Selasa, 12 Mei 2009

Isu Perak- BN Tewas Di Mahkamah: Salah Penasihat Undang-Undang UMNO-BN?


1. Semalam secara rasmi Dato' Seri Nizar diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana menurut hakim, seseorang penyandang jawatan tersebut hanya boleh dilucutkan dari jawatan melalui sidang DUN (undi tidak percaya dan sebagainya).

2. Sejak dari awal lagi saya secara peribadi di samping hasil perbincangan kedai kopi di sekitar Bangi merasakan pengambilalihan jawatan oleh Dato' Seri Dr Zamry ada sesuatu yang tidak kena atau dalam ayat mudahnya BN tidak berfikir panjang terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan ini. Rakan2 saya yang merupakan lawyer pun merasakan bahawa tindakan ini adalah tidak mematuhi undang2 serta akan tewas apabila dicabar di mahkamah nanti.

3. Rakyat juga dilihat menolak perlakuan merampas negeri yang dilakukan oleh BN kali ini dan ini juga melanggar norma2 katatasusilaan BN serta prinsip menghormati keluhuran undang2 yang didokong dan dilaung2kan. Hatta mantan PM Tun Dr Mahathir juga turut menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak mengikut lunas undang2 yang sah.

4. Nah hari ini terjawab sudah segala bantahan dan persoalan di samping penghujahan selama ini. Yang amat mendukacitakan ialah apabila Pakata Rakyat sekali lagi mendapat 'political mileage'. Saya hampir yakin sekiranya diadakan pilihanraya umum pada ketika ini, maka BN akan ghuyup kata orang Kedah. BN akan jadi Be-End.

5. Di mana pertimbangan undang2 yang dibuat oleh rakan2 lawyer kita dalam BN? Saya rasa penasihat undang2 BN atau sesiapa yang memberikan nasihat kepada BN untuk merampas Perak dari PR wajar dikaji semula kedudukan jawatan mereka. Ini kerana mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik dalam membuat pertimbangan sewajarnya sebelum orang2 politik mengambil tindakan mereka.

6. Kesan daripada pengumuman oleh mahkamah ini amat besar ke atas survival politik BN-UMNO. Ini kerana YAB DS Najib baru mengambil alih pemerintahan negara telah menerima tamparan hebat daripada tindakan yang tidak sewajarnya diambil ini. Selain mengikis keyakinan rakyat, imej UMNO-BN di mata pengundi bukan sahaja pengundi Melayu malah lebih besar kesannya ialah pada kaca mata orang cina amat buruk dan sukar untuk dipulihkan.

7. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, imej BN di mata rakyat Malaysia juga akan tercalar. Isu Perak bukanlah isu Perak semata2 sebaliknya adalah isu nasional dan isu penilaian awal terhadap kepimpinan PM baru kita. Saya rasa bijak pandai kat atas tu wajar adakan mesyuarat dan duduk berbincang. Buat satu grand design bagaimana untuk mengembalikan imej BN agar ia kelihata lebih mewakili rakyat. Kalau tak BN akan jadi Be- End!

Ahad, 10 Mei 2009

Ibu, Pendidik dan Permasalahan Rempit

1) Selamat hari ibu saya ingin ucapkan kepada semua kaum ibu di seluruh negara. Jasa kalian sangat banyak bermula dari menzahirkan insan ke dunia hinggalah kepada jasa-jasamu sepanjang hayat yang tidak terkira banyaknya.

2) Dalam kita meraikan hari ibu, dan mengenang jasa ibu, seperkara yang tidak dapat dilupakan ialah tanggungjawab para ibu (dan bapa) juga dalam menjadi pendidik kepada anak-anak. Pada saya berbanding bapa, sentuhan ibu lebih berkesan dalam menasihat dan membina bentuk keperibadian anak2 kerana bapa seringkali amat kurang masa mereka bersama anak2.

3) Hati seluruh rakyat Malaysia tersentuh apabila terbaca satu kisah berkenaan seorang ibu yang sedang mengandung meninggal dunia baru2 ini akibat menjadi mangsa ragut oleh seorang lelaki yang saya kira dalam kategori Mat Rempit. Ibu tersebut meninggal dan di dalam dompet beliau hanya ada RM2 sahaja dikatakan untuk membeli makanan ringan untuk anak beliau.

4) Apa sudah jadi dengan bangsa kita? Perangai sebegini pada saya lebih teruk dari syaitan. Kenapa kita sampai ke tahap ini?

5) Isu ini bukan satu isu yang baru kerana media pada sesuatu ketika menjadikan isu ini di muka depan dan akhirnya menjadi isu nasional. Panas seketika kemudian senyap dan akhirnya berulang kembali. Kitaran ini berulang - ulang namun kita masih lagi tidak mampu untuk melaksanakan langkah berkesan bagi menanganinya.

6) Apakah bangsa kita hanyalah satu bangsa yang hanya tahu berbahas sahaja? Kalau bekerjapun seringkali mengharapkan nama terutama pemimpin politik.

7) Permasalahan moral ini pada saya berkait rapat juga dengan didikan dan pendidikan akhlak serta moral bermula dari rumah. Kebanyakan ibu bapa masa ini tidak pandai berkomunikasi ataupun kurangnya ilmu pendidikan untuk mengajar anak. Akibatnya institusi keluarga kini tidak lagi menjadi tempat penting untuk membentuk akhlak anak2 akibatnya tanggungjawab tersebut terpaksa dipikul sepenuhnya oleh pihak sekolah, mahupun pihak kerajaan yang terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut.

8) Bagi mengatasi permasalahan ini, saya merasakan cadangan berikut wajar diambil kira:

Pertama: Terapkan ilmu keibu bapaan bermula dari peringkat menengah atas dan wajibkan ia sebagai satu pelajaran bagi setiap pelajar menengah tinggi.

Kedua: Pelbagaikan kursus keibubapaan kepada bakal ibu bapa anjuran pihak Kementerian mahupun swasta. Adakan geran untuk kursus2 seperti ini demi memantapkan institusi kekeluargaan.

Ketiga: Kerajaan wajar memikirkan satu cara untuk memendekkan sedikit waktu bekerja bagi kaum ibu terutamanya bagi membolehkan ruangan masa oleh ibu kepada anak2 kerana anak2 yang selalu berkomunikasi dengan ibu bapa mempunyai nilai moral yang lebih baik menurut kajian.

Keempat: Kembali kepada agama. Islam adalah syumul dan merangkumi semua aspek. Penerapan nilai Islam atau nilai agama akan mampu mengekang permasalahan sosial umat. Ini telah terbukti zamn berzaman dan kita perlu ke arah itu.

9) Semoga ibu2 di Malaysia akan dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam pembangunan pendidikan anak2 agar matlamat pembangunan bangsa dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Jalilmm: selamat hari ibu buat bonda Allahyarhamah Esah Binti Sulaiman yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan dan perjuangan. Semoga rohmu aman di sana. Buat isteri yang menjadi ibu kepada anak2 saya semoga kita dapat membentuk satu keluarga yang benar2 berkualiti sepanjang masa. Terima kasih buat kalian...

Rabu, 29 April 2009

Penghapusan Ekuiti Bumiputra: Pro atau Kontra?

Salam. Kita perhatikan, baca dan nilai pro dan kontra dasar yang baru diperkenalkan ini. SUMBER:http://kuda-kepang.blogspot.com

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009
Posted by kudakepang at 6:04 PM

Ahad, 12 April 2009

KABINET BARU: KENAPA KETEPIKAN KJ?


Saya bukanlah peminat setia Sdr YB Khairy Jamaluddin (KJ), Ketua Pemuda UMNO Malaysia yg baru kerana saya adalah pendokong setia kumpulan Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu. Malah saya terlibat mencadangkan Mukhriz untuk bahagian saya walaupun bila pengundian secara angkat tangan dibuat, Mukhriz tewas kepada Dr Khir Toyo untuk Bahagian Serdang.

Walaupun umum mengetahui bahawa KJ dikatakan terlibat dalam politik wang sebelum pemilihan dahulu, namun semua ahli UMNO akur bahawa politik wang dalam pemilihan UMNO bukanlah perkara baru malah boleh dikatakan hampir kebanyakan calon yang bertanding terpaksa mengamalkan perkara ini atas sebab2 'demand' daripada para perwakilan. Bak kata Dato' Seri Najib dalam ucapannya 'beri salah, tak beri kalah'. Bukan bermakna saya menghalalkan politik wang dalam hal ini, tetapi sistem pemilihan UMNO itu sendiri yang menjurus ke arah pengamalan politik wang. Akibatnya ia menjadi satu budaya dalam UMNO.

Dalam hal ini saya merasakan KJ dan rakan2nya yang lain yang dikatakan mengamalkan poitik wang telah dimangsakan dan dihukum walaupun pelbagai spekulasi dibuat, namun beliau tetap dibenarkan bertanding. Alasannya adalah agen KJ tidak begitu kuat untuk dikaitkan dengan beliau. Entahla sebab kita pun tidak tahu tentang hal ini kerana sesiapa sahaja boleh mengaku yang dia menjadi agen kepada polan dan si polan sebab ini kan politik ala UMNO. Cantas mencantas adalah pelajaran politik yang terdapat dalam silibus pelajaran politik ala UMNO yang pada saya cukup memualkan terutama bagi golongan muda UMNO seperti saya.

Satu Malaysia tahu atau di setkan perspektif mereka terhadap KJ namun tiada satupun bukti yang dikemukakan untuk mengaitkan beliau dengan tuduhan2 tersebut. Saya tidak begitu pasti adakah apa yang dituliskan oleh si Raja Petra adalah benar atau tidak memandangkan tulisan2 dan personaliti beliau sendiripun membuatkan saya tidak begitu pasti status kebenarannya. Sukar untuk kita mempercayai tulisan2 orang yang selalu bermain2 dengan agama terutama tulisan RPK berkenaan agama yang menimbulkan kontroversi suatu ketika dahulu. Pada saya persepsi dan pembunuhan karakter di dalam politik adalah perkara biasa dan termasuk dalam silibus politik juga. Mungkin saudara yang lebih lama aktif dalam politik lebih arif tentang hal ini. Jadi pada saya adalah tidak adil menghukum KJ hanya berdasarkan pandangan masyarakat terhadapnya. Seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan kesalahan mereka.

Rakyat Malaysia terutama orang2 Melayu samada di dalam ataupun di luar UMNO saya begitu pasti tercari2 ikon muda yang boleh membawa negara ke arah yang lebih baik suatu hari nanti. Untuk memimpin pada abad ini, kepintaran adalah satu kemestian. UMNO mahupun komponen BN yang lain wajar menukar 'order' politik dan cara pendekatan perlukan perubahan 360 darjah. Pada saya ini tidak akan dapat dilakukan oleh pimpinan lama sebaliknya perlukan orang baru dengan barisan idea yang lebih segar. Cara kempen ala memperbodoh2kan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN dalam pilihanraya kecil baru2 ini sudah tidak relevan lagi.

Kehadiran KJ seolah2 ditenggelamkan oleh media arus perdana baru2 ini jelas berniat untuk memalukan pemimpin muda yang sebaya dengan saya ini. Tambahan pula apabila PM kita yang baru tidak menyenaraikan KJ di dalam kabinet dengan alasan beliau diminta untuk menumpukan perhatian kepada pemuda semata2 dan bagi memperkuatkan barisan muda. Memang orang bodoh pun tahu bahawa alasan ini adalah alasan berlapik ala Melayu walhal Ketua Pemuda yang memenangi pemilihan UMNO ini sememangnya amat malu dengan tindakan ini walaupun tidak dizahirkan secara lahiriah. Timbalan beliau seperti Dato Razali dan Dato Mukhriz (idola saya) dipilih untuk menyertai kabinet.

Pada saya kita perlu akur kepada pemilihan baru2 ini. KJ telah memenangi pemilihan tersebut dan suka atau tidak beliau akan memimpin gerakan Pemuda selepas ini dan sebaiknya diberikan peranan aktif dalam kabinet. Tumpuan untuk memperkuatkan parti tidak seharusnya diletakkan di bahu KJj sahaja sebaliknya tanggungjawab semua untuk memastikan UMNO kembali kuat. Pemuda bukan hanya pemuda UMNO sahaja sebaliknya sayap lain juga wajar berperanan aktif untuk kembalikan sokongan rakyat. Kalau alasan yang diberikan oleh PM diambil kira seolah2 menunjukkan hanya pemuda saja yang lemah dan menidakkan kebolehan anak muda seperti KJ dan lain2 yang berusia 30an yang telah bersiap sedia ini untuk mengambilalih pentadbiran parti dan negara suatu hari nanti.

UMNO perlu transform untuk menarik kembali sokongan rakyat. Pada saya ramai di kalangan anggota kabinet yang wajar diberikan pertimbangan semula untuk dipilih. Tanggungjawab penerangan contohnya seharusnya diberikan kepada orang baru dan lebih muda yang lebih energetik untuk memastikan penyampaian maklumat bukan hanya melalui akhbar, TV sahaja sebaliknya melalui blog2 dan internet juga di perkemaskan. TV1 contohnya pada saya sudah terlalu tua untuk menarik golongan muda seperti saya menonton. Lihat saja iklannyapun sudah agak ketinggalan ditambah pula dengan pembaca berita yang telah 30 tahun membaca berita dengan nada sama yang agak membosankan dan berstaus quo kata orang. Ini semua perlu dirubah dengan gaya baru yang lebih segar.

Kesimpulan yang dapat saya berikan adalah PM baru kita wajar menimbangkan semula kabinet yang telah diusun di masa hadapan (mungkin) agar lebih remaja dan dinamik. Barisan idea2 baru wajar dipersembahkan kepada rakyat dalam bentuk yang lebih ringkas dan muda agar dapat dicerna oleh golongan muda dan seterusnya dapat kembalikan sokongan golongan muda kepada UMNO atau BN. Pemilihan Ketua Pemuda UMNO ke dalam kabinet juga wajar memandangkan keadaan sokongan orang muda terhadap UMNO kini dilihat begitu suam. Kita tidak tahu kekuatan sebenar KJ terhadap UMNO sebab kita masih belum memberikan peluang sebaiknya kepada beliau. Saya optimis beliau mampu melakukannya kerana rakyat yang sebaya dengan KJ berasa amat dekat dengan beliau.