Sabtu, 29 Ogos 2009

Cara Kempen BN Perlukan Perubahan!

1. Keputusan pilihanraya kecil Permatang pasir bukanlah sesuatu yang di luar dugaan kita. Ada beberapa sahabat dengan secara bersahaja bertanyakan saya tentang kekalahan BN di Permatang Pasir dan secara tidak langsung meminta komen dari saya berkenaan keputusan PRK berkenaan.

2. Saya sebenarnya kurang berminat sejak awal lagi untuk mengikuti pilihanraya kecil di sini atas beberapa sebab antaranya sejak awal lagi kita semua sudah tahu ini adalah kawasan Parlimen Permatang Pauh dan ia sangat sinonim dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Bermakna peluang sentiasa memihak kepada Pakatan Rakyat. Jadi keputusan PRK ini sama sekali pada saya tidak boleh dijadikan cerminan penolakan rakyat terhadap Barisan nasional. Jadi analisa di kawasan ini tidak boleh dijadikan indikator atau penanda aras kepada reaksi sebenar suara rakyat!

3. Walaupun kekalahan calon BN memang telah diduga, namun saya merasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat2 pembaca sekalian mengenai cara kempen yang biasanya di amalkan oleh BN yang pada hemat saya memerlukan satu modifikasi di sesetengah tempat. Saya bukanlah berlatar belakangkan sains politik jadi huraian saya adalah lebih kepada analisa berdasarkan pengalaman, pemerhatian, perkongsian pendapat dan bacaan.

4. Saya bahagikan kepada 2 jenis kempen yang diamalkan oleh semua parti politik dalam kempen akhir mereka sebelum Pilihanraya. Yang pertama kempen yang melibatkan kawasan setempat dan kedua adalah kempen di peringkat nasional yang menggunakan media massa tidak kiralah arus perdana ataupun media baru seperti blog dan sebagainya.

5. Kempen bermula setelah calon dipilih. Sekiranya calon yang dipilih merupakan orang yang sangat hebat dan sangat bersih maka 'jenama' calon ini boleh dijual tanpa perlu para jentera bekerja terlalu keras kerana jenama calon mengatasi jenama parti. Akan tetapi kalau dilihat di Permatang Pasir, saya tidak begitu pasti mengapakah latarbelakang calon tidak diselidiki terlebih dahulu sebelum perletakan calon dibuat kerana kita semua sedia maklum di kawasan DSAI jenama beliau sendiri sudah begitu kuat dan kukuh. Mungkinkah ini sesuatu yang telah dirancangkan? Entahlah...

6. Cadangan saya agar satu jawatankuasa (mungkin) boleh ditubuhkan oleh BN khas untuk menangani usaha background checking. Bunyi macam mudah tetapi unit khas ini menjalankan tugas ala-ala CIA di mana segenap sudut latarbelakang calon akan diperincikan dan laporan akan diberikan kepada Perdana Menteri ataupun Pengerusi BN bagi membuat keputusan akhir. Hal ini akan menjadikan kita tidak lagi tersalah pilih calon.

7. Selain faktor calon, pada pandangan saya, cara berkempen dengan menggunakan media secara keterlaluan juga membuatkan rakyat menjadi meluat dan sebenarnya rakyat yang mewakili majoriti pengundi adalah yang tidak berparti. Golongan ini hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja. Kempen keterlaluan ini juga kadangkala dengan jelas sekali dilihat sengaja memperbodohkan rakyat dengan kenyataan kenyataan yang tidak mempunya 'nail point' kata orang. Laporan sekadar retorika biasa yang tidak begitu mampu menukar fikiran rakyat dan membuatkan rakyat tersenyum sendiri sambil berkata ala....nak pilihanraya barulah kelam kabut nak buat ini dan itu...yelah asal BN je semua betul...

8. Pernahkah saudara pembaca sekalian melihat menteri menoreh getah? Pada saya ini adalah kempen paling kelakar dalam sejarah pilihanraya Malaysia di mana bila hampir PRK ada seorang menteri menoreh getah dan ia menjadi bahan liputan akhbar dan media elektronik! Memang ini adalah satu perlakuan untuk menunjukkan menteri tersebut prihatin orangnya tetapi menampakkan unsur-unsur menipu rakyat di situ dan ini tidak wajar dilakukan dan hanya akan menjejaskan rasa hormat rakyat terhadap BN.

9. Teknik menyerang dan menangkis isu juga wajar diberikan perhatian. Jika dilihat di dalam PRK kebelakangan ini BN telah terikut2 dengan rentak isu yg dibawa oleh Pakatan Rakyat. Media seolah-olah membantu mengangkat sesuatu isu dengan memberikan publisiti yang jelas isu tersebut lebih memberikan point atau 'mileage' politik kepada Pakatan. Contohnya isu DAP dengan PAS Kedah. Sebagai seorang yang tidak berjawatan tinggi pun kita dapat membaca ini adalah taktik pembangkang untuk memancing pengundi Cina dan BN seolah2 tidak dapat membaca perkara ini. Akhirnya pembangkang menang bergaya!

10. Demontrasi yang menggunakan kain rentang menyokong kepimpinan ataupun membantah isu2 tertentu yang meletakkan nama penganjur lebih besar dari isu (ni kes nak menunjuk2 kepada ketua bahagian atau menteri lah ni!) pada saya adalah satu taktik yang cukup memalukan...Sekiranya BN ingin mengadakan sesuatu demontrasi, tidak perlulah meletakkan nama UMNO Cawangan mana dan sebagainya. Biarlah rakyat merasakan bahawa demontrasi ini datangnya daripada rakyat walaupun mastermindnya adalah UMNO. Kita hendak dapatkan mileage isu bukannya nak berkempen untuk naikkan seseorang ketua cawangan ataupun AJK bahagian.

11. Cadangan saya agar BN lebih menumpukan kepada aspek perang saraf dan perang psikologi. Tidak semestinya dimulakan dekat dengan pilihanraya saja tetapi haruslah dimulakan sepanjang masa. Seluruh jentera media alternatif terutama blog2, forum2 di dalam laman web wajar ditembusi dengan pantas. Isu2 wajar dijawab hatta isu remeh sekalipun di dalam laman web ini mahupun laman blog.

12. Segala teguran di atas adalah atas dasar saya tidak ingin melihat BN yang diterajui oleh UMNO dan orang Melayu ini berkubur di dalam PR ke-13 nanti. Semoga kita bersama2 kembali menggerakkan seluruh jentera kita terutama di peringkat penerangan agar menjadi lebih kreatif dalam melakukan kerja2 penerangan untuk memberikan kemenangan mutlak kepada kita suatu hari nanti.

1 ulasan:

setiakasih berkata...

Salam.. Jalil. Aku sokong pendapat kau.

1.Menghidangkan gula-gula manis di media massa membuatkan rakyat rasa meluat. Jika calon / BN buat kerja bagus sebelum ini, tak payah kempen besar-besaran pun memang akan menang. Makin besar kempen, makin besar nampak pekung di dada. Yang penting, rakyat RASA berpemimpin dan dibela nasibnya.

2. Cara kempen BN perlu dirombak.

3. Calon patut buat kerja tolong rakyat.

4. Ramai rakyat / pengundi tidak 'berparti' dan tunggu dan lihat. Makin calon / perti tersebut buat rasa meluat dan cakap tak serupa bikin, makin itulah hilang hormat dan keyakinan rakyat kepada mereka.