatu hari nanti. Impian generasi muda adalah untuk melihat satu penyatuan rumpun bangsa atas dasar dan matlamat yang sama iaitu untuk meningkatkan martabat anak bangsa dan seterusnya mendaulatkan Islam sebagai teras perjuangan kita.

Tiada ulasan: