Sabtu, 11 Julai 2009

Pemansuhan PPSMI- Dasar Yang Tidak Konsisten


1. Dalam posting yang lalu, saya banyak kali menekankan bahawa pengajaran subjek teknikal dalam Bahasa Inggeris adalah sememangnya tidak perlu kerana aspek teknikal memerlukan satu pemahaman konsep. Walaupun medium penyampaian untuk memberikan kefahaman amat penting namun kaedah mahupun konsep lebih penting dari aspek bahasa itu sendiri.

2. Bahasa yang digunakan tidak kira apa bahasa sekalipun menjadi soal kedua asalkan para pelajar dapat memahami konsep sesuatu perkara dengan baik. Dalam konteks Malaysia, Bahasa Melayu adalah medium terbaik untuk memberikan kefahaman kepada para pelajar kerana ia adalah bahasa ibunda, maka Bahasa Melayu harus menjadi medium tebaik untuk menyampaikan sesuatu konsep Sains dan Matematik.

3. Ahli politik mahupun mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir harus melihat keputusan kerajaan ini bukan dari sudut politik semata-mata mahupun melihat penghapusan dasar ini adalah satu petanda kemusnahan pembinaan keupayaan bangsa dalam menguasai Bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai bahasa ilmu dunia sebaliknya harus melihat dari sudut teknikal dalam konteks negara kita seperti para guru yang tidak begitu cukup dan lain-lain sebagai justifikasi terbaik bgi keputusan ini.

4. Cuma kita harus memikirkan juga nasib anak-anak kampung yang selama 6 tahun sepanjang perlaksanaan dasar ini dan ada juga di antaranya yang gagal ke Universiti hanya disebabkan oleh kelemahan penguasaan Bahasa inggeris sedangkan jika subjek tersebut diajar dalam Bahasa Melayu keadaannya mungkin berbeza. Mungkinkah mereka ini harus diberikan peluang sekali lagi melalui peperiksaan khas atau apa jua mekanisme yang difikirkan sesuai?

5. Kita semua tertanya-tanya, apa sebenarnya keputusan peperiksaan para pelajar ini samada di peringkat UPSR, PMR mahupun SPM sepanjang dasar ini dilaksanakan kerana selama ini gambaran yang diberikan oleh pihak kerajaan terutama ketika keputusan peperiksaan diumumkan adalah baik belaka. Kita selalu terbaca di dada akhbar bahawa peratus keputusan untuk Bahasa inggeris dan Sains meningkat dan sebagainya yang indah-indah. Kalau keputusan meningkat dan baik, kenapa dasar ini harus dihapuskan?

6. Sebagai rakyat bawahan, kita semua merayu pihak kerajaan agar jangan terlalu memperlekehkan daya intelek rakyat dengan cara sebegini di masa hadapan. Tindakan pihak kerajaan yang mempolitikkan pendidikan amat tidak wajar. Pendidikan dan pembinaan upaya bangsa melalui medium ilmu adalah asas paling penting dalam pembinaan sesebuah negara. Sekiranya tidak ada kajian yang baik dilakukan oleh pihak kerajaan di mana pakar-pakar harus dipanggil terlebih dahulu sebelum perlaksanaan dasar maka keadaan yang sungguh mengecewakan ini tidak mungkin akan berlaku.

7. Dasar flip flop di dalam membuat keputusan strategik dan penting untuk negara pada masa hadapan haruslah dihentikan serta merta kerana implikasinya amat buruk terutama untuk jangka panjang.

8. Generasi muda adalah pewaris penting yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara di masa hadapan manakala ilmu pula adalah bekalan bagi mempersiapkan diri mereka ke arah itu. Kerajaan sedar perkara ini tetapi kita tidak mempraktikkan dalam urusan pentadbiran negara.

9. Diharap pada masa hadapan, kerajaan akan mengambil kira pandangan ahli akademik mahupun mereka yang ahli dalam bidang tertentu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan terutama yang melibatkan pendidikan. Namun begitu, ucapan tahniah patut diberikan juga kepada pihak kerajaan walaupun setelah 6 tahun!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setuju tuan....kerajaan hampeh dan flip flop....bertukarlah ke PR!!!

Pemuda PKR