Ahad, 16 Ogos 2009

Antara 1Malaysia dan Hidup Melayu

1. Ada perkara di dalam hidup kita kadangkala membuatkan kita keliru seketika. Kekeliruan ini timbul apabila kita tidak mempunyai pemahaman yang cukup terhadap perkara itu mahupun tidak difahamkan oleh orang yang sepatutnya memberikan penerangan kepada kita.

2. Sebagai manusia,kita mempunyai pelbagai tahap pemikiran dan tahap pemahaman. Dalam konteks negara kita, ada yang hanya petani di kampung-kampung dan hidup dalam kelompok masyarakat kampung bersama2 penoreh getah, pesawah, peneroka malah ada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai daya keintelektualan sederhana malah ada juga yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan mampu mencerna sesuatu perkara dengan begitu mudah dan baik. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah tahap penerimaan maklumat dan tahap pemahaman kita sangat berbeza-beza. Maka oleh itu cara yang terbaik untuk menyampaikan sesuatu perkara yang ingin dibawa oleh kerajaan juga memerlukan kaedah yang pelbagai untuk membolehkan sebahagian besar rakyat memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

3. Saya pernah bertanyakan soalan kepada seorang rakan yang hebat melaungkan 1Malaysia tentang apakah sebenarnya makna 1Malaysia. Tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewekan kerana katanya beliau sendiri tidak begitu faham apakah itu 1Malaysia. Cuma katanya kita perlu menyokong gagasan ini sekiranya kita mengaku kita orang UMNO dan mengakui kepimpinan baru UMNO iaitu Dato' Seri Najib. Saya hanya tersenyum kepadanya walaupun sebenarnya kurang bersetuju bahawa kita perlu menyokong 100% presiden UMNO tidak kira perkara yang dilakukannya betul ataupun tidak. Menegur dan mempersoalkan tentang sesuatu perkara yang kurang jelas kepada pimpinan UMNO pada saya adalah proses biasa dalam politik dan ia tidak harus dianggap menderhaka atau kurang ajar.

4. Walaupun pengertiannya agak luas merangkumi pelbagai aspek dan perkara, namun asas utama 1Malaysia adalah satu penyatuan bangsa menjadikan identiti Malaysia lebih menonjol berbanding identiti sesuatu bangsa itu sendiri. Selain itu penghapusan beberapa dasar yang banyak menyebelahi Melayu juga dilihat oleh pemerhati termasuk dalam salah satu gagasan 1Malaysia itu sendiri. Ada yang melihat gagasan ini tidak seiring dengan agenda Melayu sebaliknya lebih kepada kesamarataan hak antara semua bangsa tanpa mengira kaum. Benarkah? Mungkin berdasarkan beberapa indikasi yang ditunjukkan dalam dasar negara baru-baru ini membuatkan persepsi kita terhadap konsep 1Malaysia menjurus ke arah itu.

5. Konsep 1Malaysia yang telah dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia walaupun masih di peringkat awal dan majoriti rakyat Malaysia masih kelabu lagi berkenaannya dikelirukan lagi apabila dengan tiba-tiba semangat Melayu ditiupkan kembali oleh orang nombor 2 negaraiaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

6. Episod terbaru ini timbul apabila Tan Sri Muhyiddin dengan terang-terangan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuduh mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat Melayu. Serentak dengan itu UMNO Johor menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin dan menyatakan pendirian jelas bersama-sama Tan Sri Muhyiddin.

7. Iklim politik negara menjadi panas seketika dengan polemik terbaru ini apabila Datuk Seri Anwar pula meminta Tan Sri Muhyiddin menarik balik tuduhan bahawa beliau pengkhianat Melayu atau Timbalan Perdana itu bakal berdepan dengan hukuman saman.

8. Persoalannya kini mengapa di saat kita bercakap tentang 1Malaysia kita juga bercakap tentang perkauman? Apakah yang berlaku sebenarnya? Rakyat biasa seperti saya menjadi keliru dengan dasar ini.

9. Adakah mempertahankan hak Melayu dan aspek kemelayuan itu terdapat dalam konsep 1Malaysia? Atau mungkinkah ini adalah satu strategi kerajaan UMNO-BN sebagai taktik untuk memancing pengundi Melayu di DUN Permatang Pasir bagi berpatah balik kepada UMNO-BN?

10. Ataupun sesuatu sedang berlaku di negara kita yang kita sendiri tidak begitu pasti? Walau apapun yang berlaku atau politik dalaman yang berlaku, diharap ianya hanyalah seperti ribut di cangkir kopi dan tidak menjejaskan UMNO secara keseluruhan. Kestabilan UMNO dan BN banyak mempengaruhi kestabilan negara.

11. Kita tentunya tidak rela sekali lagi menukar Perdana Menteri kerana agenda perubahan tidak mungkin akan dapat dijalankan kalau kita wujudkan puak di dalam parti kita.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dear Jalilmm,

Satu pandangan kritis yang wajar diberikan perhatian...keep up your good comment demi satu perubahan...

Mafia Melayu
Zulmk

Tanpa Nama berkata...

Boss...

Minta berikan penjelasan untuk ahli cawangan kita jugak ape kebendanya 1Malaysia tu dan apa kaitannya dengan kehidupan kita...

Man
UMNO Cawangan Bangi 3

setiakasih berkata...

Aku suka dengan apa yang berlaku di Msia 10 thn dahulu.. tapi semakin hari aku rasa tidak yahkin dengan dasar popular kerajaan.

Jalil, bukan aku tak suka BN. Aku sayang BN. Ia adalah entiti yang sangat penting dalam perpaduan rakyat Msia.

Namun, aku rasa 1Malaysia adalah tagline yang 'membunuh' orang Melayu dan bumiputera. Mungkin dasar keterbukaan ini seolah-olah tiada batas.. kalau ada pun, 'apa dia' dan tidak jelas.

Aku rasa, para jemaah menteri / kabinet dan jentera BN perlu sendiri tahu apa itu 1Malaysia. Bukannya nak suruh PM turun padang pergi sana sini bercakap pasal hal itu sahaja. Jangan bercakap sahaja. BUAT kerja. They should serve the citizens.

Aku sayang dan cinta kepada Malaysia. Namun, jika yang memimpinnya menghancurkannya- Why not tukar sahaja? Bukan nak kata kau bukan Anti PM., Kenyataan aku ini goes to any candidate / Menteri yang tak buat kerja sebagai teguran. Get over with the past victory... DO THE WORK, NOW.

JALILMM berkata...

Setia Kasih,

Politik org Melayu ni perlu lalui satu proses penting iaitu kepandaian utk create demand dan take advantage dari politik utk kepentingan bangsa kita...politik benci membenci akan rugikan bangsa kita...

Ko tentu pernah jadi pemimpin kan....byk faktor yg perlu diambil kira sblm keputusan dibuat dan most of d time kita terpaksa ambil keputusan x popular demi menjaga majoriti atau menjaga kestabilan negara...

Mentadbir negara x sama cam tadbir parti sebab negara libatkan lebih byk pihak, so pertimbangan yg wajar perlu sentiasa diperhalusi...

Pd saya apa yang BN dah buat setakat kini sangat baik demi negara dan klu ada pun kelemahan itu adalah perkara yg mmg diakui perlu diperbetulkan. Sebahagiannya diakui sendiri oleh kerajaan dan diperbetulkan..

Jalilmm