Sabtu, 31 Oktober 2009

Hilangnya Kemanusiaan Kita

1. Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan satu berita yang sungguh menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun di rogol, diliwat dan dibunuh dengan tidak berperi kemanusiaan oleh kekasih hati ibu beliau yang merupakan warga Sudan. Lebih menyedihkan apabila si ibu tadi turut bersubahat dengan menafikan kekasih hatinya membunuh malah menuduh pembantu rumah melakukan angkara tersebut. Mungkinkah pembantu rumahnya lelaki? Entahlah...

2) Selepas peristiwa tersebut, jika kita menonton di kaca televisyen, boleh dikatakan saban hari berlakunya tragedi rompak dan bunuh. Yang lebih menakutkan kita ialah kebanyakan kejadian bunuh tersebut berlaku di dalam bilik tidur atau rumah si mangsa. Ada di antaranya yang ditekup dengan bantal, ada yang ditembak di dalam rumah sendiri malah ada yang disembelih di dalam rumah di hadapan anak dan isteri!. Persoalannya, mengapakah tempat yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat itu kini sudah tidak lagi selamat?

3) Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Benarkah faktor ekonomi yang tidak stabil pada waktu ini menjadi antara faktor pemangkin kejadian jenayah?

4) Benarkah pihak polis Malaysia tidak begitu serius dalam hal memerangi jenayah? Ada beberapa pendapat nakal mengatakan polis hanya sibuk dengan urusan politik kini. Mereka hanya bertindak cepat apabila kesnya berprofil tinggi ataupun ada kaitan dengan politik.

5) Kementerian Dalam Negeri dilihat antara pihak berwajib dalam melaksanakan polisi negara wajar memberikan satu perhatian serius dalam hal ini. Kita tidak harus lupa kekalahan di dalam PRU yang lepas salah satu sebabnya ialah sebahagian yang mengundi Pakatan merasakan Malaysia tidak lagi selamat didiami.

6) Saya merasakan beberapa cadangan berikut perlu dipertimbangkan demi kebaikan bersama. Pertamanya ialah jumlah anggota polis perlu ditambah. Penambahan kuota terutama untuk kaum berbangsa Cina wajar ditingkatkan. Kalau kita lihat pada hari ini, penglibatan kaum Cina dan India amat kurang. Mungkin disebabkan oleh faktor gaji yang kecil. Tetapi saya merasakan wajar pihak kerajaan mengkaji kembali sekali lagi skema tangga gaji minimum untuk anggota polis pada semua pangkat. Saya merasakan perkara ini adalah di dalam kemampuan pihak kerajaan dan keutamaan wajar diberikan kepada hal ini kerana ia melibatkan nyawa.

7) Kedua: Kurangkan penayangan cerita2 yang menggalakkan atau memberikan idea untuk rakyat melakukan jenayah. Kadangkala filem2 atau drama2 sebegini seolah2 mengajar mahupun mengangkat kegiatan jenayah tersebut sehingga ianya mempengaruhi orang ramai terutama kanak-kanak.

8) Ketiga: Penerapan atau penekanan kepada agama. Saya merasakan aspek ini adalah merupakan aspek paling utama dalam penyelesaian sesuatu masalah terutama dalam mendidik jiwa kita supaya menjadi lembut. Sukatan mata pelajaran di sekolah harus dikaji semula di mana penekanan kepada sifat kasih sayang sesama insan wajar diutamakan. Apabila agama diletakkan dalam kelas kedua maka inilah punca kepada semua permasalahan sosial yang berlaku sekarang. Saya tidak mengatakan kita tidak mengajar atau diajar agama. Tetapi saya merasakan penerapan nilai agama terutama Islam ke dalam diri kita masih jauh dari yang sepatutnya. Maka peranan pihak kerajaan untuk menerapkan nilai2 Islam sepatutnya dipertingkatkan lagi dan harus diletakkan pada tempat yang sepatutnya.

9) Selain itu, peranan NGO2 dalam membantu kerajaan juga wajar dipertingkatkan. Penyebaran dan perkongsian maklumat mengenai jenayah dan cara2 untuk mengelakkan jenayah dari berlaku wajar diberikan tumpuan khusus demi untuk menurunkan indeks jenyah diu negara kita.

Tiada ulasan: